Khamis, 3 April 2014

DI DEPAN MATA (BAB 5)

DI DEPAN MATA (BAB 5)
BAB 5
Terlalu sukar untuk aku memadam kenangan itu meski hati ini sudah terisi dengan cinta dia – Hezri
Bingkai gambar yang terletak di atas meja dicapai. Bingkai kayu yang terukir cantik itu di dekatkan padanya. Gambar yang tersemat di dalam bingkai kayu itu ditenung. Gambar lama yang banyak menyimpan kenangan masih kekal dalam jagaannya malah dijaga rapi serapi kenangan itu dalam mindanya.
Meskipun ia sudah lama berlalu, namun…kenangan itu masih kekal dalam ingatan.
Gambar kelas tingkatan lima Anggerik itu ditatap lagi. Wajah seorang demi seorang rakannya menjadi tatapan matanya. Gambar rakan-rakan lama. Masing-masing sudah membawa haluan masing-masing setelah tamat peperiksaan SPM. Ada yang melanjutkan pelajaran ke peringkat lebih tinggi, ada yang sudah memulakan kerjaya, malah ada juga yang sudah mendirikan rumah tangga.
Pandangannya terhenti apabila melihat wajah seorang gadis. Gadis yang bertocang ekor kuda itu telah menarik perhatiannya sejak kali pertama bertemu. Gadis itu kelihatan comel di matanya. Bukan sahaja kerana raut wajah yang cantik malah sikap manja tapi tegas, ceria dan happy go lucky membuatkan dia tertarik kepada gadis itu.
Gadis Hello Kitty…
Dia tersenyum.
Nia…Itulah nama gadis yang telah mencuri hatinya suatu ketika dahulu. Gadis yang dipuja dalam diam. Gadis yang terlalu obses dengan kartun Hello Kitty. Walaupun nampak macam budak-budak walhal ketika itu mereka berada di dalam tingkatan empat namun bagi dia, ianya nampak comel dan padan saja dengan Nia.
Mengingati Nia membuatkan dia tersenyum. Meskipun hasrat hatinya tidak pernah terluah, namun dia berasa gembira kerana pernah menjadi insan yang rapat dengan gadis itu suatu ketika dahulu.
Bukan dia tak mahu mencuba. Bukan dia tidak mahu menyatakan hasrat hatinya pada Nia. Bukan dia tidak mahu meluahkan rasa cinta yang di pendamkan selama mengenali gadis itu tetapi…hasratnya terbantut apabila Nia menyatakan sesuatu. Ketika itu mereka sedang menikmati minuman di bawah pokok, setelah selesai latihan rumah sukan.
“Awak dah ada special?” tanya Hezri sambil melirik pada Nia di sebelahnya. Entah kenapa soalan itu yang meluncur keluar dari mulutnya. Setelah hampir dua tahun mengenali Nia, barulah dia berani bertanya. Itupun setelah semalaman dia berfikir. Dia perlu tahu kerana setelah tamat peperiksaan SPM, dia bimbang tidak akan bertemu Nia lagi.
Dan…hari itu dia rasakan hari yang sesuai memandangkan hanya dia berdua saja dengan Nia.
Special?” Nia mengerutkan dahinya sambil memandang ke arah Hezri. Tocang ekor kudanya turut berayun mengikut rentak kepalanya. Comel sungguh!
“Erk…maksud saya…boyfriend,” takut-takut Hezri ingin mengungkapkannya. Bimbang kalau-kalau Nia tidak suka.
Nia ketawa kecil dan kemudian gadis itu mengangguk perlahan.
Anggukan Nia membuatkan Hezri tergamam. Apa maksud anggukan itu? Adakah Nia sudah ada teman istimewa?
“Erk…maksud awak…Awak sudah ada teman istimewa?” tanya Hezri inginkan kepastian.
“Ya,” Nia mengangguk lagi. Lesung pipit di sebelah kiri pipinya jelas kelihatan saat dia tersenyum. Senyuman itulah yang mencairkan hati Hezri. Namun…
“Oh…” Ada rasa hampa apabila mendengar jawapan Nia. Tapi, siapakah lelaki yang bertuah itu? Siapakah lelaki yang telah mencuri hati Nia? Selama mengenali Nia, dia tidak pernah nampak Nia rapat dengan mana-mana lelaki.
Hezri ingin bertanya tetapi Nia terlebih dahulu bersuara.
“Tapi…”
Hezri memandang ke arah Nia. Tetapi apa? Hezri masih menanti.
“Hanya Nia yang suka dia,”
Hezri mengerutkan dahinya.
“Dia tak suka Nia?” tanya Hezri.
“Bukan,”
“Jadi?”
“Dia tak tahu Nia suka dia,”
“Nia tak beritahu dia?”
Nia tertawa sambil menampar perlahan lengan Hezri.
“Apalah awak ni, Hezri. Walaupun Nia ni kadang-kadang muka tak malu, walaupun Nia ni perangai gila-gila tapi Nia ni perempuan. Takkanlah Nia nak cakap yang Nia suka dia,”
Hezri tersenyum mendengar celoteh Nia. Comel saja dia lihat mulut Nia yang bergerak-gerak itu.
“Jadi, Nia betul-betul suka dia?”
“Ya. Dah lama Nia suka dia,”
“Sejak bila?”
“Sejak kecil,”
“Sejak kecil?”
“Ya,”
“Maksud Nia?”
“Dia sepupu Nia, Abang Rayyan,”
Bunyi telefon bimbit mematikan lamunannya. Kenangan dengan gadis Hello Kitty itu terbang di bawa angin. Pantas Hezri mencapai telefon bimbitnya lalu di dekatkan ke telinganya.
“Helo you,” kedengaran suara riang gadis di hujung talian.
“Ya,” sahut Hezri.
“You tengah buat apa?” tanya gadis itu.
“Tak ada apa. Saja lepak-lepak,” jawab Hezri.
“You ingatkan I ya,” kedengaran gadis itu tertawa.
“Erk…adalah sikit,” bohong Hezri.
“You! Sikit aje ke?” ada nada rajuk di hujung talian.
“Takkan pasal inipun nak merajuk?”
Gadis itu terus tertawa.
“I gurau aje,” ujar gadis itu.
Hezri tersenyum nipis.
“You, jangan lupa malam ini ya,”
“Ya, I tak lupa,”
“Ambil I macam biasa,”
“I tahu,”
“Pukul 8 malam,”
“Ya,”
“Jangan lambat tau,”
“Ya sayang. I tahu,”
Gadis itu tertawa kecil. Seketika kemudian, mereka mematikan talian.
Hezri memandang telefon bimbitnya yang sudah menyepi. Wajah si pemanggil membuatkan bibirnya mengukir senyum. Gadis yang kini menjadi kekasih hatinya. Gadis yang berjaya membuka pintu hatinya terhadap cinta setelah sekian lama hatinya tertutup lantaran kecewa dengan gadis Hello Kitty suatu ketika dahulu.
Walaupun hatinya sudah di miliki namun dia berharap agar suatu hari nanti dia akan bertemu dengan Nia. Nia gadis pertama yang dicintai dan kenangan itu akan selama-lamanya kekal di dalam hatinya.
“Kak dah balik?” tanya Hezri sewaktu melihat Juwita melangkah masuk ke dalam rumah.
“Hmm,” sahut Juwita lantas melabuhkan punggungnya di atas sofa. Dia mengeluh kepenatan.
“Kak pergi mana?” tanya Hezri sambil mencapai alat kawalan jauh televisyan. Hanya dengan sekali picit, skrin televisyen yang tadinya gelap kini penuh dengan warna-warni.
“Minggu depan kan kak masuk kerja baru. So, kak pergi shopping baju, kasut, handbag,”
“Wah, masuk kerja baru pun kena beli semua baru ke? Kan baju, kasut, handbag kak banyak dalam almari tu,”
“Ini bukan soal banyak ke sikit. Ini soal semangat. Kerja baru kena semangat baru. Bila kita pakai barang-barang baru, barulah semangat tu berkobar-kobar sikit,” ujar Juwita dengan mata yang galak. Bersemangat sungguh untuk masuk kerja baru. Maklumlah, Juwita sudah lama mencari kerja apabila membuat keputusan untuk berhenti dengan notis 24 jam di pejabat lama dulu. Kakaknya itu tidak tahan dengan sikap budak-budak pejabat yang tidak sebulu dengannya.
Hmm…macam-macam.
“Hezri, malam ni kita makan kat luar. Kak malas nak masak lah,” ajak Juwita.
Sorrylah kak. Malam ni saya dah janji dengan kawan,”
Juwita menoleh ke arah Hezri dengan pandangan yang mencurigakan.
“Kawan? Siapa?” tanya Juwita dengan dahinya dikerutkan.
“Adalah,”
“Perempuan?”
“Hmm…”
“Perempuan mana pula ni?”
Hezri tidak menjawab sebaliknya matanya tidak lekang daripada menatap skrin televisyen yang entah apa-apa ceritanya. Tak masuk dalam kepala langsung.
“Dengar tak kak tanya ni?” suara Juwita di kuatkan sedikit.
“Alah…kak tak perlu tahulah,”
“Dah pandai nak berahsia dengan kak?”
“Bukan macam tu,”
“Dah tu?”
“Sampai masa nanti, saya kenalkanlah dengan kak,”
Juwita mengeluh.
“Kak bukan apa. Kak cuma tak mahu kau kenal dengan perempuan-perempuan yang entah apa-apa. Perempuan sekarang ini susah nak percaya. Ramai yang jahat,”
Hezri biarkan saja Juwita membebel. Walaupun dia tahu niat kakaknya itu baik tetapi, dia rasa Juwita tak sepatutnya masuk campur urusan peribadi dia. Tahulah dia bagaimana hendak pilih teman hidup sendiri. Juwita boleh memberi pandangan tetapi kakaknya itu tidak boleh membuatkan keputusan untuknya.
Cukuplah suatu ketika dahulu…
Juwita membuatkan keputusan untuknya. Di kala itu dia masih mentah. Hanya menurut sahaja. Dan sehingga kini, dia menyesal kerana tidak menghalang keputusan yang dibuat Juwita. Kerana dia tidak bertegas, dia kehilangan Nia, insan yang sangat dia sayang.

2 ulasan: