KERANA AKU SAYANG KAU (BAB 7)
BAB 7
Keadaan sunyi sepi,
hanya kedengaran suara Prof. Jamilah yang sedang memberi kuliah. Subjek
anatomi, yang membincangkan kajian tentang struktur badan makhluk bernyawa,
langsung tidak masuk ke dalam kepalanya. Fikirannya tidak dapat menerima
pembelajaran hari itu dan nota pun tidak sempat disalin. Dia menjadi tidak
menentu hari itu.
Semuanya gara-gara
Tuah Iskandar. Walaupun sudah dua hari perkara itu berlalu namun dia masih
sukar untuk percaya. Benarkah apa yang Tuah Iskandar tuturkan? Tak mungkin
pemuda itu menyukai gadis biasa seperti dirinya.
Selama dua hari ini
dia tidak terserempak dengan Tuah Iskandar. Dia benar-benar menarik nafas lega.
Kalau boleh dia tidak mahu bersemuka langsung dengan pemuda itu. Bagaimana
kalau pemuda itu benar-benar maksudkannya? Bagaimana kalau Tuah Iskandar
bertanyakan jawapannya nanti?
Tidak! Itulah
jawapan yang patu di berikan kepada Tuah Iskandar.
Sedang ramai gadis
mengimpikan untuk memiliki cinta Tuah Iskandar…dia pula menolak. Tetapi,
pelikkah jika dia menolak pemuda itu?
Tidak! Tidak pelik
kalau dia menolak. Yang pelik adalah kalau dia menerima pemuda itu yang
tiba-tiba hadir dalam hidupnya. Tanpa berkenalan, tanpa mengetahui antara satu
dengan lain apatah lagi dengan ketakutan dia kepada gangster dan tiba-tiba
hendak bercinta? Itu yang pelik.
Tetapi, mampukah
dia memberikan jawapan kerana setiap kali berhadapan dengan Tuah Iskandar,
lututnya akan kaku. Lidahnya kelu. Seluruh tubuhnya bagaikan menggigil. Dia
bagaikan patung yang tegak berdiri tanpa sedikitpun berbunyi. Hanya mengiyakan
kata-kata Tuah Iskandar.
Hai, kalaulah Julia
dan Syasya tahu akan hal ini, pasti mereka sudah menjerit-jerit bagaikan orang
terkena histeria. Tentu Julia dan Syasya akan terlompat-lompat bagaikan orang
kurang siuman. Atau lebih dasyat lagi, Julia dan Syasya akan mengadakan jamuan
sempena berita baik itu.
Berita baik? Baik sangatlah!
Tetapi, dia tidak mahu menceritakan perkara ini kepada
rakan-rakannya kerana bagi dirinya, tiada yang penting berkenaan perkara ini.
Dia sendiri tidak tahu akan niat sebenar Tuah Iskandar. Mungkin Tuah Iskandar
sengaja mahu mempermainkan dirinya. Mungkin Tuah Iskandar mahu membalas dendam
atas perilakunya yang dulu. Mungkin!
“Woi,”
Tangannya disiku.
Hani terkejut. Segera dia berpaling pada Julia yang duduk di sebelahnya.
“Tak nak balik?” tanya
Julia sambil mengangkat keningnya.
“Dah habis kuliah
ke?” soalan bodoh yang ditanya menampakkan dia tidak fokus pada kuliah sebentar
tadi.
“Kau berangan atau tidur
ni?” sindir Julia. Syasya yang duduk di sebelah Julia hanya tersenyum.
Hani
tersengih-sengih.
“Dahlah. Jom kita
pergi makan. Biarlah si Hani ni berangan ke tidur ke, asalkan dia tak kena histeria
kat dalam kuliah ni sudah la,”
Hani tersengih lagi
mendengar kata-kata Syasya. Sebelum keluar dari dewan kuliah, sempat Hani
meminjam nota Julia. Julia yang faham sangat akan perangai rakannya itu terus
memberikan nota kuliah kepada Hani.
**********
“Hani!”
Hani yang
terbongkok-bongkok di belakang Julia terus tersondol Julia yang berjalan di
hadapannya.
“Aduh!” Hani
menggosok-gosok kepalanya yang sakit manakala Julia menggosok pinggangnya yang
dilanggar Hani. Bagai mahu patah pinggang kerengga Julia apabila terkena kepala
Hani.
“Sakitlah, Hani,”
bentak Julia sambil menampar bahu Hani.
“Yang kau berhenti
tu kenapa?”
“Yang engkau
terbongkok-bongkok kat belakang aku ni kenapa?”
Keadaan sepi
seketika. Tiada jawapan daripada Hani mahupun Julia. Hani berdiri tegak namun
matanya sempat melirik ke arah bangunan perpustakaan yang terletak tidak jauh
dari tempat dia berdiri.
Dia nampak Tuah
Iskandar sebentar tadi sedang berdiri di luar perpustakaan sambil memeluk tubuh
dan memerhatikan dirinya. Tiba-tiba lututnya menggigil. Pantas dia
menyembunyikan diri di belakang Julia meskipun dia tahu tak mungkin dia dapat
berselindung di sebalik tubuh kecil Julia.
Hani memanjangkan
lehernya. Tuah Iskandar sudah tiada di situ. Cepatnya dia hilang. Macam biskut
pula. Sekejap ada sekejap tak ada.
“Hani!”
Serentak Hani
berpaling apabila Julia mula meninggikan suara.
“Ha?”
“Boleh aku tanya
sikit?”
“Tanya apa?”
“Kenapa dengan kau
ni ha? Sejak akhir-akhir ni perangai kau pelik sangat. Jalan pun nyorok-nyorok.
Kenapa? Ada paparazzi ikut kau ke?”
“Erk..tak adalah.
Siapalah aku yang nak dikejar paparazzi,”
“Tahupun. Kalau
paparazzi kejar engkau aku hairan tapi kalau paparazzi kejar Tuah Iskandar aku
tak hairan sebab dia tu kacak, kaya…”
“Dah..dah..dah..kau
ni Julia, kalau bercakap tentang Tuah Iskandar siap buat mimik muka macam orang
angau. Menyampah aku,” ujar Syasya.
“Kau cemburu ya?”
“Aku cemburu? Sorry. Cemburu-cemburu pun bukannya
boleh dapat Tuah Iskandar tu,”
Maka, berlaku
sedikit perdebatan di antara Julia dan Syasya. Dan topik debat kali ini adalah Tuah Iskandar.
Hani tiba-tiba rasa
sesak nafas.
**********
Topik tentang Tuah
Iskandar masih tidak berhenti-henti sehinggakan mereka sudah berada di kafeteria
fakulti untuk menikmati makan tengahari. Hani hanya memasang telinga.
Macam-macam cerita yang didengar termasuklah perbincangan bagaimana untuk
membuatkan Tuah Iskandar jatuh hati kepada perempuan. Bolehkah gangster seperti
itu cair dengan seorang gadis?
Memang sudah tidak
betul rakan-rakannya itu. Mereka terlupa agaknya yang mereka tu makwe orang.
Kalaulah Zain dan Taufiq tahu, pasti kena tinggal Julia dan Syasya. Padan muka.
Hani tergelak
sendiri. Sudah sedia maklum akan hubungan antara Julia dan Zain serta Syasya
dan Taufiq. Zain sudahpun bekerja manakala Taufiq melanjutkan pelajaran di
Universiti Malaya. Hani tahu walaupun Julia dan Syasya sibuk-sibuk dengan Tuah
Iskandar namun dalam hati mereka tetap nama Zain dan Taufiq yang terpahat.
“Eh Hani, kita orang
main-main saje. Bukannya serius. Kau rasa bolehkah kita orang dapat si Tuah
Iskandar tu?”
Itulah jawapan
Julia saat Hani menaikkan nama Zain. Tahu takut!
“Tapi kalau dapat…”
Julia sudah berada di alam angan-angannya. Tangannya digenggam sambil matanya
dikerdip-kerdip. Benci sungguh!
“Aku beritahu Zain
nanti,” ugut Syasya.
“Macamlah aku tak
boleh beritahu Taufiq,” ugutan dibalas dengan ugutan oleh Julia. Hani cuma
tertawa melihat perihal rakan-rakannya itu.
Tiba-tiba dia
teringatkan Fahmi. Kalaulah dia dan Fahmi masih bersama, tidaklah sebeban ini
perasaannya. Pasti mereka bertiga bahagia dengan pasangan masing-masing.
Keadaan sepi
seketika. Masing-masing menumpukan perhatian pada makanan yang terhidang di
depan mata. Sebentar lagi kuliah petang akan bermula.
“Kau orang rasa
Tuah tu dah ada makwe tak? Tak mungkin dia gay
kan?” tiba-tiba Syasya bersuara dan topiknya masih tidak lari berkisar mengenai
Tuah Iskandar. Apa yang hebat sangat pemuda itu sehingga namanya tak
henti-henti disebut.
“Entah. Tapi aku
ada dengar cerita,”
Kata-kata Julia
menarik minat Hani. Entah kenapa dia begitu berminat dengan cerita mengenai Tuah
Iskandar. Adakah kerana pertemuan tempohari?
“Cerita apa ni?” tanya
Syasya cepat. Hani cuma curi dengar. Tidak mahu di anggap gelojoh untuk
mengetahui tentang Tuah Iskandar.
“Aku dengar Tuah tu
ada awek kat luar kolej. Budak kolej
lain.”
“Betulke? Hmm,
patutlah dia tak layan budak-budak kolej kita,”
“Aku dengar lagi,
makwe dia tu cantik, putih, seksi pula tu. Budak-budak sosial jugalah.
Sesuailah dengan Tuah. Dia kan gangster,”
Kata-kata Julia
membuatkan Hani terdiam. Kemudian dia mula berfikir. Benarkah Tuah Iskandar dah
ada makwe? Jika benar, kenapa pemuda itu melamarnya menjadi kekasih tempohari?
Sah! Tuah Iskandar ingin mempermainkannya.
Meskipun dia mahu
menolak permintaan Tuah Iskandar, namun hatinya sedikit terguris mendengar
cerita Julia tadi. Tuah Iskandar memang sengaja hendak mempermainkannya.
Meskipun tiada langsung perasaan terhadap pemuda itu tetapi pemuda itu tidak
berhak mempermainkan soal hati dan perasaan.
Sekali lagi dia
teringatkan Fahmi.
Kenapa semua orang
ingin mempermainkan dirinya?
Jahat sangatkah dia
sehingga semua orang ingin mengguris perasaannya?
Hani teringat
semula kata-kata Julia. Makwe Tuah Iskandar seorang yang cantik dan seksi.
Memanglah. Bukankah Tuah iskandar itu gangster. Mana ada gangster kawan dengan
orang bertudung. Kalau tengok di dalam filem atau drama-drama, gangster pasti
dapat makwe yang cantik dan seksi, yang akan membonceng motosikal si gangster
itu pergi ke mana-mana. Lepak dengan geng-geng motor sehingga larut malam. Dan
kemudian menemani gangster itu pergi berlumba, pergi kelab malam, menari
terkinja-kinja sambil berpelukan.
Mungkin itulah
kehidupan Tuah Iskandar. Begitu berbeza dengan kehidupan yang dia lalui. Ternyata
dunia mereka berbeza. Jadi, tak padan langsung jika mereka bergelar kekasih.
Isy, apa yang kau
fikirkan ini, Hani? Kenapa perlu fikirkan semua ini? Bukankah kau tak ada
perasaan langsung pada Tuah Iskandar? Bukankah kau ingin menolak lamaran dia
tempohari? Jadi, tiada persoalan dunia yang berbeza dan tiada persoalan sama
ada sesuai atau tidak.
Hani terdiam
mendengar bisikan hatinya.
Ya! Kenapa dia
perlu memikirkan semua itu walhal ia sangat tidak penting untuk dirinya.
**********
Berkali-kali dia
menasihati diri sendiri supaya tidak memikirkan sangat tentang Tuah Iskandar
yang sudah mempunyai teman istimewa. Tetapi dalam cuba menafikan, hatinya
benar-benar terguris. Mungkin, kecewa akibat percintaan yang lepas masih belum
sembuh dan kini ada orang yang ingin memperainkan dirinya. Mungkin, dia terasa
dirinya begitu murah pada pandangan lelaki-lelaki itu. Lantaran itu, hatinya mudah
tersentuh.
Lelaki semuanya
sama. Suka mempermainkan hati perempuan.
Dia ingat dia tu
siapa? Walaupun gangster kat kolej ni. Walaupun glamor tetapi dia tiada hak pun
untuk mempermainkan perasaan orang lain. Walaupun dia anak orang kaya yang
mempunyai harta berlimpah ruah sekalipun tetapi dia juga tiada hak untuk
berbuat sesuka hati. Dia tiada hak langsung!
Hani mengepal-kepal
penumbuknya. Rasanya ingin saja dia menghayunkan penumbuk itu ke arah Tuah
Iskandar. Biar pemuda itu insaf dan meminta maaf tetapi…
Adakah kemungkinan
perkara itu berlaku?
Mungkin tidak!
Sedang asyik
melayan perasaan, tiba-tiba tangannya ditarik. Hani terkejut. Ingin dia
menjerit tetapi apabila melihat wajah di hadapannya, terus dia menjadi kaku.
“Kau ingat kau
boleh lari dari aku?” sergah Tuah Iskandar. Tangannya sengaja diletakkan di
dinding, menghalang Hani daripada melepaskan diri.
“Awak..awak nak
apa?” tergagap-gagap Hani bertanya. Huh, tadi bukan main garang lagi. Siap nak
tumbuk-tumbuk Tuah Iskandar. Nah, sekarang hendak bercakap pun dia tidak
berani.
“Kau tanya aku nak
apa?” pertanyaan dijawab dengan pertanyaan membuatkan Hani kecut perut. Apatah
lagi melihat renungan tajam Tuah Iskandar terus-terus menikam dalam anak
matanya.
Hani tidak tahu
hendak berbicara apa. Masakan dia tidak ingat akan lamaran Tuah Iskandar
tempohari. Dia masih ingat dan dia tahu Tuah Iskandar sedang menantikan
jawapan. Malah dia sudah menyediakan jawapannya tetapi kenapa berat sangat
mulut ini untuk menyebutnya?
“Apa jawapan kau?” pertanyaan
Tuah Iskandar membuatkan nafasnya bertambah sesak. Terasa jantungnya berhenti
mengepam darah ke seluruh badan menyebabkan tubuhnya terasa lemah tidak
bermaya.
“Saya…erk..saya..”
kenapa dia tak mampu bersuara? Jawablah Hani yang kau tak mahu jadi awek dia.
“Kau dengar sini.
Mulai saat ini, kau adalah awek aku,”
Hani merenung Tuah
Iskandar. Matanya bulat mendengar kenyataan yang dibuat oleh Tuah Iskandar.
“Dan aku tak suka
kau buat perkara-perkara yang aku tak suka,” ujar Tuah Iskandar lalu terus
berlalu dari situ meninggalkan Hani terkebil-kebil berseorangan.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan