Jumaat, 10 Julai 2015

TETAP AKU SAYANG (BAB 5)

TETAP AKU SAYANG (BAB 5)


BAB 5

            Kenangan itu menerpa tiba-tiba. Walaupun sudah enam tahun berlalu, namun kenangan itu tidak pernah luput di ingatannya. Wajah pemuda yang pernah mengisi ruang hatinya enam tahun yang lalu kembali terlakar di fikiran.
            Namun, itu bukan bererti dia masih cinta. Bukan maksudnya dia masih sayang. Malah dia akui, tiada secebis pun rasa sayang buat pemuda itu kerana cintanya sudah di serahkan sepenuhnya untuk suami tercinta.
            Tetapi…kenangan itu tetap dia ingat. Kerana itu adalah cinta pertamanya. Kerana…cinta pertama memang wujud dan dia bukan manusia yang kehilangan ingatan yang dengan senang-senang boleh mengusir segalanya dari minda. Tidak!
            Namun…kenapa setelah enam tahun, pemuda itu menghantar pesanan begini? Enam tahun satu tempoh masa yang lama. Kenapa? Kenapa pemuda itu mula mencarinya setelah enam tahun dia terlupa akan kewujudan seorang lelaki yang bernama Fahmi? Dan…apa tujuan Fahmi mengirimkan pesanan itu?
            Fahmi…kenapa…
            “Sayang, apa yang dimenungkan tu?”
            Suara Tuah Iskandar menampar gegendang telinganya. Serta merta bayangan Fahmi hilang.
            “Erk…tak ada apa-apa,” beritahu Hani sedikit gugup. Masakan dia hendak beritahu Tuah Iskandar apa yang sedang bermain di fikirannya? Sungguh, dia sendiri tidak dapat mengagak apa reaksi Tuah Iskandar kalau pemuda itu dapat tahu akan kemunculan semula Fahmi.
            “Penat?” tanya Tuah Iskandar sepatah.
            “Hmm…” balas Hani turut sepatah. Aduh! Rasa bersalah pula buat Tuah Iskandar macam ni. Dia sedang memikirkan lelaki lain sedang suaminya ada di sebelah. Memang dia sedang memikirkan Fahmi tetapi…itu tidak bermaksud dia menduakan Tuah Iskandar. Dia cuma tertanya-tanya kenapa Fahmi menghubunginya setelah enam tahun mereka berpisah.
            “Tak apa. Nanti malam ni kita makan kat luar aje,” putus Tuah Iskandar. Kasihan melihat isterinya yang kepenatan. Tidak sanggup mahu menyuruh Hani memasak makan malam mereka meskipun dia sentiasa merindui masakan isterinya.
            “Eh, tak apa. Biar Hani yang masak,” Okey Hani. Lupakan seketika pasal mamat seorang itu. Sekarang, fokus pada encik suami. Jangan hanya kerana benda remeh temeh itu, suami terabai pula.
            Hani menasihati diri sendiri.
            “Sayang penat. Tak payah susah-susahkan diri,”
            Hani pandang wajah Tuah Iskandar yang tenang memandu. Rasa tenang kembali menerjah dirinya. Wajah kacak Tuah Iskandar membuatkan bibirnya mengukir senyum. Sungguh! Dia begitu menyintai suaminya itu.
            “Kalau iyapun nak makan abang, tunggulah sampai rumah dulu ya,”
            Merona merah wajah Hani apabila diusik begitu. Pantas saja tangannya menampar lembut tangan kekar si suami.
Tuah Iskandar mengukir senyum. Senyuman yang suatu ketika dulu begitu susah menghiasi wajahnya namun kini…keindahan alam perkahwinan membuatkan dia tahu…bagaimana untuk tersenyum.
            “Abang, hari ni biar Hani ajelah yang masak ya,”
            “Tapi sayangkan penat,”
            “Hani ada special nak masak untuk abang,”
            “Sungguh sayang tak penat ke ni?”
            Anything for you abang,”
            “Abang cuma tak mahu susahkan sayang,”
            “Tak ada yang susah kalau buat sesuatu untuk abang,”
            Are you sure?
            Yeah
            “Kalau macam tu, nanti abang nak sayang buatkan sesuatu untuk abang,”
            “Sesuatu? Maksud abang?”
            Tuah Iskandar tidak menjawab sebaliknya bibirnya mengukir senyum senget. Entah kenapa Hani rasa gerun dengan senyuman itu. Pantas lengan Tuah Iskandar dicubit. Tuah Iskandar tertawa senang hati.



            Selamat pagi, Hani.

            Hani mengeluh melihat mesej yang masuk. Dari Fahmi lagi. Semalam dia tidak sempat untuk membalas mesej pemuda itu lantaran Tuah Iskandar sudah sampai untuk mengambilnya. Namun, Fahmi tidak putus harap. Di rumah pun, Fahmi masih menghantar mesej kepadanya. Mujur Tuah Iskandar tidak perasan telefon bimbitnya asyik berbunyi, kalau tidak…entah apa yang difikirkan suaminya itu.
            “Kau ni kenapa Hani?” tanya Julia ketika mereka sedang menikmati minum pagi di kafeteria hospital.
            “Muka dah macam lempeng basi aje tengok handphone tu? Kenapa? Jangan kata kau bergaduh dengan Tuah sudah ya,” sambung Julia lagi.
            “Tak adalah. Aku dengan Tuah okey saja. Kau tahu kan…”
            “Ya. Aku tahu dia suami yang terbaik buat kau. Dia dah tak macam dulu. Dia suami yang penyayang dan kau bersyukur sebab Tuhan kurniakan dia pada kau,” potong Julia sambil tertawa kecil. Sengaja dia mengulang ayat biasa Hani setiap kali berceritakan tentang Tuah Iskandar. Terlalu kerap sehingga dia sudah boleh menghafalnya.
Hani tersenyum melihat gelagat Julia.
            So, apa yang buatkan mood kau macam tak kena aje pagi ni? Jangan beritahu aku Doktor Azizul pula yang mesej kau ya,”
            “Isy, apa kau merepek ni Julia. Mamat tu kalau mesej aku, rasanya terbalik kut hospital ni,”
            Julia yang sedang menyumbat mulutnya dengan bihun, tertawa kecil. Buruk benar nampaknya makan sambil tertawa.
            So?
            Hani mengeluh kecil. Telefon bimbitnya diletakkan di atas meja. Cawan milo panas ditarik dekat dengannya. Milo yang masih berasap itu dipandang saja.
            “Dia mesej aku,” beritahu Hani perlahan.
            “Dia? Siapa dia?”
            Sekali lagi Hani mengeluh.
            “Hello…siapa dia tu?”
            Hani pandang Julia yang fokus merenung ke arahnya, menantikan sebuah jawapan.
            “Fahmi,”
            “Fahmi?” wajah Julia berkerut. Seketika rakannya itu menggigit-gigit hujung garfu sambil berfikir.
            “Kau tentu dah lupa dia kan?” tanya Hani apabila melihat gelagat Julia yang nampak sangat sudah lupa akan kewujudan pemuda bernama Fahmi.
            “Tak salah kalau kau lupa. Enam tahu tu satu tempoh yang terlalu lama,”
            Mata Julia kembali fokus ke arah Hani.
            “Tunggu sekejap…Kau kata enam tahun? Jangan cakap Fahmi yang tinggalkan kau dulu tu”
            “Malangnya aku terpaksa cakap. Ya, dialah orangnya,”
            What? Kenapa dia mesej kau? Dia cakap apa? Kau ada balas tak?” bertubi-tubi soalan yang keluar dari mulut Julia. Meskipun dia tidak mengenali siapa Fahmi namun dia tahu pemuda itu yang pernah membuat Hani terluka suatu ketika dahulu.
            “Dia hanya tanya khabar aje. Tapi aku tak sempat nak balas. Sibuk,”
            “Dia nak apa mesej-mesej kau ni?”
            “Manalah aku tau. Aku pun tertanya-tanya juga. Tapi aku tak balas mesej dia. Jadi, persoalan tu tak ada jawapan,”
            Julia mendekatkan wajahnya ke arah Hani. Dengan suara perlahan, dia berbisik.
            “Hani, kau jangan buat hal pulak. Tuah tu dah terbaik dikurniakan untuk engkau,”
            “Isy, kau ni Ju. Ke situ pula,” pantas saja tangan Hani ingin mencubit lengan putih gebu Julia itu tetapi rakannya itu sempat mengelak.
            “Mana tahu. Budak tu kan first love kau,”
            Hani mencebik.
            “Aku tetap sayangkan Tuah. Sentiasa sayang dia dan akan tetap sayang dia sampai bila-bila,”
            “Baguslah macam tu. So, just ignore the message,” Julia membuat kesimpulan sambil meneruskan suapannya.
            Hani tersenyum kecil. Okey, dia akan ikut cakap Julia. Tak perlu nak fikirkan sangat pasal mamat tu sebab semuanya sudah tidak penting. Ada atau tiada si Fahmi tu, sama saja. Dia tetap akan menjalani kehidupan seperti biasa. Tak terusik apa-apapun.
            Hani tersenyum senang.



Hani melirik jam di tangannya. Sudah hampir lima belas minit dia menunggu suaminya datang menjemputnya di tempat kerja namun bayangan Tuah Iskandar masih belum kelihatan. Bagi mengisi masa yang terluang, Hani membaca majalah yang sempat dibeli di kedai runcit hospital seketika tadi. Sengaja dia duduk di sudut kafetaria yang menghadap tempat parkir agar mudah dia lihat kalau-kalau Tuah Iskandar sudah tiba.
Pelakon terkenal bercerai talak satu.
Hmm…Hani menggeleng kepala membaca tajuk yang tertera. Isu penceraian artis-artis tanah air kerap mendapat tempat di media masa sejak kebelakangan ini. Adakalanya, dia terikir seperti trend pula kahwin cerai ini di kalangan artis. Bila musim kahwin, ramai yang kahwin. Dan bila bercerai, ramai pula yang bercerai.
Tapi bila difikirkan semula, bukan artis saja yang mengalami situasi begitu. Orang ramai yang di luar sana juga ramai yang berkahwin dan ramai juga yang bercerai. Tetapi mungkin kerana seorang artis itu merupakan ‘hak’ orang ramai, jadi cerita mereka lebih banyak digembar-gemburkan. Dari cerita tentang kerjaya sehingga cerita tentang peribadi. Semuanya mahu dikorek.
Hmm…minta dijauhkan semua ini berlaku dalam kehidupan dia. Cukuplah sekadar hidup bersederhana meskipun Tuah Iskandar merupakan anak orang berada namun, dia tidak pernah dibayangi dengan harta suaminya. Dia hanya perlukan kasih sayang dalam mengharungi hidup berumah tangga. Dan..syukur, dia dapat apa yang dia perlukan selama ini. Dan dia berharap agar bahagia ini akan menjadi milik mereka selama-lamanya.
Hani menyingkap helaian berikutnya. Sekadar membaca sepintas lalu sambil matanya menjeling-jeling kawasan parkir kereta di luar sana.
“Assalamualaikum,”
Sedikit tersentak apabila dia disapa dari arah depan. Pantas Hani mengangkat wajahnya. Kelihatan seorang pemuda sedang berdiri di hadapannya dengan senyuman di bibir yang terukir.
Seketika jantungnya seakan berhenti berdegup. Wajah pemuda itu dipandang. Sungguh! Walaupun sudah hampir enam tahun masa berlalu, namun dia masih mengingati raut wajah pemuda itu.
“Hani,” panggil pemuda itu penuh yakin.
“Fahmi,”
Fahmi tersenyum tatkala dia menyebut nama pemuda itu. Ternyata Hani masih mengingati dirinya.
“Boleh saya duduk?” tanya Fahmi.
Spontan Hani mengangguk. Walaupun agak kurang senang dengan kedatangan Fahmi yang tiba-tiba, namun siapa dia untuk menghalau pemuda itu di tempat awam begini? Kafetaria hospital…siapa-siapapun boleh masuk ke sini.
“Tak sangka awak masih ingat saya,” bicara Fahmi sebaik saja dia melabuhkan punggungnya berhadapan dengan Hani.
“Awak…awak buat apa kat sini?” tanya Hani sedikit gugup. Ternyata dia benar-benar kekok berhadapan dengan pemuda itu setelah sekian lama tidak bertemu.
“Melawat kawan kat wad 3A. Kemalangan jalan raya dua hari lepas,” jawab pemuda itu tenang.
“Oh,”
“Dan kebetulan, saya ternampak awak kat sini,”
Hani cuba menarik senyuman namun senyumannya benar-benar kaku.
“Tak sangka awak masih macam dulu. Tak banyak yang berubah,” ujar pemuda itu lagi.
Hani sekadar tersenyum. Tidak tahu apa yang perlu dibicarakan dengan pemuda yang telah ‘hilang’ enam tahun dari hidupnya itu.
So, how’s your life?
Fine. Everything was fine,
Happy to hear that. Tahniah juga sebab berjaya bergelar doktor. Itu cita-cita awak sejak dulu kan?”
Hani sekadar mengangguk. Sedikit tidak selesa apabila Fahmi menyebut perkataan ‘dulu’. Pemuda itu seolah-olah mahu menyingkap kisah lama mereka. Wajah Fahmi direnung sekilas. Wajah kacak itu masih tetap seperti dulu. Tidak banyak yang berubah melainkan sedikit kumis yang tumbuh membuatkan wajah itu kelihatan sedikit matang berbanding dulu.
“Kenapa?”
“Ha?”
“Kenapa awak pandang saya macam tu?”
“Erk…tak ada apa-apa cuma…cuma…” Cuma apa ni Hani.  Idea tolong datang sekarang!
Its okay. Mungkin awak tak percaya saya yang ada di hadapan awak sekarang ini  adalah orang yang telah hilang sejak enam tahun yang lalu,”
“Oh…yeah,”
Fahmi tersenyum melihatan kekalutan di wajah Hani. Entah kenapa dia rasa tenang melihat wajah itu. Serta merta kenangan lama terimbau di ingatannya.
“Hani,”
“Hmmm?”
“Terlanjur jumpa awak ni…saya…saya nak minta maaf sebenarnya,”
“Maaf?  Maaf untuk apa?”
“Tentang perkara dulu. Tentang…”
“Okey stop. Fahmi, Semuanya dah berakhir. Dah terlalu lama ianya berlaku dan saya rasa tak perlu kita sebutkan lagi perkara itu kan?” seboleh mungkin Hani cuba mengelak dari membicarakan kisah lalu. Dia tidak mahu mengingatinya lagi. Perkara dah lepas, biarkan sajalah ia berlalu dan tak payah nak diimbas kembali.
“Ya, saya tahu. Tapi, hati saya tak tenteram selagi tak minta maaf pada awak. Saya tahu saya pergi begitu saja dari awak. Tanpa sebarang kata, tanpa sebarang penjelasan. Saya buat awak kecewa,”
Hani menarik nafas dalam.
“Enam tahun, Fahmi. Saya dah lama maafkan awak. Malah, saya pun dah hampir lupa semua itu,”
“Tapi saya tak pernah lupa. Hidup saya sering dibelenggu rasa bersalah pada awak. Saya cuba cari awak selama ini. Nak tanya keluarga awak saya takut. Akhirnya, saya dapat tahu awak dah berpindah dan bekerja di KL ni,”
“Awak cari saya? Buat apa cari saya?”
“Untuk beritahu awak…I’m sorry,”
“Hanya itu?”
Fahmi mengangguk.
“Okey, kalau hanya untuk meminta maaf…saya nak beritahu awak yang saya dah lama maafkan awak. Nothing to worry about that,”
“Jadi, awak tak marahkan saya?”
“Marah?”
“Kerana tinggalkan awak tanpa sebarang penjelasan,”
Hani tertawa kecil.
“Saya percaya dengan setiap apa yang berlaku ada hikmah di sebaliknya. Lagipun, sekarang saya dah ada kehidupan saya sendiri dan saya percaya begitu juga dengan awak. So, tak ada apa lagi yang saya perlu pertikaikan dengan apa yang telah berlaku,”
Fahmi tersenyum namun dia dapat lihat senyuman hambar yang terukir di bibir Fahmi. Pemuda itu tunduk, merenung meja yang kosong.
Kenapa pula dengan mamat ni? Bukankah aku dah kata yang aku dah maafkan dia. Lagipun, aku rasa benda ni tak perlu di jadikan isu langsung. Enam tahun! Dah terlalu lama untuk disingkap kembali cerita itu.
“Hani,” lirih suara Fahmi memanggil namanya. Entah kenapa, Hani rasa ada susuatu yang ingin disampaikan Fahmi. Bukan sekadar hanya dengan perkataan ‘I’m sorry’ tetapi ada perkara lain yang cuba diberitahu oleh pemuda itu. Tapi…apa?
Saat itu, mata Hani terpandang sesusuk tubuh yang sedang berdiri tegak di luar kafetaria, memandang ke arah mereka dengan pandangan yang tajam. Saat itu Hani rasa bagai mahu pengsan. Dia tahu akan maksud pandangan itu.
Tuah…

Tiada ulasan:

Catat Ulasan