Khamis, 24 Oktober 2013

JAUH DI SUDUT HATI (BAB 2)

JAUH DI SUDUT HATI (BAB 2)


BAB 2

       Jam tepat menunjukkan angka 11.00 pagi. Matahari pun sudah mula memancarkan cahayanya. Tiupan angin yang sederhana kencang itu masih tidak mampu menyamankan tubuhnya yang kian bermandikan peluh. Juraian air jernih membasahi dahinya. Cepat-cepat disekanya sebelum ia meleleh jatuh ke pipinya. Natasya terduduk dengan nafas yang tercungap-cungap.
     “ Penat betul lah hari ni” rungut Nadia, salah seorang daripada mereka.
     “ Ya lah tapi kita kena practise betul-betul. Kalau tak, tak dapatlah kita kalahkan musuh ketat kita tu nanti” balas Hazidah pula.
     Hari Sabtu merupakan hari beristirehat bagi pelajar-pelajar sekolah tetapi mereka sejak dari pagi lagi sudah pun berkumpul di padang sekolah bagi menjalani latihan bola jaring bagi pertandingan yang akan di adakan pada bulan hadapan. Bagi mereka, kemenangan adalah begitu penting. Mereka perlu merebut kembali piala yang bertahan di sekolah mereka selama 5 tahun berturut-turut. Cuma entah di mana silapnya, piala itu jatuh ke tangan musuh tradisi mereka pada tahun lepas. Ini semua angkara senior mereka yang tidak mahu mengambil pelapis dan akibatnya mereka yang di persalahkan di atas kegagalan mempertahankan piala tersebut.
      “ Tasya, kau agaklah, boleh ke kita rebut balik piala tu?” soal Hazidah.
     “ Kita mesti yakin. Kita mesti ambil balik piala tu. Biarlah sebelum kita keluar selepas SPM nanti, kita dapat tebus kesilapan kita tahun lepas” ujar Natasya bersungguh-sungguh.
     “ Kesilapan kita?. Eh Tasya, kau fikir kekalahan dulu tu kesilapan kita?” soal Nadia sedikit tidak berpuas hati dengan kenyataan Natasya sebentar tadi.
      “ Ini semua salah senior kita tu, si Norlin. Dia tu memang teruk. Dia saje tak nak ambil pelapis. Lepas tu, bagi je kita lawan. Latihan tak de apa tak de, mana tak kalah?.” bebel Hazidah pula.
     “ Walaupun bukan salah kita tapi semua orang tak kan faham. Mereka tetap menganggap kita yang menjadi punca piala tu jatuh ke tangan musuh tradisi kita” ujar Natasya.
     “ Tak adil betul” protes Hazidah.
     “ Apa yang perlu kita buat, kita mesti menang dalam pertandingan bulan depan. Juara bukan naib juara” Natasya menaikkan semangat rakan-rakannya.
     “ Ini semua Nazri punya pasal”
     Natasya dan Hazidah merenung tepat ke arah Nadia. Nazri?. Kenapa Nadia perlu mengaitkan senior mereka merangkap ketua pelajar tahun lepas dalam konflik ini?.
     “ Kenapa Nazri pula?” soal Hazidah.
     “ Ya lah, Nazri tu kan syokkan kau, Tasya. Si Norlin tu pulak syokkan Nazri. Bila dia dapat tahu Nazri tu sukakan kau, apalagi…tu yang dia balas dendam tu” terang Nadia.
     “ Alah, cerita dah lepas. Lagipun Nazri tu pun sekarang ni dah blah masuk U. yang tinggal kita ni yang terpaksa tanggung semua ni” Natasya mengeluh perlahan.
     “ Eh, tapi kan Tasya. Aku nak tanya kau sikitlah” Nadia tiba-tiba merapatkan dirinya kepada Natasya.
     “ Apa?”
     “ Kau tak de apa-apa perasaan ke kat Nazri tu?” soal Nadia tersengih-sengih.
     “ Eh kau ni, ke situ pulak”
     “ Ye lah, Nazri tu dah lah hensome, ketua pelajar pulak tu. Kalau aku….”
     “ Kau janganlah nak berangan Nadia. Dia dah masuk U pun. Tak ingat de muka kau kat sini”
     “ Eh Tasya. Sebelum dia pergi dulu, dia ada tinggalkan contack number kat kau kan?. Kau tak de call dia ke?” Hazidah pula turut berminat.
     “ Tak de lah”
     “ Kau ni Tasya. Suka tolak tuah. Orang yang hensome dan glamor macam tu pun kau tak nak” Hazidah mencebikkan bibirnya.
     “ Alah, si Tasya ni tak kesah semua tu. Orang cantik lah katakan. Lagipun, sekarang ni ramai yang tengah beratur. Si Fariz tu, tunggu green light je” celah Nadia pula.
     “ Fariz mana pulak ni?”
     “ Fariz budak 5 Sains 2 tu. Setiap hari kirim salam kat kau. Kadang-kadang, bosan pulak aku tengok dia tu”
     Natasya tertawa mendengar celoteh dua sahabat karibnya itu. Terbayang dia wajah Fariz. Pemuda berdarah kacukan Melayu-Arab itu memang kacak dan berperwatakan menarik tetapi itu semua tidak mampu membuka hatinya untuk bercinta. Entahlah, dia sendiri tidak tahu kenapa begitu sukar untuk dia membenarkan mana-mana lelaki menakluki hatinya. Dia tidak tahu.
     Sebenarnya, dia juga seperti orang lain. Ingin menyayangi dan disayangi tetapi setiap kali salam perkenalan yang dia terima, dia tidak berkenan. Bukan memilih tetapi dia tiada perasaan. Kalau di katakan memilih, Fariz tu ada segala-galanya tetapi…ah, mungkin dia masih belum bertemu dengan ‘Mr. Right’. Jika sudah bertemu nanti, pasti perasaan itu akan hadir jua. Natasya tersenyum sendiri.
     “ Yang kau senyum-senyum ni apasal?” sergahan Hazidah mematikan lamunannya.
     “ Tak de apa-apa lah. Eh, jomlah kita balik. Budak-budak lain dah balik dah pun” ujar Natasya sambil bangun dari tempat duduknya.
     “ Aah. Jomlah. Aku pun dah penat ni. Kerja rumah banyak lagi yang aku belum buat” Hazidah pula bangun mengekori Natasya.
     “ Eh, apa kata sebelum balik, kita pekena mee mamak kat depan sana tu?” cadang Nadia sambil berlari anak mengejar dua lagi sahabatnya itu.
     “ Okey gak tu. Aku pun tengah lapar ni. Jomlah” Hazidah memberi persetujuan.
Mereka bertiga berjalan beriringan menuju ke gerai mamak yang terletak tidak jauh dari sekolah mereka.
                                                **********

     “ Mama” Natasya segera memeluk mamanya dari belakang sebaik sahaja melangkah masuk ke dalam rumah. Datin Azizah yang sedang leka menjahit itu sedikit terkejut dengan pelukan dari anak bongsunya yang tiba-tiba itu.
     “ Isy, Tasya ni. Buat mama terkejut je” Datin Azizah mengurut-ngurut dadanya.
Natasya tersengih sambil duduk di sebelah Datin Azizah.
     “ Macam mana latihan hari ni?” soal Datin Azizah.
     “ So far, okeylah mama tapi…takut juga kalau tak dapat rebut balik piala tu” keluh Natasya.
     “ Kenapa perlu takut?. Menang dan kalah kan adat pertandingan”
     “ Tasya tahu tapi kalau boleh, sebelum Tasya tinggalkan sekolah nanti, Tasya nak kembalikan semula piala tu pada sekolah. Tasya nak buktikan yang pasukan Tasya boleh berjaya”
     “ Tasya dan kawan-kawan dah berusaha. Yang penting, doa pada Tuhan agar kejayaan memihak pada pasukan sekolah Tasya”
     Natasya merebahkan kepalanya ke bahu Datin Azizah. Datin Azizah mengusap-ngusap rambut anak bongsunya itu lantas tersenyum. Natasya memang seorang anak yang manja. Anak bongsu itu sentiasa mendapat perhatian darinya dan juga suaminya, baik dari segi kemewahan dan juga kasih sayang, semuanya diberikan kepada Natasya. Namun dia tetap bersyukur kerana Natasya bukanlah anak yang mudah leka tatkala diberikan kemewahan bahkan dia cukup berbangga dengan sikap Natasya yang tidak pernah sombong dengan apa yang dimilikinya.
     Natasya juga kerap berkongsi cerita dengannya. Apa saja yang berlaku samada di sekolah atau di mana-mana sahaja, tidak pernah dirahsiakan oleh anak gadisnya itu. Kadang-kala, Natasya selalu meminta pendapat dan nasihat dan dia merasa gembira kerana Natasya tidak membelakangkan dia dalam apa jua perkara.
     “ Oi”
     “ Oi mak kau terbalik” latah Natasya apabila pinggangnya  dicuit.
     “ Abang ni teruklah” Natasya membaling sebiji bantal ke arah Hakimi tetapi sempat ditangkap oleh pemuda itu.
     Hakimi tertawa melihat telatah Natasya.
     “ Kecik-kecik lagi dah melatah” perli Hakimi.
     “ Biarlah, yang abang sibuk ni kenapa?”
     Hakimi tertawa lagi.
     “ Kenapa bising-bising ni?” entah dari mana Dato’ Hasyim tiba-tiba muncul dan terus duduk di sebelah isterinya, Datin Azizah.
     “ Papa tengoklah abang ni. Asyik nak kenakan Tasya je” Natasya mencebik. Dato’ Hasyim hanya menggelengkan kepalanya apabila melihat kedua anaknya itu.
     “ Lambat Tasya balik hari ni?” soal Dato’ Hasyim.
     “ Hari ni practise lama sikit. Lepas tu, Nadia dan Zidah ajak Tasya makan kat gerai mamak depan tu” terang Natasya.
     “ Macam mana latihan?”
     “ So far okey, papa”
     “ Main-main juga tapi Tasya jangan lupa, tahun ni SPM” nasihat Dato’ Hasyim.
     “ Tasya tahu, papa. SPM pun lambat lagi. Lagipun pernah tak Tasya kecewakan papa dengan keputusan  peperiksaan Tasya?”
      Dato’ Hasyim tersenyum. Dibiarkan sahaja soalan Natasya tidak berjawab kerana semua orang sedia maklum, Natasya tidak pernah mengecewakannya dalam setiap peperiksaan. Natasya sering mendapat keputusan yang cemerlang. Peperiksaan baru-baru ini, Natasya membuktikannya lagi. Walaupun hanya mendapat tempat ke tiga di dalam tingkatan tetapi itu pun sudah cukup membanggakan Dato’ Hasyim dan keluarga.
     Natasya memang istimewa. Bijak dalam pelajaran dan juga berkebolehan dalam sukan. Tidak seperti Hakimi, anak lelakinya itu. Semasa di sekolah dahulu, Hakimi tidak sehebat Natasya. Pelajarannya agak sederhana. Sukan pun tidak berminat. Akhirnya dia mengambil keputusan untuk mengajar Hakimi selok-belok perniagaan bagi membantunya mengendalikan syarikat miliknya itu. Lagipun, siapa lagi yang hendak di harapkan kalau bukan Hakimi?. Tiba-tiba Dato’ Hashim terkedu seketika. Kenangan itu datang lagi. Serta-merta dia membuang jauh-jauh bayangan semalam.
     “ Mama, hari ni mama masak apa?” soal Natasya manja. Sengaja dia melentokkan kepalanya di riba Datin Azizah.
     “ Ngada-ngadalah tu” Hakimi masih lagi gemar menyakat adiknya itu.
      Natasya mencebik.
     “ Tadikan Tasya dah makan. Tak kenyang lagi ke?” soal Datin Azizah.
     “ Tadi breakfast. Sekarang ni lunch. Lagipun Tasya nak makan masakan mama sebab masakan mama je yang paling sedap kat dunia ni”
     “ Eleh, kalau masakan mama je yang paling sedap di dunia ni, kenapa hari-hari lepak kat kedai mamak tu?. Ke dah berkenan dengan mamak tu kot”
     “ Mama, tengoklah abang ni”
     “ Hai, nampaknya mama bakal menantukan orang berkulit gelaplah tak lama lagi”
      Natasya segera mencapai sebiji lagi bantal dan dibaling ke arah Hakimi. Kali ini Hakimi tidak sempat mengelak lalu terkena mukanya.
     “ Aduh”
     “ Padan muka”
     Dato’ Hasyim dan Datin Azizah tertawa. Terhibur melihat telatah anak-anaknya itu.
     “ Mama masak lauk kegemaran Tasya hari ni. Tapi, kalau nak makan, mesti mandi dulu. Ni busuk baunya ni”
     “ Okey, Tasya nak pergi mandi. Lepas ni kita makan sama-sama kecuali abang Kimi” ujar Natasya segera berlalu.
     Mereka yang lain hanya tersenyum sambil memandang Natasya sehingga gadis itu hilang dari pandangan.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan