Jumaat, 10 Julai 2015

BIAR SAMPAI SYURGA (BAB 2)

BIAR SAMPAI SYURGA (BAB 2)

BAB 2



            “Aira,”
            Aira terus diterpa sebaik saja kakinya menjejaki villa mewah itu. Bibirnya cuba mengukir senyum saat matanya bertentang dengan wanita di hadapannya itu.
            “Ya Allah, Aira. Apa dah jadi ni? Aira dari mana? Kenapa baju basah lencun ni?” bertubi-tubi soalan keluar dari mulut Mak Jah. Terlihat kegusaran pada wajah tua itu. Pembantu rumah yang sudah dianggap seperti ibu sendiri, segera mendapatkan tuala lalu dihulurkan kepada Aira.
            “Nah, cepat lap badan tu,” arah Mak Jah.
            Aira sekadar menggangguk. Tuala merah jambu itu dicapai lalu digosok pada wajah serta rambutnya yang basah.
            “Hujan lebat tadi. Aira tak bawa payung,” Aira berbohong. Mana mungkin dia menceritakan perkara sebenar kepada Mak Jah. Mak Jah pasti akan mengucap panjang jika tahu apa yang dia cuba lakukan.
            “Kenapa tak telefon rumah? Mak Jah boleh suruh Pak Husin kamu ambil,”
            “Tak mengapalah Mak Jah. Lagipun mana Aira nak campak kereta Aira tu?”
            Mak Jah sekadar menggeleng kepala. Rasa kasih kepada anak gadis pasangan Dato’ Hafiz dan Datin Zila tidak pernah bertepi. Aira dijaga sejak kecil sehingga sudah besar begini, membuatkan dia menganggap gadis itu seperti anak sendiri.
            “Sudahlah tu. Pergi bersihkan badan. Takut demam pula nanti terkena hujan,”
            Aira paksa ukir senyum.
            “Nanti Mak Jah sediakan makanan,”
            “Erk..tak mengapalah Mak Jah. Aira tak lapar. Aira dah makan sebelum balik tadi,” sekali lagi dia berdalih. Sememangnya sejak petang tadi dia tidak menjamah apa-apa makanan. Permintaan perpisahan daripada Anuar sudah cukup untuk membuatkan dia ‘kenyang’.
            “Atau nak Mak Jah sediakan sup ayam?” tanya Mak Jah lagi. Benar-benar prihatin dengan anak majikannya itu.
            Pantas Aira menggeleng.
            “Tak mengapa Mak Jah. Terima kasih. Aira masuk dalam dulu ya,”
            Wanita tua itu sekadar memandang anak gadis itu sehingga hilang dari pandangan. Seketika dia menggeleng kepalanya.
            ‘Kasihan anak ini,’



            Telefon bimbitnya berbunyi sebaik saja dia melangkah masuk ke bilik. Tas tangannya dihumban ke atas tilam. Seketika bunyi telefon bimbit berhenti. Suasana kembali menjadi sepi.
            Aira melabuhkan punggungnya di atas katil. Saat itu dia terasa sunyi. Kesunyian benar-benar mencengkam jiwanya. Wajah Anuar bermain-main di fikiran. Anuar yang sedang tersenyum ke arahnya, Anuar yang sedang khusyuk memandu, Anuar yang masam mencuka tatkala dia mengusik. Ah! Pelbagai reaksi wajah Anuar yang membuatkan dia rindu.
            Bunyi telefon bimbit kembali kedengaran. Pantas Aira mengeluarkan telefon kecil itu dari tas tangannya. Jauh di sudut hati, dia mengharapkan panggilan itu dari Anuar. Dia mengharapkan agar Anuar memujuknya kembali dan menarik balik kata perpisahan. Meskipun harapan itu terlalu tipis, namun dia tetap mengharapkan ada sinar keajaiban yang akan berlaku dalam hubungan dia dengan Anuar.
            Aira mengeluh tatkala melihat bukan nama Anuar yang tertera.
            Dan…keajaiban itu tak mungkin akan berlaku.
            “Hello Aira,”
            “Ya Rin,”
            “Kau kat mana ni?”
            “Rumah,”
            Kedengaran rakan baiknya itu menghela nafas lega. Entah kenapa Rina berkelakuan seperti itu dia tidak pasti.
            “Kenapa?” ringkas Aira bertanya.
            “Puas aku call engkau tak dapat. Risau juga aku dibuatnya,”
            “Risau? Kenapa perlu risau? Macamlah tak biasa aku balik rumah sorang-sorang sebelum ni,” Aira cuba berlagak biasa. cuba mengawal emosinya tatkala ini. Ini bukan masanya untuk bercerita tentang Anuar kepada Rina. Dia masih belum kuat. Dia takut akan menangis nanti.
            “Anuar,”
            Sebaris nama yang keluar dari mulut Rina membuatkan jantungnya bagai hilang rentak. Kenapa tiba-tiba Rina menyebut nama Anuar? Adakah gadis itu sudah tahu apa yang terjadi atau…apa?
            “Anuar? Kenapa dengan dia?” pantas saja Aira bertanya. Ternyata sayangnya pada Anuar masih bersisa.
            “Dia call aku tadi,” beritahu Rina.
            “Kenapa? Dia nak apa?” berdebar-debar juga jantung Aira menanti jawapan Rina. Kenapa Anuar menghubungi Rina?
            “Dia tanya kau pergi mana? Puas dia call engkau, tapi tak ada jawapan,” suara Rina memberitahu di hujung talian.
            Aira menghela nafas berat. Seketika dia membelek telefon bimbitnya. Sejak perpisahan diminta Anuar, dia terus mematikan telefon bimbitnya. Enggan diganggu saat fikirannya benar-benar kacau. Saat hatinya dihancurkan, dia tidak mampu untuk menghadapi sesiapa malah untuk berdepan dengan diri sendiri pun dia gagal.
            Namun, sebaik saja dia menghidupkan telefion bimbitnya, bertubi-tubi mesej yang masuk namun dia tidak berniat hendak mengetahui kandungan mesej-mesej tersebut. Dia lebih rela mendiamkan diri. Duduk menyepi seorang diri dianggap perkara yang terbaik untuk seketika waktu ini.
            “Aira,” panggilan Rina mematikan lamunannya. Serta merta dia membetulkan duduknya lalu cuba untuk fokus kepada suara sahabat baiknya itu.
            “Yup,” sahutnya ringkas.
            Are you okey?” pertanyaan Rina membuatkan Aira mengerutkan dahinya. Kenapa Rina bertanya begini? Adakah….
            Yes, I’m fine. Why?” suaranya dimaniskan dan dia cuba membuat wajah seceria mungkin. Meskipun Rina tidak nampak namun dia mengharapkan agar wajah yang ceria dapat melahirkan suara yang ceria.
            Sure?
            “Yeah…tapi…kenapa kau tanya macam ni? Lain macam aje aku dengar,” Aira cuba berlawak. Buat-buat gelak.
            “Nuar,” sekali lagi nama Anuar disebut Rina.
            Kali ini Aira mendiamkan diri. Menanti bicara Rina seterusnya dengan debaran di hati.
            “Kau orang berdua dah break ye?” soalan Rina membuatkan Aira mengeluh perlahan. Tubir matanya terasa hangat. Mendengar perkataan break membuatkan hatinya terkulai lemah. Ternyata sayangnya terlalu dalam. Cintanya tidak pernah berbelah bagi buat pemuda bernama Anuar. Namun, setianya tidak pernah dihargai. Sesuka hati Anuar mencampakkan cintanya di mana-mana tanpa dia tahu sebab dan alasan. Kejamkan?
            “Aira,” panggil Rina perlahan. Dari suara Rina, dia tahu sahabatnya itu takut-takut untuk bertanya. Mungkin mahu menjaga hatinya dalam masa yang sama mahu tahu akan kebenaran cerita yang dia dengar.
            “Apa Nuar cakap?”  tanya Aira cuba menahan sendu. Seboleh mungkin dia cuba mengawal hatinya dari bersedih. Seboleh mungkin dia cuba bertahan dari terus menangis.
            “Aku yang desak dia cakap sebab dia call kau banyak kali tak dapat. Aku ingat gaduh-gaduh biasa tapi…”
            Air mata Aira sudah merembes keluar. Nampaknya usaha untuk mengawal perasaannya gagal. Dia tidak kuat. Dia terlalu lemah saat ini. Tidak perlu Rina sambung ayat itu dia sudah tahu. Pasti Anuar sudah menyatakan yang hubungan mereka sudah tamat.
            “Aira,”
            Aira diam. Dia yakin kalau dia bersuara, pasti Rina akan tahu dia sedang menangis. Pantas dia menarik nafas dalam-dalam dan menghembusnya perlahan. Cuba menahan suaranya yang sedikit bergetar.
            It’s okey Rin,” balasnya perlahan. Okey? Okey kah dia?
            “Tapi…kenapa? Kenapa kau orang berdua break? Serius, aku terperanjat,”
            “Kau tak tanya Nuar?”
            “Tanya,”
            Then, apa jawapan dia?”
            “Dia diam aje,”
            Aira mengeluh entah untuk kali ke berapa. Sedangkan dia sendiri tidak tahu kenapa dan apa sebabnya, inikan pula Rina.
            “Aira, kenapa?” desak Rina lagi.
            “Macam mana aku nak beritahu kau sedangkan aku sendiri tak tahu apa sebabnya,” beritahu Aira sebak. Terlalu sukar untuk menerima dirinya yang ditinggalkan tanpa tahu di mana silap dan salahnya.
            “Jadi? Dia tinggalkan kau tanpa sebab?”
            “Mungkin ada sebab tetapi aku tak tahu,”
            “Kejamnya Nuar,”
            Aira cuma diam. Kejam? Ya, memang kejam menyatakan perpisahan saat cintanya kukuh buat pemuda itu tapi…untuk membenci seorang lelaki bernama Anuar, dia ternyata tidak mampu.
            “Rin, aku nak rehat,” Aira cuba untuk menamatan perbualan. Sama sekali tidak mahu lagi berbicara soal hubungannya dengan Anuar. Lagi nama pemuda itu disebut, semakin ranap ruang hatinya. Semakin dia terluka. Luka yang dirasakan tiada penyembuhnya.
            “Okeylah Aira. Jaga diri baik-baik ya,” pesan Rina sebelum mematikan talian. Walaupun Rina mahu berbicara lebih lanjut, tapi dia tahu Aira mahukan privasi saat ini. Dan dia tak mahu mengganggu.
            Aira mencampakkan telefon bimbitnya ke sisi. Jaga diri baik-baik? Pesanan Rina membuatkan hatinya menangis lagi. Baru seketika tadi dia tidak mampu menjaga dirinya sendiri. Baru beberapa jam yang lepas dia gagal mengawal kewarasan fikirannya. Baru lima jam berpisah dengan Anuar, dia menjadi manusia yang bodoh dengan mengambil jalan yang bodoh sebagai penyelesaian.
            Dan peristiwa beberapa jam yang lalu mengingatkan dia kepada pemuda itu. Pemuda yang berjambang halus, bertubuh sasa serta mempunyai pandangan yang mempersonakan.
            Serentak itu tangannya spontan memegang pipi kirinya. Seakan terasa bahang akibat tamparan pemuda itu. Tetapi…siapa sebenarnya pemuda itu? Kenapa dengan sewenang-wenangnya dia menjadi mangsa sedangkan mereka langsung tidak pernah kenal?
            Pemuda aneh itu…

Tiada ulasan:

Catat Ulasan