Isnin, 17 Februari 2014

DI DEPAN MATA (BAB 3)

DI DEPAN MATA (BAB 3)


BAB 3

“Ini gambar Abang Rayyan masa umur setahun,”
Dia membelek-belek album gambar yang ada di tangannya. Satu demi satu gambar dibelek. Setiap gambar ada ceritanya, ada kenangan yang tersimpan kemas di dadanya.
“Ini pula masa Abang Rayyan berumur dua tahun. Comelnya Abang Rayyan. Macam Hello Kitty,” ujar Nia sambil tersenyum-senyum. Patung Hello Kitty di sebelahnya dicapai lalu dipeluk erat.
Nia buka lembaran seterusnya. Berpuluh-puluh gambar Rayyan menghiasi album gambarnya. Album gambar yang di khaskan untuk gambar Rayyan sahaja. Gambar dari Rayyan masih bayi sehinggalah sekarang ini, semuanya ada dalam simpanannya.
Kebanyakkan gambar Rayyan, dia ambil secara sembunyi. Pelbagai aksi. Semuanya comel di matanya. Bukannya dia tidak mahu ambil gambar betul-betul tapi pemuda itu selalu saja menolak kalau dia hendak mengambil gambar Rayyan. Kalau dapat pun, gambar bersama keluarga. Tak ada satu pun gambar dia berdua saja dengan Rayyan.
“Saya tak suka bergambar,”
Itulah alasan Rayyan setiap kali dia nak tangkap gambar dengan pemuda itu. Kadang-kadang dia tak faham kenapa Rayyan tak suka bergambar. Muka Rayyan kan kacak, tubuh badan sempurna…pendek kata Rayyan mempunyai pakej yang lengkap sebagai seorang lelaki. Kenapa pula tak suka bergambar?
Rayyan tak macam Nia. Dia kalau bergambar…fuh! Pening kepala mama. Ke sini bergambar. Ke sana bergambar. Sambil bergambar dia mesti tunjuk peace dengan buat muka comel. Kadang-kadang dia buat-buat mulut terlopong. Kadang-kadang mulutnya sengaja diherotkn ke tepi. Kadang-kadang dia jelir lidah. Pelbagai aksi yang nakal dan gedik!
Nia belek-belek lagi gambar Rayyan. Pemuda yang telah menambat hatinya sejak kecil lagi. Dia sukakan Rayyan. Kalau boleh, dia nak kahwin dengan Rayyan. Dia suka tengok Rayyan senyum. Rayyan masam pun dia suka.
Masalahnya…dia tak tahu samada Rayyan suka pada dia atau tak? Tapi dia tak kisah tentang itu. Dia akan berusaha untuk menambat hati Rayyan. Kata orang, usaha tangga kejayaan. Tak salah kalau dia mencuba. Lagipun, daripada penyelidikan yang dia lakukan, Rayyan belum ada teman wanita dan pemuda itu tidak pernah rapat dengan mana-mana perempuan. Mana dia tahu semua ini? Adalah…Dia kan suka kat Rayyan. Pasti dia akan selidik sampai lubang cacing.
He…he…Sebenarnya dia ada pasang spy. Siapa lagi kalau bukan Shima. Shima itu sepupunya yang sebaya dengan Rayyan. Dari sekolah rendah sampai sekolah menengah, Shima satu kelas dengan Rayyan. Semua pasal Rayyan, Shima akan khabarkan padanya. Dan sekarang, Shima satu tempat kerja dengan Rayyan. Apalagi…semua berita pasal Rayyan pasti akan di ketahui.
Mata Nia terpandangkan gambar semalam. Gambar Rayyan yang dia curi-curi tangkap semasa Rayyan sedang makan lasagna. Comel sangat Rayyan masa itu. Suka betul dia tengok gambar pemuda idamannya itu.
Semalam…hari jadi Nia yang ke 21 tahun. Orang kata umur 21 tahun sudah bebas. Sudah merdeka. Apa maksud bebas dan merdeka itu? Ah! dia tak tahu tapi padanya definasi, bebas dan merdeka itu maksudnya dia sudah boleh kahwin. Dia nak ajak Rayyan kahwin. Agak-agaknya Rayyan mahu tak?
Dia tersenyum sendiri. Isy kamu ni Nia. Gelojoh sungguh! Baru 21 tahun sudah fikir tentang kahwin. Fikirkanlah tentang kerjaya kamu…masa depan kamu…
Ah! Sebut pasal kerjaya, dia teringatkan sampul surat yang dia terima minggu lepas. Segera dia mencapai sampul surat yang diletakkan di atas meja tulis lalu membukanya. Isinya dibaca sekali lagi. Dia tersenyum-senyum. Ini berita baik . Pasti Rayyan akan terperanjat bila dia beritahu berita ini dan yang pasti…pasti Rayyan akan gembira.
Nia tersenyum sendiri.
                                                            **********

Petang itu Nia menemani Mazura ke pasaraya untuk membeli belah. Banyak stok barang dapur sudah kehabisan. Hendak mengajak Salim, liat benar lelaki itu apabila Mazura mengajak hendak beli barang dapur. Nasib baik ada Nia, anak tunggalnya yang satu itu.
“Mama, kita beli ikan merah ni nak tak? Nia nak buat sup ikanlah. Rasa macam mengidam pula,” ujar Nia sambil memilih ikan merah yang masih segar-segar di pasaraya berkenaan.
“Mengidam? Macam mengandung pula Nia ni,” usik Mazura.
Nia itu nampak saja manja tetapi jangan tak tahu…manja-manja Nia, Nia suka ke dapur. Sebut saja nak makan apa, Nia boleh buatkan. Nia memang pakar dalam memasak lebih-lebih lagi kalau membuat makanan western. Sedap sungguh masakan anak daranya. Manakan tumpah kuah kalau tidak ke nasi?
Nia…hmmm anak daranya seorang ini juga seorang yang berani. Siapa sangka gadis comel yang gemarkan patung Hello Kitty seperti Nia seorang yang berani dan lasak. Buktinya, Nia merupakan ahli di dalam silat olahraga dan pernah memenangi tempat ke dua semasa pertandingan silat di kolej dulu. Nampak saja kecil tetapi kecil-kecil cili padi tau…
“Mama ni,asal mengidam saja kata mengandung. Nia ni bujang lagi tahu tak,”
“Memang bujang tapi sudah boleh berkahwin,”
Bila Mazura sebut pasal kahwin, Nia sudah berbunga-bunga. Serta merta wajah Rayyan bermain di fikirannya. Alangkah seronoknya kalau dia dan Rayyan duduk di atas pelamin yang penuh dengan bunga-bunga. Kemudian, sanak saudara tampil ke depan untuk menepung tawar. Renjis-renjis beras serta bunga rampai dan air mawar. Aduh! Bilalah Rayyan nak pinang dia ni?
“Nampak tu. Bila mama sebut pasal kahwin, dah berangan pula. Nia dah ada calon ke?” usik Mazura apabila melihat anak gadisnya itu tersenyum seorang diri.
“Erk…mana ada. Nia kan baru saja habis belajar. Kerja pun baru dapat. Itupun mula minggu hadapan,” dalih Nia. Tak berani dia hendak katakan yang di hatinya sudah bertakhta seseorang apatah lagi pemuda itu adalah Rayyan, anak Auntie Ayu. Malulah dia kalau Mazura dapat tahu.
Dan dia sendiri tidak tahu apa reaksi mama kalau tahu dia sukakan Rayyan.
“Yalah, mana tahu masa belajar dulu ada jumpa seseorang,” terus-terus Mazura mengusik. Suka tengok muka comel Nia merona merah.
“Mana adalah ma,” ujar Nia manja.
Manalah hati dia nak tersangkut pada orang lain sedangkan dari dulu lagi dia telah serahkan bulat-bulat hatinya pada Rayyan. Cuma, dia tidak tahu adakah Rayyan menyimpan kepingan hatinya ataupun membiarkan saja bersepah di mana-mana.
Mazura hanya tersenyum. Kemudian, mereka dua beranak kembali memilih barang-barang untuk dibeli.
“Zura!”
Mazura terkejut apabila bahunya ditepuk dari belakang. Serta merta dia menoleh. Kelihatan Rahayu tersengih-sengih di situ.
“Ayu, kau buat apa kat sini?”
Nia tepuk dahi. Apalah punya soalan mama ni. Kat pasaraya, sudah tentulah hendak beli barang-barang. Tak ada soalan lainkah?
“Beli baranglah. Takkan memancing pula,” jawapan Rahayu membuatkan Mazura tertawa kecil.
“Mama ni tak ada soalan lain nak tanya Auntie Ayu. Tanyalah apa khabar ke? Keluarga sihat atau tidak…” bebel Nia.
            ‘Tanya Abang Rayyan tengah buat apa ke?’ Ops, yang ini dia cakap dalam hati saja. Gila ke, tak ada angin ribut tiba-tiba mahu terjah saja tanya pasal Rayyan?
Rahayu tergelak kecil. Nia ini ada-ada saja celotehnya.
“Salim mana?” tanya Rahayu.
“Laki aku tu mana mahu ikut pergi beli barang dapur ni. Duduk rumah lagi seronok katanya,”
“Auntie datang dengan Uncle Hazim ke?” tanya Nia ada udang di sebalik batu. Dia mengharapkan Rahayu menjawab…tak, auntie datang dengan Rayyan…
“Tak, auntie datang dengan Rayyan,”
Yess!
“Ha, itupun Rayyan,”
Nia panjangkan leher melihat Rayyan sedang berjalan ke arah mereka. Tersenyum lebar Nia apabila melihat kelibat Rayyan. Terasa Rayyan membawa aura yang mampu menggembirakan dia sepanjang hari itu.
“Apa khabar auntie,” Rayyan bersalaman dengan Mazura.
Aduh! Sopannya Abang Rayyan. Mesti mama suka kalau Abang Rayyan jadi menantu mama.
“Abang apa khabar?” tegur Nia ramah.
“Baik,” jawab Rayyan ringkas.
Keadaan sepi seketika. Mazura dan Rahayu leka berborak. Nia asyik melirik ke arah Rayyan yang buat selamba saja dengan Nia. Geram pula dia tengok Rayyan. Bukannya nak ajak sembang. Paling kurang pun, tegurlah dia. Dia bukannya orang lain. Saudara juga.
Rayyan melirik ke arah Nia. Gadis itu tersenyum memandang ke arahnya. Jelas kelihatan lesung pipi di pipi kirinya. Rayyan balas senyum. Hambar.
Isy budak Hello Kitty ni. Asyik pandang aku saja. Rimas betul. Kenapalah aku perlu bertembung dengan dia hari ni? Menyesal pula teman ibu pergi membeli barang-barang dapur. Kalau tahu akan tertembung budak Hello Kitty ni, lebih baik aku ikut Hamidi pergi memancing tadi.
“Abang,” Nia memulakan bicara.
“Hmm,”
“Gambar masa hari jadi Nia hari tu Nia dah letak kat Facebook. Abang dah tengok?”
Rayyan mengerling ke arah Nia. Mana mungkin dia tak tengok. Semua gambar-gambar itu Nia tag pada dia.
“Belum,” bohong Rayyan. Bukan maksudnya untuk berbohong pada Nia. Dia cuma tidak mahu melanjutkan perbualan mereka.
“Oh, abang dah lama tak buka FB ya?”
“Ya,”
“Nia ada tag kat abang. Nanti abang tengoklah ye. Nia ada snap gambar abang tengah makan lasagna yang Nia buat. Nia paling suka gambar tu,”
Nampaknya dia terlupa yang Nia ni terlebih ramah. Ingatkan dengan jawapan ‘belum’, perbualan mereka tidak akan berpanjangan.
“Gambar masa makan lasagna?”
Isy, bila pula budak Hello Kitty ni tangkap gambar dia semasa makan lasagna?
“Aah. Cantik Nia snap. Siap nampak abang makan selekeh,” Nia tertawa kecil.
Ceh! Gambar aku makan selekeh pun dia letak kat facebook ke? Kenapa aku tak perasan? Mana nak perasan, dia tengok gambar yang Nia tag itu sepintas lalu saja. Malas.
“Abang,”
“Hmm…”
Aduh! Budak Hello Kitty ni nak cakap apa lagi?
“Boleh Nia tanya satu soalan?”
Rayyan pandang muka Nia. Sejak bila pula minta izin untuk tanya soalan ni?
“Tanyalah,”
“Malam ni abang free tak?”
Aduh! Soalan apa pula ni? Biasanya kalau orang tanya soalan begini, pasti nak ajak keluar jalan-jalan, makan atau tengok wayang. So, nak jawab apa? Kalau jawab tak free, tipulah pula. Tapi, kalau jawab free, pasti budak Hello Kitty ni ajak keluar.
Keluar dengan budak Hello Kitty ni? Oh my god!

Ibu, cepat datang selamatkan Rayyan!

3 ulasan: