Jumaat, 31 Julai 2015

BIAR SAMPAI SYURGA (BAB 3)

BIAR SAMPAI SYURGA (BAB 3)




BAB 3

            “Abang!”
            Ziyad menoleh ke belakang. Bibirnya menguntum senyum saat terlihat Zurin yang sedang berlari-lari anak mengejarnya. Tidak sampai beberapa saat, Zurin sudah berada di sisinya dengan nafas yang termengah-mengah.
            “Abang ni kenapa jalan laju sangat?” bising Zurin sebaik saja pernafasannya kembali stabil.
            “Bukan abang yang laju, Zurin yang slow,”
            “Langkah abang tu panjang macam king kong, memanglah tak terkejar Zurin,”
            Ziyad tersenyum. Kepala Zurin digosok-gosok persis anak yang masih kecil. Zurin segera menepis tangan Ziyad.
            “Abang ingat Zurin ni budak kecil lagi ya?”
            Ziyad senyum lagi. Tahu benar Zurin tidak suka diperlakukan seperti itu. Zurin bukan budak kecil lagi. Zurin kata dia sudah besar. Sudah 21 tahun. Sudah merdeka. Namun, tiada istilah merdeka buat Zurin bagi dirinya.
            Baginya, Zurin adalah tanggungjawab dan amanah yang telah diberikan kepadanya saat ibunya pergi lima tahun yang lalu akibat kemalangan jalan raya. Ibu ‘pergi’ sewaktu dirawat di hospital. Sebelum menghembuskan nafasnya yang terkakhir, ibu sempat berpesan kepadanya untuk menjaga Zurin.
            “Ziyad, tolong jaga adik kamu, Zurin. Jaga dia baik-baik sepertimana kamu jaga diri kamu sendiri, sayang,” dalam keadaan tenat, ibu sempat berpesan. Saat itu, air mata lelakinya tidak dapat dibendung lagi. Terus merembes keluar melihat keadaan ibu.
            “Ibu jangan cakap yang bukan-bukan. Ibu akan pulih. Kita akan sama-sama menjaga antara satu dengan lain, bu,” bisik Ziyad perlahan. Tangan ibunya digenggam erat, seperti mahu mengalirkan semangat agar ibunya terus berjuang.
            “Ziyad, kalaulah ayah kamu masih ada…” terlihat air mata ibu mengalir perlahan. Ziyad tahu ibu teringatkan ayah. Ayah yang pergi entah ke mana. Ayah yang tiba-tiba tidak pulang dari kerja dua tahun yang lalu terus menghilangkan diri tanpa khabar berita.
            Ibu kata ayah sesat…Ayah tak jumpa jalan pulang.
            Tapi Ziyad tahu ibu berbohong.
            Namun, sampai sekarang dia tidak tahu di mana ayah.
            “Ayah kamu akan pulang suatu hari nanti, Ziyad,” itu saja jawapan ibu setiap kali dia bertanya.
            “Jangan membenci dia ya sayang,”
            Ziyad angguk.
            Ibu tersenyum namun, senyuman itu tidak lama. Dan saat itu Ziyad tahu, dia dan Zurin sudah kehilangan ibu.
            “Abang!”
            Suara Zurin menghalau segala peristiwa lima tahun yang lalu. Pantas dia menoleh ke arah Zurin yang sudah memuncungkan mulutnya. Merajuk lah tu!
            “Abang dengar tak Zurin cakap apa tadi?” suara Zurin sedikit meninggi tetapi bukan marah, lebih kepada merajuk.
            “Zurin cakap apa?” Ziyad bertanya kembali.
            Lagilah sedepa muncung Zurin.
            “Okey, sekarang cakap. Abang dengar,”
            Zurin pandang Ziyad dengan pandangan tajam. Kemudian terus melangkah ke depan meninggalkan Ziyad yang sudah tersenyum-senyum. Ah! Zurin kalau merajuk, dia tahu bagaimana untuk memujuk gadis ini.
            “Zurin!” kali ini Ziyad pula yang mengejar.
            Ziyad lihat langkah Zurin sudah tidak selaju tadi. Nampak benar mahu dipujuk. Ziyad simpan senyum.
            “Hai, tak baik asyik merajuk ni. Zurin tak sayang abang ya?” sengaja Ziyad mengusik.
            Zurin tetap melangkah meskipun langkahnya sudah seiring dengan langkah Ziyad.
            “Abang tak pandai nak pujuk. Tapi rasanya, Rifki pandai kut,” Ziyad mengusik lagi.
            Langkah Zurin terhenti saat mendengar nama Rifki. Ziyad turut terhenti. Wajah cemberut Zurin dipandang dengan senyuman dihulurkan.
            “Jangan pandai-pandai nak mengadu dengan Rif ya,” Zurin sudah angkat jari telunjuknya dan dihalakan ke wajah Ziyad.
            “Tau takut,” ejek Ziyad.
            “Siapa yang takut?” Zurin menjegilkan matanya. Mata bulat serta anak mata berwarna hazel itu itu mengingatkan Ziyat pada arwah ibu. Tiba-tiba hatinya tersentuh.
            Zurin yang tersedar akan kekeruhan di wajah Ziyad tidak jadi marah. Perlahan dia memanggil abangnya namun Ziyad seperti hilang dalam dunianya sendiri.
            “Abang,” kali ini Zurin menggoncang perlahan tangan Ziyad. Segera pemuda itu tersedar. Beberapa saat kemudian, Ziyad menguntum senyum.
            “Abang ingatkan apa? Atau abang marah Zurin?” Zurin segera membuang rasa rajuknya apabila melihat perubahan di wajah Ziyad.
            Ziyad pantas menggeleng. Sekali lagi dia menggosok-gosok kepala Zurin dan dengan pantas Zurin menepis.
            “Abang! Zurin bukan budak kecil lagi tau!” marah Zurin seraya memukul bahu Ziyad. Ziyad mengelak dan berlari menjauhi adiknya. Zurin yang tidak berpuas hati terus mengejar sambil terjerit-jerit memanggil Ziyad.
            Seketika suasana mendung di tepi pantai itu diisi dengan tawa dua beradik apabila si gadis berjaya mendapatkan abangnya.



            Sebaik saja sampai ke destinasi, Ziyad melirik jam di tangan. Lewat 15 minit! Tanpa pandang kiri dan kanan, dia segera menukar baju dan mahu segera memulakan kerja. Sapaan selamat pagi dari rakan-rakan dibalas dengan senyuman.
            Baru saja dia hendak memulakan tugasan, wajah Rifki muncul di hadapannya. Dengan pantas, Ziyad mengeluarkan sekotak rokok lalu dicampak ke arah Rifki. Rifki yang pantas menyambut tersenyum sambil mengangkat tangan tanda terima kasih.
Bengkel Kereta Kita, menjadi tempat kerjanya sejak dua tahun yang lalu. Rifki, sahabat yang juga merangkap pemilik bengkel kereta tersebut yang menawarkan pekerjaan itu kepadanya setelah kehidupannya terumbang ambing dua tahun yang lalu.
Kalau nak diikutkan hati, dia tidak perlu melakukan semua ini. Untuk apa dia bekerja? Untuk apa dia menyusahkan diri sendiri sedangkan matlamat hidupnya sudah hancur berkecai? Masa depannya gelap. Dia sudah tidak punya apa-apa lagi dalam dunia ini. Untuk apa dia bersungguh untuk meneruskan kehidupan?
Namun, setelah difikirkan semula, setelah dia fikirkan apa yang telah berlaku, dia seolah-olah mempunyai tujuan. Dia seolah-olah mendapat semangat untuk teruskan hidupnya hanya kerana satu misi yang perlu dia selesaikan.
Meskipun ianya langsung bertentanganya dengan arah asal tujuan hidup, namun hanya kerana itu saja dia bersemangat untuk bangkit.
Dari jauh, Rifki hanya memerhatikan Ziyad yang sedang sibuk membaiki sebuah kereta Wira sedan yang sudah agak usang. Hatinya jatuh kasihan melihat sahabatnya itu. Sudah dua tahun Ziyad begini. Hidup dalam keadaan yang tidak terurus. Bukan dia tidak tahu kenapa rakannya itu menjadi begitu. Kerana tahulah, dia mengerti penderitaan Ziyad. Bukan mengerti saja malah dia turut terasa kerana hal itu turut melibatkan hatinya. Perasaannya!
Mengenali Ziyad sejak di bangku sekolah, menjadikan dia sahabat yang rapat dengan pemuda itu. Susah senang bersama, menjadikan setiap cerita Ziyad adalah ceritanya juga. Begitu juga sebaliknya. Cuma dia lebih bernasib baik kerana masih mempunyai keluarga. Dan Ziyad…ibunya meninggal dunia dalam satu kemalangan kira-kira tujuh tahun yang lalu.
Ziyad yang dia kenal bukanlah Ziyad yang ada di hadapan matanya sekarang ini. Ziyad yang berwajah tampan dahulunya kini sudah sedikit cengkung dengan sedikit jambang liar mula tumbuh di wajah tampan itu. Rokok yang satu ketikanya ditolak, kini kembali disedut. Sikap periang seorang Ziyad suatu ketika dulu bertukar menjadi seorang lelaki yang serius dan sentiasa tegas dengan kata-katanya.
Bukan itu saja, malah Ziyad seorang pelajar yang pintar. Sebaik saja habis universiti, pemuda itu ditawarkan bekerja di satu syarikat gergasi di ibu kota. Ziyad yang pintar, tampan dan bertubuh sasa itu menjadi kegilaan ramai gadis sehinggalah berlakunya peristiwa itu…
Peristiwa yang merubah Ziyad menjadi sebegini.
Peristiwa yang merubah hidup pemuda bernama Ziyad.
“Bro,”
Bahu Ziyad ditepuk. Ziyad yang sedang menghidupkan lighter bagi membakar rokok yang diselit di celah bibirnya tidak menoleh. Tahu benar akan suara yang menyapa.
Rifki duduk berhadapan dengan Ziyad. Memerhatikan seketika tingkah Ziyad. Pemuda itu mengangkat kening tanda bertanya kenapa setelah berjaya menghidupkan rokoknya.
Sorry. Aku lambat tadi,” tanpa menunggu Rifki membuka mulut, Ziyad terlebih dahulu bersuara.
Rifki tertawa kecil. Bukan soal lambat atau cepat, dia langsung tidak kisah tentang itu. Jika Ziyad tidak mahu datang pun dia tidak marah. Dia ambil Ziyad bekerja di situ hanya untuk melihat pemuda itu ‘hidup’. Bukannya seperti pekerja-pekerja yang lain.
“Kau tahukan aku tak kisah?” tenang jawapan Rifki.
“Aku pekerja dan kau majikan aku,” balas Ziyad bersahaja.
“Tapi, kita kawan,” tambah Rifki.
Ziyad menghela nafas berat. Rokok yang baru separuh dihisap, ditenyeh-tenyeh pada meja batu yang ada di hadapannya. Kemudian, dia melepaskan pandang ke dada langit yang biru dan tenang. Tengkuknya yang lenguh digosok-gosok pelahan sebelum satu lagi keluhan dilepaskan.
“Bro,” panggil Rifki lagi apabila melihat Ziyad bagai hilang di alam yang lain. Berdiam diri dan bersendiri, itulah Ziyad yang sekarang ini.
Ziyad tegakkan wajah memandang ke arah Rifki. Sekali lagi keningnya diangkat tanda bertanya kenapa.
“Sampai bila kau nak macam ni, bro?”
Pertanyaan Rifki membuatkan Ziyad mendegus kasar. Ternyata tidak gemar apabila Rifki mula bercerita tentang perihal dirinya. Namun dia sedar, Rifki juga punya hak untuk bertanya walaupun lelaki itu tiada hak untuk memaksa dia menjawab.
Rifki sahabat yang baik dan…
Argh!
“Kenapa Rif? Kenapa bukan kau?” Ziyad mula bersuara. Suara yang tenang kedengaran tetapi penuh dengan kisah sedih.
Giliran Rifki pula mengeluh. Pertanyaan Ziyad seakan membuka kenangan dulu. Kisah indah yang cuba dia lupakan namun…
“Kenapa bukan kau yang menjadi pilihan Zurin?” tanya Ziyad lagi. Wajah tenang Rifki dipandang sedalamnya. Dan dalam wajah sahabat yang baik itu, terlihat wajah Zurin. Zurin yang manja, Zurin yang tertawa, Zurin yang sedang memuncung.
Ah! Segalanya indah tetapi keindahan itu hanya seketika tatkala semuanya dirampas dalam sekelip mata.
“Bukan jodoh kami, Ziyad,” tenang Rifki menjawab. Namun, melalui sinaran mata pemuda itu, Ziyad tahu Rifki kecewa. Ziyad tahu Rifki merana. Namun, dia tidak mampu berbuat apa-apa saat Zurin bertegas memilih lelaki durjana itu sebagai pilihan hati.
“Kau begitu tenang menghadapinya?” tingkah Ziyad melihat ketenangan Rifki yang adakalanya membuatkan hatinya panas.
Rifki menghela nafas berat. Wajah Ziyad ditatap dalam. Anak mata bewarna hazel itu mengingatkan dia pada seseorang yang pernah dia sayang.
“Aku sayang dia, Ziyad. Aku turut terasa dengan apa yang terjadi. Aku turut merasai apa yang kau rasa. Tetapi, semuanya sudah berlalu. Ianya takkan mampu untuk berulang kembali,”
“Semudah itu kau menyerah? Sesenang itu kau biarkan si bangsat tu?” suara Ziyad mula meninggi. Marah dengan jawapan Rifki yang seakan membiarkan orang yang bersalah bebas sewenang-wenangnya.
“Serahkan pada Tuhan, Ziyad,”
Ziyad mendegus. Bukan dia tidak mahu serahkan pada Tuhan. Dia tahu Tuhan itu maha adil. Cuma, hatinya tidak puas selagi tidak melihat si bangsat itu jatuh. Dia mahu membalas dendam. Dia mahu si bangsat itu melutut di kakinya, memohon ampun.
“Mungkin apa yang kita rasa tak sama,” ujar Ziyad. Suaranya yang tinggi sebentar tadi menjadi kendur sedikit.
“Maksud kau?”
“Apa yang aku rasa tak sama dengan apa yang kau rasa. Kerana dia darah daging aku,”
“Kau silap Ziyad. Aku pernah menyintai dia. Malah saat dia tinggalkan aku, aku masih menyayangi dia,”
“Dan sekarang?”
“Sayang itu masih ada. Tapi, apa yang boleh aku lakukan? Hanya berdoa semoga dia aman di ‘sana’,”
Ziyad meraut rambutnya ke belakang. Kemudian, dikeluarkan sebatang lagi rokok lalu diselitkan di celah bibirnya. Lighter yang ada di atas meja dicapai. Namun, belum sempat tangannya mencapai lighter, Rifki terlebih dahulu merampasnya.
“Kau bukan begini, Ziyad,” Rifki menggeleng kepala.
“Kau tak perlu ambil tahu tentang aku,”
“Aku cuma nak kau kembali seperti dulu. Ziyad yang aku kenal dulu,”
“Hanya jika kau dapat pulangkan hidup aku yang dulu, baru kau akan temui Ziyad yang dulu,” ujar Ziyad perlahan seraya merampas lighter dari genggaman Rifki.
Rokok dinyalakan. Kemudian disedut dan asapnya dihembus ke udara. Rifki hanya memerhati tingkah laku Ziyad. Dalam hati dia berdoa agar semua ini akan berakhir
Dia ingin melihat Ziyad kembali seperti dulu.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan