Khamis, 20 Mac 2014

DI DEPAN MATA (BAB 4)

DI DEPAN MATA (BAB 4)

BAB 4


“Hoi,”
Langkah Rayyan terhenti apabila tiga orang kanak-kanak menghalang laluannya.
“Kau nak apa?” tanya Rayyan lalu membetulkan beg sekolahnya yang senget sebelah.
“Bagi kami duit,” ujar Acim, budak paling gemuk di antara mereka bertiga.
“Aku tak ada duit,” balas Rayyan.
“Kau jangan tipu kami,”
“Aku tak tipu,”
Mata Acim membulat memandang Rayyan. Nafas kasarnya kedengaran bagaikan seekor naga sedang menghembuskan api ke arah mangsanya. Rayyan melangkah setapak ke belakang. Kalau diserang budak bertiga ini, pasti dia kalah. Tengok sajalah badan Acim…
“Kau nak bagi atau tak?” gertak Acim lagi.
“Tak,” sahut Rayyan.
“Kau nak kena pukul?”
“Tak,”
“Kalau macam tu, bagi cepat duit pada kami,”
“Kan aku dah cakap aku tak ada duit,”
Acim mendegus kasar. Seketika dia memandang dua budak suruhannya, Farok dan Jidin. Farok dan Jidin mengangguk-angguk tanda faham.
Rayyan mengundur lagi apabila Farok dan Jidin melangkah ke arahnya sambil mengepal penumbuk masing-masing. Aduh! Nak buat apa ni? Nak lari? Sempat ke? Nak lawan? Aku seorang, dia bertiga. Masak aku kalau kena pukul ni. Sudahlah aku tak tahu apa-apa seni mempertahankan diri.
Rayyan mengundur lagi. Dia tiada pilihan lain. Dalam kiraan tiga, dia terus buka langkah seribu. Namun, Farok dan Jidin tidak mahu lepaskan Rayyan. Mereka terus mengejar Rayyan sehinggalah Rayyan terjatuh apabila kakinya terpijak tali kasutnya sendiri.
“Mana kau nak lari ha?” Jidin sudah ketawa terbahak-bahak. Suka dia melihat wajah budak setahun kurang dari mereka itu ketakutan.
Rayyan cuba untuk bangun namun Farok segera merampas beg sekolahnya. Barang-barang di dalam beg dipunggah keluar. Habis buku-buku sekolah bertaburan di atas rumput.
“Kau tipu kami ya? Ini bukan duit,” ujar Farok sambil menunjukkan not satu ringgit yang di dapati dari dalam beg Rayyan.
Rayyan ketap bibir.
“Berani kau tipu kami,”
Baru saja Jidin mahu menghayun penumbuknya di muka Rayyan, kedengaran satu suara menyergah mereka.
“Tunggu!”
Suara yang nyaring.
“Jangan pukul dia!”
Jidin dan Farok segera menoleh. Kelihatan seorang kanak-kanak perempuan yang bertocang dua sedang bercekak pinggang.
Melihat budak perempuan itu, Jidin dan Farok tertawa terbahak-bahak.
“Hoi budak. Berani kau datang sini?” sergah Jidin.
“Jangan pukul Abang Rayyan,” ujar Nia tegas.
“Abang kau ke si lembik ni?”
“Dia abang sepupu Nia,”
“Oh, sepupu…” Farok dan Jidin tertawa lagi.
So, kalau aku tak nak lepaskan budak ni, kau nak buat apa?”
“Nia tak akan lepaskan kau orang berdua,”
Jidin dan Farok tertawa lagi mendengar kata-kata budak perempuan bertocang dua itu. Alah, setakat budak kecik macam tu, perempuan pula tu…apalah sangat. Jentik saja sudah menangis.
“Nia, pergi balik,” ujar Rayyan. Bimbang pula dia kalau-kalau Nia ditimpa bencana. Apa yang hendak dia katakan pada ibunya nanti? Apatah lagi pada Auntie Zura.
“Nia nak selamatkan abang,”
“Kamu dengar cakap saya. Pergi balik!”
Nia terdiam apabila Rayyan sudah meninggikan suara.
“Balik!”
Nia tunduk sambil melangkah setapak ke belakang. Dua tapak…tiga tapak…
“Sekarang kau rasakan,” satu tumbukan hinggap di perut Rayyan.
“Aduh!
“Abang!”
Tiba-tiba Jidin dan Farok menjerit-jerit. Nia melastik kedua mereka dengan batu-batu kecil. Batu-batu itu mengenai kepala, muka dan seluruh anggota badan Jidin dan Farok. Akibat tidak tahan sakit, Jidin dan Farok berlari meninggalkan mereka.
Yess!” Nia menjerit gembira.
Rayyan menghampiri Nia.
“Abang okey?”
“Apa kamu buat ni?”
“Nia nak selamatkan abang,”
“Kamu tahu tak kamu dalam bahaya tadi?”
“Asalkan abang selamat,”
Buat seketika, Nia dan Rayyan saling bertentang mata.
“Hoi, apa kau buat kat kawan-kawan aku ha?” suara Acim bergema. Acim yang bertubuh gempal itu termengah-mengah berlari ke arah mereka.
Rayyan pandang Nia. Nia pandang Rayyan.
“Lariiiiii!”




“Hoi,”
Bahu Rayyan di tepuk. Dia menoleh. Kelihatan Anaqi sedang tersenyum ke arahnya sambil membawa secawan nescafe panas. Air yang masih berasap itu diletakkan di atas meja. Anaqi duduk berhadapan dengan Rayyan.
“Termenung?” tegur Anaqi.
Kafetaria yang terletak di tingkat bawah Wisma Nordin itu agak lengang masa itu. Mungkin kerana masa masih terlalu awal. Lagi sepuluh atau lima belas minit, pasti kafetaria itu akan mula sesak.
“Kau ingatkan siapa?” tanya Anaqi sambil menghirup nescafe yang masih panas itu.
Rayyan mengeluh apabila mendengar pertanyaan Anaqi, rakan satu department dengannya.
“Teringat budak Hello Kitty tu?” duga Anaqi.
Rayyan pandang Anaqi. Sememangnya tiada rahsia antara dia dengan Anaqi. Anaqi, rakan baiknya yang di kenali semasa di universiti. Kewujudan keserasian antara mereka membuatkan mereka rapat sehingga kini apatah lagi apabila dapat bekerja di satu tempat yang sama.
“Aku teringin nak jumpa budak Hello Kitty tu. Tentu comel kan?” usik Anaqi. Bukan dia tak tahu yang rakannya itu ‘alah’ betul dengan budak Hello Kitty itu.
“Kau nak kenal dia? Boleh aku kenalkan nanti,” ujar Rayyan bersahaja. Air yang dipesan diteguk lagi.
Are you sure? Kau tak jelous?” sengaja Anaqi mengusik.
Jelous? Dengan Nia? Pasti tidak,” jawab Rayyan menggelengkan kepalanya beberapa kali.
“Memang kau boleh kenalkan tapi nak ke dia berkenalan dengan aku?”
Rayyan tidak menjawab soalan Anaqi. Dia memandang air nescafe di hadapannya yang semakin sejuk.
“Rayyan, kau tak suka budak tu ke?” duga Anaqi lagi. Selama ini Rayyan selalu bercerita tentang budak Hello Kitty itu. Menerusi cerita-cerita rakannya itu, Anaqi tahu si Hello Kitty itu menyimpan perasaan pada Rayyan. Cuma Rayyan saja…
“Siapa?”
“Nia?”
Rayyan pantas menggeleng.
“Tapi dia suka kau,”
“Dia tu sepupu aku,”
“Tak salah kan kalau kahwin sepupu?”
“Aku tak terfikir sampai ke situ. Lagipun, aku tak ada perasaan langsung kat budak Hello Kitty tu,”
“Sikit pun tak ada?”
“Tak,”
“Sikiiiiit…”
“Tak ada!”
Anaqi terdiam apabila Rayyan tekankan perkataan ‘tak ada’. Maksudnya, memang rakannya itu tak ada perasaan walau sekelumit pun pada budak Hello Kitty tu. Kasihan Nia. Kalau ikutkan cerita Rayyan, sudah lama Nia sukakan Rayyan. Cuma Rayyan saja yang tak layan. Anaqi pernah lihat gambar Nia di facebook. Gambar yang di tag bersama Rayyan. Cantik juga budaknya. Comel!
“Minggu depan aku dengar ada ramai pekerja yang akan masuk,” beritahu Anaqi sekaligus mengakhiri topik berkenaan Nia.
Rayyan mengerutkan dahinya.
“Pengambilan pekerja baru,”
“Department mana?”
“Aku tak tahu. Tapi dengar cerita ada seorang akan masuk department kita,,”
“Oh, baguslah. Kurang sikit bebanan kerja,”
“Minta-mintalah ada yang cantik-cantik. Boleh aku kahwin tahun depan,”
Rayyan mengerutkan dahinya memandang Anaqi. Anaqi tersengih macam kerang busuk.
“Hai. Player macam kau ni takkan tak ada steady awek untuk ajak kahwin,” sindir Rayyan. Tahu benar dia dengan sikap kasanova Anaqi. Anaqi itu nampak saja muka baik tetapi awek keliling pinggang. Gelaran kasanova di berikan oleh Rayyan sendiri memandangkan Anaqi gemar bertukar makwe. Sekejap perempuan ini, bulan depannya sudah bertukar orang lain.
Pelik betul Rayyan dengan Anaqi ini. Tak bosankah bertukar-tukar pasangan? Kalau asyik bertukar, macam mana nak cari yang steady?
“Bukan tak ada steady cuma belum jumpa,” selamba Anaqi menjawab.
“Belum jumpa? Setiap bulan orang berlainan, kau kata belum jumpa?” bulat mata Rayyan mmandang ke arah Anaqi. Ni apa kes pula ni?
“Mungkin akan jumpa bila kau kenalkan Nia pada aku,” Anaqi mengusik lagi. Suka dia melihat wajah Rayyan apabila nama Nia disebut.
Rayyan memandang Anaqi dengan wajah tak puas hati. Meskipun dia tidak sukakan Nia sepertimana yang gadis itu inginkan tetapi dia sama sekali tidak akan biarkan Anaqi bersama Nia. Kenapa? Kerana Anaqi, kasanova hebat di Kuala Lumpur. Dan dia tidak mahu Nia termasuk dalam senarai kekasih pemuda itu.
“Bukankah tadi kau nak kenalkan aku dengan dia?” tanya Anaqi lagi. Kali ini bersungguh.
“Tadi aku main-main. Secara serius nya, aku takkan benarkan Nia masuk dalam senarai kekasih kau yang panjang berjela tu,”
Come on Rayyan. Macamlah aku ni teruk sangat,”
As a friend, kau memang kawan yang baik. But as a soul-mate, aku tak berapa yakin dengan kau,” selamba Rayyan menjawab.
“Huh!” Anaqi mengeluh dan tidak lama kemudian, meminta diri untuk kembali ke pejabat yang berada di tingkat empat.
Sebaik saja Anaqi hilang dari pandangan, Rayyan kembali termenung. Ingatannya terbang ke masa lampau. Zaman kanak-kanak yang suram di mana dia selalu menjadi mangsa buli Acim dan rakan-rakannya. Dia sendiri tidak tahu kenpa Acim memusuhinya. Kenapa Acim menjadikan dia sebagai mangsa?
Tetapi…dia tidak kisah tentang itu…
Yang dia kisah…setiap kali dia dibuli, budak Hello Kitty itu akan jadi penyelamat.
Itu baru cerita Nia melastik budak-budak nakal tu. Belum lagi cerita Nia buli Acim semula. Tak sangka Acim yang kuat itu takutkan katak. Terlompat-lompat Acim yang gemuk itu apabila terpegang katak yang ada di dalam begnya. Sudah macam anak jin menari hip hop pula.
Siapa yang letak katak tu dalam beg Acim? Siapa lagi kalau bukan Nia. Nia kata nak balas dendam sebab Acim makan bekalan dia. Nia balas dendam untuk dia? Dan yang buat mata dia terbeliak, Nia yang pergi tangkap katak itu sendiri. Biar betul budak Hello Kitty ni?
Itulah sebab kenapa dia tak mahu rapat dengan Nia. Sebab…seharusnya dia yang melindungi Nia. Dia yang sepatutnya menjadi penyelamat untuk Nia tetapi…semuanya sudah terbalik. Nia yang melindunginya. Nia yang mempertahankan dia. Dan tangan Nia pernah luka-luka ketika cuba mengambil selipar Rayyan yang tersangkut di atas pokok.
Dia benci pada diri sendiri.
Dan…dia malu dengan budak Hello Kitty itu!

Tiada ulasan:

Catat Ulasan