KERANA AKU SAYANG KAU (BAB 15)
BAB 15
Bihun goreng
dimasukkan sedikit ke dalam pinggan. Kemudian di tambah dengan separuh telur
rebus dan sedikit sambal. Itulah menu sarapan paginya pada hari itu. Sebelum
memasuki dewan kuliah, Hani mengisi perut dengan sedikit makanan.
Sambil menatang
pinggan dan segelas air ke tempat duduk, matanya melilau ke kiri dan ke kanan. Cuba mencari kelibat seseorang. Namun
entah kenapa bayangan pemuda itu tidak kelihatan. Biasanya Tuah Iskandar akan
muncul bersama-sama dengan Zulkifli makan di kafeteria ini.
“Hei Hani,” Hani terperanjat
apabila disergah Syasya.
“Apa?” tanya Hani
cuba mengawal keadaan.
“Kau cari siapa?
Sekejap pandang sini, sekejap pandang sana,”
“Aku erk..erk..”
“Kau cari secret admirer kau ye? Kau dah tahu ke
siapa?”
Ternyata topik secret admirer membangkitkan semangat Julia dan Syasya pagi
itu. Sejak dia mendapat bunga mawar tempohari, selalu Julia dan Syasya bertanya
tentang siapa gerangan si pengirim. Apabila dia menyatakan tidak tahu,
rakan-rakannya itu tidak berpuas hati. Malah Julia dan Syasya menyuruh dia mencari
siapa gerangan pemuda itu. Dan yang kelakarnya, Julia dan Syasya sanggup jadi
penyiasat yang tidak bergaji semata-mata untuk mengetahui siapa sebenarnya secret admirer.
Tiba-tiba Hani
terlihat Zulkifli sedang berjalan menuju ke kafeteria. Segera wajahnya bertukar
ceria. Namun tidak lama. Hanya beberapa ketika dan kemudian bertukar mendung
kembali. Tuah Iskandar tidak kelihatan bersama Zulkifli. Hani mengeluh.
Kenapa Tuah
Iskandar tak munculkan diri pagi ini? Adakah dia ada melakukan apa-apa salah
sehinggakan Tuah Iskandar mengetepikan dirinya pagi ini?
Entah apa
perasaannya sekarang, Hani tidak pasti. Kenapa dia tercari-cari kelibat Tuah Iskandar?
Kenapa dia mengharapkan Tuah Iskandar akan muncul di hadapannya? Dan kenapa dia
merasa hampa apabila tidak melihat wajah itu?
Cinta? Mungkinkan
ini semua cinta?
Tak mungkin! Tetapi
kalau tak mngkin..apakah perasaan ini?
Kenangan keluar
bersama Tuah Iskandar tempohari terlayar di mindanya. Tiba-tiba dia merasa satu
perasaan aneh yang menggerakkan degupan jantungnya menjadi laju. Bayangan Tuah Iskandar
menghiasi mindanya. Pemuda berwajah sombong itu, meskipun jarang tersenyum
namun kehadirannya mampu mengganggu ketenteraman hidupnya.
Tiba-tiba rindu datang
menerpa..
**********
Hari berlalu terasa begitu lambat. Jam seperti
sengaja melengah-lengahkan bergerak dari satu nombor ke nombor yang lain.
Kuliah yang mengambil masa satu jam seperti selalu bagaikan terlalu lama. Hani
jadi semakin gelisah.
Dia cuba untuk
menumpukan perhatian pada kuliah yang disampaikan tetapi mindanya asyik
terbayangkan Tuah Iskandar. Kenapa Tuah Iskandar tidak muncul pagi itu? Entah
kenapa dia merasakan seakan tidak lengkap harinya jika tidak melihat pemuda
itu.
Harap-harap Tuah Iskandar
ada petang ini.
Hani sudah tidak
sabar menanti habisnya kuliah yang masih berbaki 30 minit itu.
Selesai saja
kuliah, Julia terus mengajak Hani dan Syasya lepak di kafeteria. Mengisi perut
dengan minum petang sebelum menunggu saat makan malam. Bagaikan orang di sorong
bantal, Hani terus saja bersetuju. Bukan kerana makanan tetapi niatnya untuk
melihat Tuah Iskandar.
Namun dia hampa.
Kelibat Tuah Iskandar sedikitpun tidak terlihat di kawasan kafeteria itu. Di
mana sebenarnya pemuda itu? Demamkah? Sakitkah?
Dengan langkah yang
lemah, Hani menuju ke kaunter makanan. Dia hanya mengambil tiga keping kuih
dengan secawan teh panas. Cukup untuk mengisi perutnya yang tidak berselera
sangat di saat itu.
Sebaik saja
berpaling selepas membayar harga makanan, Hani terkejut melihat sesusuk tubuh
yang sedang duduk bertentangan dengannya. Seperti biasa renungan pemuda itu tajam
melirik ke arahnya. Tanpa senyuman, tanpa kata-kata Tuah Iskandar terus
merenung Hani. Meskipun agak gementar dengan renungan tajam itu namun Hani
berasa gembira dengan kehadiran pemuda itu.
Lambat-lambat Hani
melangkah menuju ke arah Syasya dan Julia yang sudahpun duduk dan bersedia
untuk makan. Semasa melintasi Tuah Iskandar, sempat dia melirik ke arah pemuda
itu. Namun, Tuah Iskandar seperti biasa. Tiada senyuman.
Entah kenapa Hani
merasakan pelik dengan sikap Tuah Iskandar. Meskipun pemuda itu biasanya begitu
tetapi Hani dapat merasakan kelainannya. Dengan perlahan, Hani mengeluarkan
telefon bimbitnya.
Nak hantar ke
tidak? Nak hantar ke tidak?
Hani berkira-kira
untuk memberi mesej kepada Tuah Iskandar. Untuk apa dia menghantar pesanan
ringkas itu? Apa yang hendak di perkatakan? Hani menjadi resah. Seketika dia
menarik nafas dalam-dalam, cuba mengawal riak mukanya yang resah dari disedari
rakan-rakannya. Akhirnya untuk memuaskan hati, Hani menaip juga sesuatu untuk
dihantar kepada Tuah Iskandar.
Selamat minum petang.
Mesej ringkas yang
dia sendiri tidak tahu perlu atau tidak, relevan atau tidak. Ah! Apa-apa
sajalah. Dia hanya mahu tindakbalas dari pemuda itu.
Beberapa saat kemudian,
bunyi mesej masuk ke dalam peti inboxnya.
Serta-merta dia menjengahnya. Tidak sabar menanti reaksi dari Tuah Iskandar.
Thanks.
Muncung sedepa
mulut Hani apabila membaca mesej yang tersangat ringkas dari pemuda itu.
Terlalu ringkas sehingga Hani tidak tahu apakah yang bersarang di minda pemuda
itu.
Thanks saje? Sekurang-kurangnya tulislah
selamat makan untuk awak juga ke, atau makan kenyang-kenyang, atau makankan
untuk saya sekali ke, barulah romantik. Sempat Hani membebel dalam hati. Tetapi
tidak lama kemudian dia termenung dan berfikir.
Kenapa aku rasa
semua ni? Kenapa aku begitu mengharapkan mesej yang indah-indah dari dia?
Kenapa aku perlu resah bila dia berubah laku? Kenapa aku perlu merajuk bila
mesej yang dihantar tak seperti apa yang aku inginkan?
Adakah aku dah
jatuh cinta? Entah..tapi aku rasa ada satu perasaan yang berlainan terhadap
Tuah Iskandar. Mungkn juga perasaan itu adalah cinta tetapi..layakkah aku
bercinta dengan Tuah Iskandar?
Hani mengeluh.
Kemudian dia merenung kembali mesej yang diterima. Ada rasa hampa. Terus saja
dia menutup telefon bmbitnya namun belum sempat dia menyimpan telefon bimbit di
dalam begnya, bunyi mesej masuk kedengaran.
Petang ni jumpa tempat biasa.
Segaris senyuman
terukir di bibirnya.
Petang ni jumpa Tuah
Iskandar? Tiba-tiba hatinya melonjak riang.
**********
“Hai, boleh saya
duduk?” tanya Hani. Seketika dia melirik jam di tangannya. Dia tidak lewat
tetapi Tuah Iskandar yang begitu awal.
Tuah Iskandar tidak
menjawab sebaliknya mengalihkan beg yang diletakkan di sebelahnya sebagai
jawapan kepada soalan Hani.
Hani melabuhkan
punggungnya di sebelah Tuah Iskandar. Buat seketika, masing-masing tidak
bersuara. Hani tidak tahu bicara apa yang perlu dimulakan. Matanya melirik ke arah
Tuah Iskandar. Kelihatan wajah pemuda itu muram, seperti ada sesuatu yang tidak
kena tetapi apa?
“Awak okay?” tanya
Hani.
“Hmm,” ringkas
jawapan dari Tuah Iskandar.
“Kenapa hari ni
diam saje? Awak marahkan saya ke? Saya
ada buat salah apa-apa ke?” tanya Hani bersungguh. Bimbang seandainya kerana
dirinya Tuah Iskandar berkelakuan sebegitu.
Diam. Tiada
jawapan.
Hani mengeluh.
Huh, setakat jumpa
sekadar nak duduk berdiam macam ni, baik tak payah jumpa. Dia yang ajak jumpa,
dia pula yang senyap saje. Tak faham betullah. Sempat Hani membebel dalam hati.
Sekali lagi Hani
mengerling Tuah Iskandar. Kelihatan pemuda itu termenung merenung lantai sambil
bermain dengan tangan kasarnya itu.
Seminit..dua minit..tiga
minit..
Diam.
Dia ni memang tak
nak bercakap agaknya. Baik aku yang mulakan. Topik apa yang nak dibualkan ye?’
Sedang Hani
memikirkan topik perbualan mereka petang tu, Tuah Iskandar membuka mulut.
“Papa aku kahwin
lagi,”
Hani terkejut
dengan suara Tuah Iskandar yang tiba-tiba. Namun, dia menenangkan dirinya mendengar
apa yang ingin di perkatakan Tuah Iskandar.
“Papa awak kahwin lagi?”
“Dengan seorang
perempuan yang jauh lebih muda daripadanya,”
“Awak tak suka?”
“Kau fikir ada anak
yang suka kalau ayahnya kahwin lagi?”
Oh, jadi kerana
perkara inilah Tuah Iskandar berubah laku?
“Jadi, apa yang
awak nak buat?”
“Tak tahu,”
“Papa awak tak
jelaskan apa-apa pada awak?”
“Aku tak nak
dengar?”
“Awak tak boleh
buat macam ni. Awak sepatutnya beri dia peluang untuk menerangkan perkara yang
sebenar,”
“Nak terangkan apa
lagi? Berkahwin tanpa pengetahuan aku? Tanpa pengetahuan mama?”
“Apa yang berlaku
pasti ada sebab. Pasti ada sebab kenapa papa awak buat semua ni. Jadi, awak
dengarlah apa yang dia nak cakap. Lepas awak dah dengar, terpulang pada awak
untuk membuat penilaian,”
Tuah Iskandar diam
tidak bersuara.
“Awak..”
Diam.
“Kalau ada sesuatu
yang kita nak jelaskan, kita akan kecewa jika orang tak nak dengar apa yang nak
kita terangkan. Dan bila kita dah terangkan, kita akan rasa puas hati meskipun
kita tak tahu apa penerimaan orang itu. Sekurang-kurangnya kita dah perjelaskan.
Baik atau buruk penerimaan orang lain, terpulang pada orang itu sendiri,”
Tuah Iskandar
mengangkat mukanya dan menoleh ke arah Hani. Renungan Tuah Iskandar tepat ke
anak mata Hani. Tiba-tiba Hani jadi resah. Dengupan jantungnya kembali kencang.
Ada rasa sesuatu terus menusup ke dalam hatinya menyebabkan dia terasa bagai
nak demam!
Tiada ulasan:
Catat Ulasan