Jumaat, 20 Disember 2013

DI DEPAN MATA (BAB 2)

DI DEPAN MATA (BAB 2)
BAB 2 
            Itu cerita 20 tahun yang lalu. Cerita yang kerap kali diceritakan oleh Rahayu hampir setiap tahun, setiap kali menyambut hari ulang tahun budak Hello Kitty itu. Kadang-kadang dia malas mahu dengar. Cerita yang diulang-ulang dan rasa-rasanya dia sudah boleh hafal setiap patah perkataan. Ibu ini pun satu, tak pernah jemu ke cerita perkara yang sama pada dia?
            Sebut pasal jemu, Rayyan teringatkan  budak Hello Kitty itu. Budak itupun satu. Tak pernah nak jemu pada Hello Kitty. Dari umur satu tahun sampai sekarang sudah dua puluh satu tahun, sambut hari jadi dengan kek gambar Hello Kitty. Sekejap Hello Kitty pakai skirt kembang, sekejap Hello Kitty pegang payung, sekejap Hello Kitty duduk bersimpuh di taman…dan macam-macam lagi ragam patung Hello Kitty pada kek yang ditempah. Ada 21 ragam semuanya ya!
            Tak jemu ke?
            Bukan setakat kek Hello Kitty,  jam kat tangan dia pun Hello Kitty. Getah rambut…Hello Kitty juga. Beg duit ada gambar Hello Kitty, beg tangan ada key chain Hello Kitty…kat dalam bilik dia penuh Hello Kitty. Eh, itu yang dia masuk masa kecil-kecil tau. Bila budak tu dah anak dara ni manalah ada dia masuk. Jeling pun tidak sebab dia dapat bayangkan semuanya Hello Kitty.
            Dia pula yang jemu!
            “Rayyan!”
            Belum sempat Rayyan menoleh, pintu dibuka. Wajah Rahayu muncul di balik pintu.
            “Ibu ni lain kali kalau nak masuk, ketuklah dulu pintu tu. Kalau Rayyan tengah seksi-seksi kat dalam bilik ni macam mana?” ujar Rayyan apabila melihat Rahayu sudah menjengah masuk ke dalam biliknya.
            “Alah, tak ada herannya ibu tengok. Ibu bela kamu dari kecil sampai kamu dah besar panjang begini. Dah puas ibu tengok kamu seksi,” bebel Rahayu.
            “Ibu ni ke situ pula,”
            “Ha, kamu tak bersiap lagi?”
            Rayyan garu kepala. Kalau boleh dia tidak mahu menuruti permintaan Rahayu yang satu ini. Apa alasan dia nak bagi ye?…Idea…idea…
            “Sudah, jangan nak bagi apa-apa alasan. Cepat pergi siap!”
            Nah, ibu macam tahu tahu saja apa yang bermain di fikiran dia.
            “Tapi bu…”
            “Rayyan please,”
            “Tapi…”
            “Rayyan tak sayang ibu ya? Sampai hati Rayyan. Ibu bukannya minta mini copper pun dari Rayyan. Ibu tak minta sebiji rumah banglo. Ibu pun bukan minta duit sekarung guni. Ibu cuma minta Rayyan ikut ibu pergi rumah Auntie Mazura sempena hari jadi Nia. Itu saja. Susah sangatkah permintaan ibu ni? Teruk sangatkan permintaan ibu ini untuk Rayyan tunaikan?” Rahayu sudah buat ayat-ayat sedih yang boleh mengganggu emosi si pendengar.
            Aduh! Bila ibu dah buat drama sebegitu, tak boleh Rayyan nak bangkang lagi. Dia lemah betul kalau Rahayu membuat suara sedih, merayu-rayu bagai walaupun dia tahu yang ibunya itu hanya buat drama sahaja.
            Agaknya kalau ibu suruh aku kahwin dengan Nia pun aku terpaksa setuju.
            Kahwin dengan Nia? No way! Itu perkara  yang terakhir yang dia akan lakukan dalam dunia ini.
            “Rayyan…please…” Rahayu memujuk rayu lagi sambil membuat muka kasihan.
            “Baiklah ibu,” Rayyan akhirnya mengalah.
            “Ha, macam inilah anak ibu. Terima kasih sayang,” ujar Rahayu sambil tersengih-sengih.
            Rayyan buat-buat sengih.
So, tunggu apa lagi? Dah pergi bersiap cepat. Ibu bagi masa sepuluh minit!”
            Rayyan tercengang mendengar arahan ibunya. Tadi suara merayu-rayu bagai, sekarang…suara garang memberi arahan. Sah! Ibu memang pandai berlakon.
                                                                        **********
Selamat Hari Jadi
Selamat Hari Jadi
Selamat Hari Jadi, Nia
Selamat Hari Jadi
Lilin yang terdapat di atas kek yang berbentuk nombor 21 itu ditiup. Para tetamu bertepuk tangan setelah semua lilin tersebut padam. Kanak-kanak yang mengerumuni kek tersebut hanya memandang ke satu arah. Patung Hello Kitty yang sedang memegang sejambak bunga kelihatan begitu sedap. Bilalah mereka boleh terkam patung comel itu?
“Nia, cepatlah tiup lilin tu,” teriak Yani sambil mendukung anaknya. Husna yang masih kecil itu cuba melepaskan pelukan ibunya. Teruja benar dia ingin menerkam kek comel itu.
“Kak Yani sabar-sabar ya,” ujar Nia sambil tersenyum.
“Aku ni bolehlah bersabar. Ni kalau si Husna ni terkam kek engkau, jangan salahkan aku pula,” ujar Yani sambil membetulkan kedudukan Husna di dalam dakapannya. Husna sudah mula merengek minta dilepaskan.
Nia cuma tersenyum. Anak Yani itu nakalnya bukan main lagi. Rasa-rasanya kalau Yani lepaskan Husna, belum tentu kek Hello Kitty ini selamat.
Kemudian, Nia potong kek yang ditempah oleh Mazura. Sambil itu matanya sempat melirik ke arah Rayyan yang berdiri tidak jauh dari situ. Dari awal tadi dia sudah usha Rayyan. Pemuda itu kelihatan segak walaupun hanya memakai T-shirt dan seluar jeans. Aduh! Sukanya dia tengok Rayyan datang. Sebab itulah dia sengih saja dari tadi.
“Nia!”
Suara lantang Tini mengejutkan Nia. Aduh! Macam manalah dia boleh berangan ni? Cepat-cepat dia memotong kek Hello Kitty.
“Auntie Nia, saya nak patung Hello Kitty tu,”
“Saya pun nak,”
Nia senyum saja melihat Haziqah dan Fahim, anak-anak Yani dan Tini yang sudah bersekolah rendah itu berebut mahukan patung Hello Kitty. Kalau dulu, emaknya Yani dan Tini yang berebut, kini giliran anak-anak mereka. Manakah tumpah kuah kalau tak ke nasi?
“Sabar ya. Auntie Nia bahagikan kek-kek ini dulu ya,” ujar Nia lembut.
“Nia, jangan bagi banyak sangat patung tu. Manis. Nanti habis rosak gigi nanti,” serentak Yani dan Tini bersuara.
Nah! Dengar tu arahan emak masing-masing.
Haziqah dan Fahim terkebil-kebil mendengar amaran emak mereka. Nia senyum saja. Dia cubit pipi Haziqah dan Fahim. Budak-budak itu tersenyum-senyum melihatkan giginya yang kelihatan sedikit hitam.
Nia sebenarnya sukakan kanak-kanak. Bukan apa, dia anak tunggal. Tiada adik beradik lain. Dialah anak lelaki mama dan papa dan dialah anak perempuan mereka. Jadi, bila ramai sepupu dan anak buah datang berkumpul, dia rasa seronok sangat.
Lebih-lebih lagi bila Rayyan datang.
Nia pandang Rayyan yang sedang sibuk bersembang dengan sepupu-sepupu lelaki yang lain. Amboi, sedikitpun tak pandang pada dia. Rayyan tu malu agaknya nak pandang. Dia buat andaian sendiri.
“Mama, kek untuk mama,” Nia sua sepotong kek ke mulut Mazura. Habis selekeh mulut Mazura  disumbatnya. Nia tertawa. Saat itu Salim snap satu gambar isteri serta anaknya.
“Selamat hari jadi sayang,” Mazura cium dahi Nia.
Aduh! Nia tak boleh tahan kalau mama selalu buat drama air mata macam ni.
“Ma, janganlah buat suara sedih. Inikan hari jadi Nia,”
“Mama bukan sedih cuma bersyukur sebab Nia dah pun 21 tahun. 21 tahun Nia bersama mama. Mama sayangkan Nia”
“Iya, Nia tahu mama sayang Nia. Nia pun sayang mama,” ucap Nia sambil memeluk Mazura. Setiap tahun Mazura akan menangis apabila tiba hari jadinya. Dan sebagai seorang anak, dia begitu terharu melihat mamanya begitu. Cuma, dia tidak mengekspresikan perasaannya. Dia mahu ceria-ceria saja di majlis hari jadinya.
“Tengok, kan aku dah cakap. Kau dengan Nia akan jadi kamceng sebab Nia ikut muka Salim,” ujar Rahayu yang datang entah dari mana.
Mazura tersenyum.
“Auntie Ayue. Nah, makan kek sekali,” pelawa Nia sambil menyua sepotong kek ke arah Rahayu. Saja dia buat-buat manja. Maklumlah Rahayu itu ibu Rayyan. He..he..he..
“Kamu ni Nia. Nakal sungguh,” ujar Rahayu sambil membersihkan lebihan krim yang ada di sekitar mulutnya.
Senyuman paling manis Nia berikan untuk bakai ibu mertuanya.
Kemudian, sesi makan-makan. Yang emak-emak berkumpul bersama-sama. Bercerita tentang resepi masakan yang Mazura buat. Yang ayah-ayah pula berkumpul di satu tempat lain, bercerita tentang isu semasa dalam dan luar negara. Kadang-kadang termasuk juga isu politik.  Yang sepupu-sepupu, cucu-cucu Tok Teh, duduk selonggok bercerita. Banyak berkisarkan gosip-gosip artis dan hero korea yang paling hensem. Yang budak-budak, pergi bermain di luar rumah. Meriahnya suasana bila dapat berkumpul begini. Bukan senang nak kumpul ramai-ramai. Dah macam hari raya pula.
Nia mendekati sepupunya yang lain namun matanya sempat mengerling ke arah Rayyan. Rayyan turut pandang ke arahnya.. Hati dia tiba-tiba berdebar.
Aduh!
“Nia!”
Nia terjatuh apabila kakinya tersilap langkah. Yani dan Tini terus mendapatkan Nia.
“Nia, are you okay?” tanya Yani yang begitu prihatin dengannya. Kaki Nia dibelek-belek. Takut terseliuh.
“Nia okay saja Kak Yani. Tak sakit pun,” ujar Nia sambil tersenyum.
“Kamu ni, Nia. Lain kali kalau berjalan pandang bawah,” bebel Kak Yani.
Nia senyum lagi. Macam mana nak pandang bawah kalau hati dia dah terbang kat Rayyan? Ini betul-betul jatuh ni. Jatuh cinta!
                                                            **********
Kek Hello Kitty lagi! Kali ini patung Hello Kitty sedang memegang sejambak bunga bewarna warni. Pisau pemotong kek siap ada reben gambar Hello Kitty lagi. Aduh! Tak jemu ke budak ni dengan Hello Kitty?
Sekilas Rayyan pandang Nia. Budak tu boleh tahan cantik. Muka ikut ayahnya. Putih dan mata agak sepet. Ada lesung pipit pada pipi kirinya. Rambut lurus, tak pendek tidak juga panjang. Sederhana sahaja. Diikat dengan reben Hello Kitty. Hello Kitty lagi? Aduh!
Nia tu sepupu Rayyan. Tapi, sejak kecil dia kurang berminat sangat dengan Nia. Nak kata benci tu tidaklah. Nak kata tak suka pun tidak tapi…dia lebih suka menjauhi Nia sebab Nia ni ada satu perangai yang selalu buat dia pening. Perangai apa? Nanti-nantilah dia beritahu. Malas pula nak fikirkan tentang budak Hello Kitty tu sekarang ini.
“Rayyan, sekejap ye. Aku nak tengok anak aku tu. Main tanah lagi budak ni,” ujar Khairul, suami Yani.
“Okay,” balas Rayyan pendek. Kemudian dia melihat Khairul sudah mengejar anaknya beserta dua lagi budak yang sedang bermain tanah. Apalagi, berterabur mereka berlari sambil ketawa-ketawa. Aduh! Seronoknya jadi budak-budak.
Seronok? Dia terdiam seketika. Jadi budak-budak memang seronok tetapi zaman kanak-kanak dia tidak menyeronokkan. Zaman kanak-kanak dia banyak memendam rasa. Rasa yang tiada siapa tahu sehingga ke hari ini. Rasa yang hanya dia saja yang tahu.
Dan rasa ini terlibat dengan Nia. Budak Hello Kitty itu yang membuatkan dia tidak gembira di zaman kanak-kanaknya. Mungkin kerana itu, sehingga ke hari ini dia tidak suka begitu rapat dengan Nia.
“Tadaaaa,”
Terperanjat Rayyan apabila suara menyergahnya dari sisi. Dia terus angkat muka. Wajah Nia ada di hadapannya sambil tersenyum-senyum. Terserlang lesung pipit di pipi kirinya.
Rayyan pandang Nia. Nia pandang Rayyan. Rayyan masam. Nia senyum.
“Ini untuk abang,” ujar Nia sambil menghulurkan sepiring kek hari jadinya. Siap ada patung hello Kitty lagi pada sepotong kek itu.
“Kamu tahukan saya tak makan kek,” ujar Rayyan. Nia ni macam tak faham-faham pula. Setiap tahun gadis itu beri kek kepadanya dan setiap tahun juga dia tolak. Takkan tak faham?
“Nia tahu abang tak suka kek sebab itu Nia ada special nak beri pada abang,”
Aduh! Apa pula yang di buat budak Hello Kitty ni?
“Jeng…jeng…” Nia keluarkan sesuatu dari tangannya yang sebelah lagi.
Lasagna!
“Auntie Ayu kata abang suka lasagna. Ni, Nia buatkan untuk abang,” ujar Nia riang.
Rayyan pandang wajah Nia. Bersungguh gadis itu mengambil tahu perihal dirinya.
“Makanlah. Lasagna ni Nia yang buat sendiri tau. Khas untuk abang,”
Rayyan pandang lagi wajah comel Nia. Nak tak nak, Rayyan sambut juga piring yang berisi lasagna. Nampak macam menyelerakan.
Nia duduk di sebelah Rayyan sambil tersenyum-senyum. Matanya tidak lekang memandang ke arah Rayyan yang baru hendak menyua lasagna ke dalam mulutnya. Siap menongkat dagu lagi pandang Rayyan makan.
“Kenapa pandang saya macam tu?” tanya Rayyan tidak selesa apabila Nia pandang dia makan.
“Saja,” balas Nia dengan wajah ala-ala comel.
“Kamu jangan pandang saya macam tu,”
“Kenapa?”
“Macam mana saya nak makan kalau kamu pandang saya macam tu?”
Nia angkat kepala tegak. Kemudian buat muncung comel.
“Takkan tak boleh makan kalau Nia tengok? Nia boleh aje makan kalau abang tengok Nia,”
Rayyan picit kepala. Pening betul nak layan budak Hello Kitty seorang ni.
“Kamu nak saya makan lasagna ni?”
Pantas Nia angguk laju. Tocang ekor kudanya juga turut terbuai-buai dengan anggukan kepalanya.
“Jangan pandang saya,”
“Ha?”
“Pandang tempat lain,”
“Ha?”
Rayyan bengang. Nia suka buat muka blur. Tapi muka blur Nia nampak comel sangat. Dia suka tengok tapi…
“Okay…okay…abang punya pasal, Nia buat apa saja,” ujar Nia sambil tersenyum.
Rayyan senyum tawar. Pantas tangannya mula menyudu lasagna yang kelihatan begitu lazat. Baru saja dia hendak menyua lasagna ke dalam mulutnya…
“Shima!”
Tersedak Rayyan apabila Nia yang berada di sebelahnya tiba-tiba menjerit. Terlepas sudu yang dipegangnya lalu jatuh ke lantai. Habis berterabur lasagna yang disudunya. Nasib baik sedikit, kalau banyak…
“Nia!”
Nia dan Shima berpeluk-pelukan dan berlaga-laga pipi. Bagai bertahun-tahun tidak jumpa. Kemudian masing-masing bertepuk tampar pula. Kemudian, bertanya itu dan ini sambil tersenyum dan tertawa. Entah apa yang seronok sangat.
Rayyan sekadar menjadi pemerhati.
                                                            **********
“Selamat hari jadi, Nia,”
Mata Nia merenung pada empunya suara. Buat seketika dia diam tidak bergerak. Teragak-agak untuk menjawab terima kasih atau apa-apa saja jawpan pada ungkapan hari jadi yang diucapkan oleh gadis di hadapannya itu.
“Selamat hari jadi sepupuku. Semoga panjang umur dan murah rezeki,” ucap Sakinah sambil menarik Nia dalam dakapannya. Kemudian dilagakan pipinya dengan pipi Nia kiri dan kanan.
Muah…muah…
Nia kaku saja, tidak memberi sebarang reaksi.
Anyway, this is for you,”
Bungkusan berbalut kertas bewarna merah jambu serta bergambar Hello Kitty itu ditenung saja. Kemudian, pandangannya menghala ke wajah Sakinah yang bermuka manis itu.
“Jangan risau. Dalam bungkusan  ni tak ada katak ataupun ulat,” ujar Sakinah sambil tertawa kecil.
Mana tak dia tidak teragak-agak hendak menerima pemberian Sakinah? Pernah suatu ketika dulu Sakinah memberikan hadiah katak pada majlis hari jadinya. Kecoh satu rumah apabila seekor katak melompat keluar dari kotak yang dibuka oleh Nia. Mazura yang paling teruk. Siap panjat kerusi lagi kerana takutkan katak. Mama memang geli pada haiwan itu. Dan Nia sendiri…walaupun dia tidak geli dengan katak tetapi terperanjatnya boleh membuatkan jantung gugur.
Teruk betul Sakinah!
Itu baru katak. Belum kira ulat, serpihan batu bata, anak mancis dan banyak lagi pemberian yang entah apa-apa dari Sakinah. Tapi, kadang kala minah seorang ini bagi benda yang betul juga. Anak patung Hello Kitty, patung beruang, baju….
Hai, tak faham betul dengan si Sakinah ni.
“Ambillah, aku yakin kau tentu suka dengan hadiah ni,” ujar Sakinah sambil meletakkan bungkusan kotak itu pada tangan Nia.
Nia terima saja tapi apabila tiba waktu untuk buka hadiah dari Sakinah ini, dia perlu berhati-hati. Dia perlu bersedia dari segi fizikal dan mental.
“Ha, macam tu lah sepupu aku,” ucap Sakinah sambil menampar halus lengan Nia.
Nia senyum tawar.
“Eh, ramainya cucu-cucu Tok Teh berkumpul kat sini. Hai guys, boleh join?”
Kesemua cucu-cucu Tok Teh menoleh ke arah Sakinah. Ada yang senyum kelat, ada yang masam mencuka malah ada juga yang tak ada perasan apabila melihat Sakinah tergedik-gedik datang menghampiri mereka.
“Kalau tak malu, join lah,” balas Yani selamba.
“Sebab tak malulah nak join ni,” tanpa segan silu, Sakinah terus bersimpuh menyertai cucu-cucu Tok Teh yang diberi nama geng piranha.
Kenapa nama geng piranha? Siapa ahli-ahlinya? Nanti-nantilah saya ceritakan ye.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan