KERANA AKU SAYANG KAU (BAB 3)
BAB 3
“Nah, makan ubat
ni,” suruh Julia sambil menghulurkan dua biji panadol dan segelas air masak
kepada Hani. Hani yang sedang berbaring, bangun dari pembaringannya. Dia
mengambil panadol dari tangan Julia dan terus menelannya.
“Panas badan kau
ni, Hani. Kita pergi klinik ya,” ajak Syasya sambil meletakkan tangannya pada
dahi Hani.
Hani pantas
menggeleng.
“Tak payahlah Sya. Demam
aku ni bukannya teruk sangat pun. Demam biasa saja. Lepas makan panadol ni
nanti, baiklah,” ujar Hani dengan suara yang perlahan di selang seli dengan
batuk-batuk kecil.
“Betul tak nak
pergi klinik?” tanya Syasya sekali lagi sambil mengurut-urut belakang Hani.
Hani hanya
mengangguk. Manakala Julia dan Syasya saling berpandangan.
“Agaknya, sebab
inilah perangai kau pelik sejak kebelakangan ni. Rupa-rupanya, nak demam,” usik
Julia sambil tersengih.
“Ini demam apa pula
ni? Nak kata demam exam, exam lambat
lagi,” Syasya pula mengusik.
“Nak kata demam rindu, tak ada boyfriend,” Julia menyambung.
Hani membalas usikan
Julia dan Syasya dengan senyuman. Hmm…kalaulah Julia dan Syasya tahu perkara
sebenar yang menyebabkan dia demam, pasti terguling-guling mereka tertawa.
Demam kerana menerima renungan tajam daripada Tuah Iskandar? Sungguh tidak masuk
akal!
Namun, itulah
hakikatnya. Sejak bertentang mata dengan Tuah Iskandar di kafeteria tempoh
hari, badannya terus rasa tidak sedap. Malam itu juga dia demam. Dia sendiri
tidak pasti kenapa cepat benar perubahan yang berlaku pada tubuh badannya.
Mungkin dia terlalu takut dengan pemuda itu menyebabkan dia demam. Atau, dia
takut Tuah Iskandar cam dirinya dan mahu membalas dendam. Lebih teruk lagi
kalau-kalau mimpinya itu menjadi kenyataan.
Ah! Begitu jauh
imaginasi kau Hani. Mungkin apa yang berlaku tidak seperti apa yang kau
bayangkan.
Jadi, kalau bukan
begitu…kenapa renungannya harus setajam itu? Kenapa pandangannya sangat berbeza
sehingga dia dapat merasakan pandangan itu bukan pandangan biasa tetapi
pandangan yang ada makna. Cuma, makna di sebalik pandangan itulah yang Hani
kurang pasti tetapi ia benar-benar membimbangkan.
Tiada jawapan.
Hani melepaskan
satu keluhan yang berat.
**********
Sudah dua hari dia
demam. Masuk hari ketiga barulah dia pulih sepenuhnya. Pulih dari demam
terkejut. Nasib baiklah dia demam pada hujung minggu. Jadi, tidak perlulah dia
ponteng kuliah. Cuma, hujung minggunya menjadi bosan lantaran asyik duduk
terperap di dalam bilik.
Hani bersiap-siap
untuk ke kuliah dengan begitu bersemangat. Selama dua hari berkurung di dalam
bilik, rasa tidak sabar hendak menghirup udara segar. Macamlah setahun dia
berkurung. Baru dua hari saja. Macam-macamlah kamu ni, Hani!
Hani menyarungkan baju kurung bewarna ungu di padankan
dengan tudung ungu tanpa corak. Ringkas. Dengan wajahnya yang agak comel
menjadikan penampilan ringkasnya kelihatan menarik. Hani tersenyum sendiri.
“Siap?” wajah Julia
tiba-tiba muncul di sebalik pintu.
“Dah,” balas Hani
sambil mencapai beg kuliahnya lalu keluar dari bilik mendapatkan dua orang
sahabat karibnya itu.
Sebelum ke dewan
kuliah, mereka bertiga singgah di kafeteria seperti selalu. Bersarapan pagi,
mengalas perut sebelum memulakan pembelajaran.
Menjejakkan kaki di
kafeteria membuatkan tubuh Hani mulai di basahi keringat. Masih teringat lagi
renungan tajam pemuda itu. Renungan yang menyebabkan dia demam dua hari. Dasyat
sungguh kuasa renungan pemuda yang bernama Tuah Iskandar itu. Kuasa renungan
atau dia sendiri yang terlebih penakut?
Sampai-sampai saja di kafeteria, mata Hani terus
tertumpu pada meja di mana Tuah Iskandar duduk tempohari. Namun, tiada bayangan
pemuda itu. Yang ada hanya sepasang pasangan yang sedang menikmati sarapan
pagi.
Hani menarik nafas
lega. Sekurang-kurangnya untuk jangkamasa yang sedikit ini, dia terselamat. Namun,
dalam kelegaan, matanya turut melilau memerhati sekeliling. Takut-takut kalau
Tuah Iskandar ada di situ. Sekali lagi dia menarik nafas lega kerana tiada
bayangan pemuda itu di seluruh kafeteria itu.
Ah, pemuda macam itu
mana ada ambil sarapan pagi. Entah-entah selepas bangun terus saja pergi
kuliah. Itu nasib baik ada kuliah awal pagi, kalau tak…pasti tengahari baru nak
bangun.
Hani membuat
andaian sendiri.
Hanya roti bakar
yang menjadi pengalas perut pagi itu. Tidak seperti Julia dan Syasya yang
mengambil nasi lemak, juadah sarapan pagi kegemaran rakyat Malaysia. Hani malas
untuk mengambil makanan yang berat. Bimbang mengantuk di dalam kuliah dan yang
selebihnya, dia tak lalu hendak makan. Semuanya kerana…
Tuah Iskandar?
Bodohnya dia.
Kerana pemuda yang tidak di kenali itu, dia menjadi manusia yang kelam kabut.
Aduh!
“Cepatnya kau
makan, Hani,” tegur Julia apabila melihat Hani sudah menghabiskan dua keping
roti bakar dan segelas milo panas.
“Cepat? Aku rasa
biasa saja,”
“Ju, kau tak
payahlah tegur si Hani ni. Kau bukan tak tau dia ni kadang-kadang betul,
kadang-kadang tidak,”
Hani hanya tersengih.
Tidak menyimpan rasa langsung apabila Syasya berkata begitu apatah lagi hendak
marah. Dia turut mengakui kata-kata Syasya. Bukan saja rakan-rakannya, malah
dia sendiri terasa keanehan pada dirinya sendiri. Dia sendiri dapat merasakan
perubahan pada dirinya. Perubahan yang dia sendiri tidak tahu bagaimana. Ah,
sukar untuk dia menafsirkannya.
Selesai saja
menikmati sarapan pagi, tiga sahabat ini berjalan menuju ke dewan kuliah. Lagi
20 minit kuliah akan bermula. Masih awal. Tidak perlulah mereka tergesa-gesa
untuk ke sana.
Tiba di hadapan
dewan kuliah, Hani dapat merasakan sesuatu. Seperti ada daya tarikan magnet
yang membuatkan Hani menoleh ke satu sudut yang terpencil yang agak jauh dari
situ. Dari jauh dia terlihat Tuah Iskandar. Pemuda itu sedang bersandar pada
tiang sambil berpeluk tubuh. Pandangannya di tujukan ke arah mereka. Walaupun
agak jauh, namun Hani dapat merasakan pandangan yang tajam itu sedang menghala
ke arahnya.
Jantung Hani
kembali berdegup kencang.
Hani cuba
mengecilkan dirinya dengan berselindung di sebalik Julia. Walaupun tubuhnya
terselindung, namun matanya sempat melirik ke arah Tuah Iskandar. Ternyata
pandangan pemuda itu tidak lekang dari memandang ke arahnya.
Sah! Tuah Iskandar
sedang melihat ke arah mereka kerana tiada pelajar lain di situ. Mungkin Tuah
Iskandar memandang Julia ataupun Syasya. Hani cuba memujuk dirinya
tetapi..hanya dia yang ada kaitan dengan Tuah Iskandar dan perlanggaran itu
yang mengaitkan mereka.
Hani melirik lagi
ke arah Tuah Iskandar. Aduh! Pasti Tuah Iskandar sedang memerhatikannya dan
menunggu masa untuk membuat serangan.
Habislah aku!
Tiada ulasan:
Catat Ulasan