Jumaat, 10 Julai 2015

TETAP AKU SAYANG (BAB 4)

TETAP AKU SAYANG (BAB 4)


BAB 4

           
            “Hoi Tuah!”
            Panggilan dari seseorang membuatkan langkahnya terhenti. Pantas dia berpaling. Dan, senyumannya meleret saat melihat wajah yang sedang menghampirinya.
            “Woi, kau apa khabar? Sihat?” Tanya Zulkifli seraya menepuk-nepuk bahu Tuah Iskandar. Sudah lama rasanya dia tidak bertemu dengan sahabat baiknya ini. Walaupun kerap kali berhubung melalui telefon, namun jarang sekali mereka duduk berdua sambil menikmati secawan teh seperti zaman belajar dulu.
            Yang pasti, bukan Tuah Iskandar yang sibuk sebaliknya dia yang tak cukup masa untuk membuat sebarang temujanji. Isy!
            “Aku tengok kau yang tak sihat,” gurau Tuah Iskandar.
            Zulkifli mengerutkan dahinya.
            “Yelah, sibuk 24 jam,”
            Zulkifli sekadar menyengih.
            “Kau buat apa kat sini?” Tanya Zulkifli.
            “Hantar Hani tadi. Dia dah lambat,”
            “Oh, baiknya kau,”
            “Hantar isteripun nak kena berkira ke?”
            “Bukan itu maksud aku tapi…” Zulkifli menggaru-garu kepalanya yang tidak gatal sambil tersengih-sengih macam kerang busuk.
            “Tapi?” Tuah Iskandar menjungkitkan sedikit keningnya tanda bertanya.
            “Aku dengar ada orang tu dah jadi mamat jiwang sejak kahwin,”
            Tuah Iskandar diam. Sekilas dia melirik ke arah Zulkifli.
            “Tak sangka ya. Gangster yang digeruni semasa di kolej jadi pencinta yang setia, jiwang karat,” Zulkifli tertawa di hujung kata-katanya. Wajah pemuda gangster dingin dan beku suatu ketika dulu terlayar di ingatannya. Siapa sangka pemuda yang digelar gangster suatu ketika dulu, kini menjadi suami yang penyayang. Suami yang benar-benar mencintai isterinya hingga hujung nyawa.
            So? Kau ada masalah ke tentang itu?”
            Zulkifli pantas menggeleng dengan sisa tawanya yang masih berbaki.
            “Tak…Cuma aku tak sangka Hani mampu ubah kau sampai macam ni,”
            “Gangster pun manusia,”
            “Ya, aku tahu. Tapi sekarang kau dah tak layak nak pakai gelaran gangster tu,”
            “Habis tu, gelaran apa kau nak bagi kat aku?”
            “Mat jiwang,” sekali lagi Zulkifli tertawa.
            “Zul,”
            “Ataupun, gangster pencen,” kuat lagi tawa Zulkifli kedengaran.
            “Zul,”
            “Okey-okey…Jomlah kita sembang-sembang kat kedai mamak. Lama dah tak jumpa kau. Alang-alang jumpa ni, banyak benda nak diborakkan. Kau free?
            “Aku free aje. Cuma takut kau tu yang sibuk,”
            “Aku baru habis shift ni. Jomlah,”
            Tuah Iskandar hanya menurut langkah Zulkifli menuju ke destinasi yang tidak di ketahui.



            “Hani, laporan pesakit katil 24 tu kau dah siapkan?” tanya Zila, salah seorang houseman yang turut bertugas di wad O&G tersebut.
            “Dah, kenapa?” tanya Hani sambil memeriksa rekod perubatan pesakit di hadapannya itu.
            “Sekejap lagi Doktor Azizul nak buat round. Just to remind you,”
            Hani melirik jam di tangannya.
            “Cepatnya Doktor Azizul buat round hari ni?”
            “Entah. Aku tahu pun sebab sister yang beritahu. Kalau tak, aku pun tak tahu dia nak datang awal,”
            “Nasib baik aku dah siapkan awal-awal lagi. Kalau tak, sia-sia aje kena bambu depan-depan pesakit,”
            “Kalau kena, tadah telinga ajelah. Kau bukan tak tahu perangai abang kesayangan kau tu,”
            “Abang sayang. Erk…please okey,”
            Zila tertawa apabila melihat Hani buat-buat muka loya apabila terkenangkan Doktor Azizul. Hani tidak memperdulikan Zila lantas terus memeriksa catatan yang terdapat dalam fail pesakit di hadapannya itu.
            Bunyi mesej membuatkan Hani tersentak. Segera dia berundur beberapa tapak dan meneliti peti inbox mesej telefon bimbitnya.

            Miss you a lot sayang. Jangan lupa balik nanti abang ambil sayang.

            Lebar senyuman yang menghiasi wajahnya tatkala membaca pesanan ringkas itu. Tanpa membuang masa, dia terus membalas mesej tersebut.

            Rindu abang juga. Tak sabar nak jumpa abang petang ini.

            Butang send ditekan dan kemudian dia tersenyum-senyum sendiri.
            “Hani,”
            Hani terkejut apabila disergah dari belakang.
            “Kenapa Zila,”
            “Cepat, Doktor Azizul dah datang,”
            “Oh. Okey. Aku pergi sekarang,”
            Pantas Hani memasukkan telefon bimbitnya ke dalam saku jubah putihnya. Bunyi mesej yang masuk diabaikan seketika. Pasti Tuah Iskandar yang membalas pesanan ringkas dia sebentar tadi. Ah! Nanti-nantilah dia buka.



            Selesai saja kerjanya, Hani pantas mengeluarkan telefon bimbitnya. Mesej yang terabai sejak pagi tadi sudah tidak sabar untuk dibaca. Pasti mesej jiwang-jiwang dari encik suami. Tiba-tiba rindu menerpa. Bayangan Tuah Iskandar terlayar di fikirannya. Sambil tersenyum, dia menekan ikon inbox mesej pada skrin telefon bimbitnya.

            Hai awak, macam mana sekarang? Sihat?

            Wajah Hani berkerut membaca mesej yang mengisi peti simpanan mesej itu. Jangkaannya meleset. Bukan mesej dari Tuah Iskandar tetapi dari seseorang yang tidak di kenalinya. Berkali dia mengamati nombor yang tertera tanpa nama itu. Siapa? Salah nomborkah?
            Mesej ke dua dibuka.

            Hani, masih ingat saya?

            Sah! Bukan salah nombor. Memeng mesej itu dihantar untuk dirinya. Tetapi…siapa pula si penghantar mesej ni. Tak nak kenalkan nama ke?
            Jadi…nak balas ke tidak ni?
            Hani menggaru-garu kepalanya yang tidak gatal sambil berfikir apa tindakan yang perlu dilakukan seterusnya. Sambil itu matanya melilau melihat sekitar, mencari-cari kelibat Tuah Iskandar yang sudah berjanji untuk mengambilnya pulang dari kerja. Mujurlah hari ini dia boleh balik awal. Jadi, tak perlulah Tuah Iskandar menanti sehingga lewat petang untuk mengambilnya di hospital ini.

            Siapa?

            Ringkas saja balasan daripada Hani. Mana tahu kalau-kalau kenalan lama yang terputus hubungan. Atau kawan lama yang sudah bertukar nombor telefon?
            Tidak sampai seminit, mesej berbalas.
            Bulat mata Hani melihat satu nama yang tertera.
            Fahmi?

Tiada ulasan:

Catat Ulasan