Isnin, 18 November 2013

KERANA AKU SAYANG KAU (BAB 18)

KERANA AKU SAYANG KAU (BAB 18)
 

BAB 18

            Sedulang minuman diletakkan di hadapannya. Dengan perlahan, air di dalam teko dituang ke dalam dua biji cawan dan kemudian dihidangkan untuk dua orang tetamu yang hadir. Meskipun tetamu itu hadir tanpa diundang tetapi kehadiran tetamu itu disambut dengan hati yang ikhlas.

            “Minumlah,” pelawa Zanariah kepada dua orang tetamunya yang dari tadi menyepikan diri.

            “Terima kasih,” balas Hani sambil tersenyum manakala Tuah Iskandar yang duduk di sebelahnya hanya mendiamkan diri.

            Meskipun Hani tidak mengenali wanita yang berada di hadapannya itu dan meskipun Tuah Iskandar tidak memberitahu dia apa yang sedang berlaku namun dia dapat mengagak siapa wanita itu. Namun, untuk apa tujuan bertemu wanita itu, Hani masih samar-samar.

            “Minumlah Tuah. Nanti sejuk pula air tu,” ujar Zanariah kepada Tuah Iskandar.

            Keadaan sepi seketika. Masing-masing hanya membisu seribu bahasa. Hendak memulakan bicara, Hani tidak tahu topik apa yang sesuai memandangkan sikap diam Tuah Iskandar yang menyebabkan suasana kelihatan begitu suram.

            “Berapa lama antie kahwin dengan papa?” akhirnya keluar juga suara emas Tuah Iskandar. Mungkin dia mengambil masa yang lama untuk memikirkan soalan yang sesuai ditanyakan kepada isteri muda Dato’ Hasyim itu.

            “Antie kenal Dato’ sudah lima tahun tetapi kami berkahwin baru dua tahun,” jawab Zanariah jujur.

            “Lima tahun? Jadi selama lima tahun papa ada hubungan sulit dengan antie?”

            “Tuah jangan salah faham,”

            “Apa yang saya tak faham lagi?”

            Kelihatan wajah Zanariah tetap tenang. Senyuman tidak lekang di bibirnya. Entah mengapa, Hani rasa tenang melihat wajah itu dan dia dapat merasakan Zanariah seorang perempuan yang baik.

            Tiba-tiba seorang kanak-kanak perempuan keluar dari bilik sambil menggosok-gosok matanya. Kanak-kanak itu seperti baru bangun tidur. Hani dan Tuah Iskandar berpandangan. Di dalam minda mereka berfikir siapa pula gerangan kanak-kanak perempuan ini? Mungkinkah anak Zanariah dengan Dato’ Hasyim? Namun memandangkan usia kanak-kanak itu berbanding dengan usia perkahwinan Zanariah dan Dato’ Hasyim berlainan sekali, tak mungkin kanak-kanak itu anak mereka berdua. Jika begitu, berkemungkinan anak ini anak luar nikah?

            “Huda dah bangun?” tegur Zanariah kepada kanak-kanak perempuan yang di panggil Huda itu. Huda mendekati Zanariah lalu melentokkan kepalanya ke riba Zanariah.

            “Ibu,” panggil Huda manja.

            “Huda ngantuk lagi ya sayang? Huda pergi tidur kat dalam bilik ya,”

            Huda hanya menurut. Kanak-kanak itu terus saja kembali semula ke dalam bilik.

            Hani dan Tuah Iskandar memandang Zanariah, meminta penjelasan.

            “Itu Huda. Anak antie dengan suami pertama,”

            Penjelasan Zanariah membuatkan Tuah Iskandar terkejut. Anak Zanariah dengan suami pertama? Zanariah pernah berkahwin sebelum ini?

            “Antie pernah berkahwin sebelum ini. Namun perkahwinan kami tidak tahan lama. Selepas berkahwin barulah antie tahu bekas suami antie bukanlah orang yang baik. Dia merupakan ketua kongsi gelap dan kehidupan antie bagaikan berada di neraka. Sungguh menderita,” cerita Zanariah. Kelihatan wajah wanita itu agak sugul. Mungkin sedang mengingati bayangan hitam masa silam yang pernah dia lalui.

            “Bekas suami antie memang jahat sehingga dia sanggup menjual antie hanya untuk duit,” ada nada sedih pada suara itu.

            Hani terkejut. Begitu sekali cerita di sebalik wajah tenang Zanariah. Patutlah Zanariah sentiasa tersenyum. Wanita itu memang benar-benar tabah mengharungi kehidupannya.

            “Namun, semua penderitaan antie berakhir apabila bertemu seorang lelaki. Lelaki itu telah menyelamatkan maruah antie dan juga mengeluarkan antie dari dunia neraka itu. Lelaki itu adalah papa kamu, Tuah,”

            Tuah Iskandar memandang Zanariah. Pandangan mereka bertemu.

            “Tuah, antie minta maaf jika perkahwinan antie dengan papa Tuah membuatkan Tuah marah tetapi antie ikhlas. Antie tak mengahwini papa Tuah kerana harta tetapi antie benar-benar terpikat dengan sikap dato’ yang begitu mengambil berat tentang antie dan Huda. Memang pada mulanya antie tak mahu menerima lamaran dato’. Tiga tahun antie berfikir tentang lamaran sehinggalah pintu hati antie terbuka untuk memerima dato’,”

            Panjang lebar Zanariah bercerita. Dan di akhir ceritanya dia tersenyum. Mungkin mindanya sedang mengimbau kembali saat-saat Dato’ Hasyim melamarnya.

            “Tuah, antie dah beritahu segalanya pada Tuah. Selebihnya, terpulanglah pada Tuah untuk membuat penilaian,”

            Tuah Iskandar masih berdiam diri. Hani juga turut diam apabila melihat pemuda di sebelahnya itu tidak langsung bersuara.

            Suasana sepi kembali.

                                                                                    **********

            “Macam mana?” tanya Hani sambil menyedut air batu campur yang penuh warna warni itu.

            “Apa?”

            “Penilaian tentang Antie Zanariah,”

            Tuah Iskandar diam.

            “Pada pandangan saya, Antie Zanariah tu okay. Saya rasa tenang saja bila tengok wajah dia,”

            Tuah Iskandar diam lagi.

            “Saya rasa tak salah kalau awak cuba menerima semua ini. Tentang perkahwinan papa awak dan Antie Zanariah,”

            “Bagaimana dengan mama aku?”

            Pertanyaan Tuah Iskandar membuatkan Hani terdiam.

            “Walau seteruk manapun mama, dia tetap isteri papa. Kami tetap sebuah keluarga. Bagaimana dengan keluarga asal aku?”

            “Keluarga awak tetap keluarga awak. Ianya takkan berubah. Yang berubah hanya kehadiran orang baru, Antie Zanariah,”

            Tuah Iskandar diam lagi.

            “Awak, adakalanya kita perlu menerima perubahan jika ianya mendatangkan kebaikan. Mungkin apa yang berlaku dalam keluarga awak ada hikmah di sebaliknya. Lagipun, Antie Zanariah tidaklah seburuk yang awak sangkakan,”

            Tuah Iskandar tidak berkata apa-apa. Hanya mebiarkan masa berlalu..berlalu dan terus berlalu.

                                                                        **********

            “Hani!”

            “Hani!”

            Berlari-lari Julia dan Syasya ke arahnya. Sambil menarik tangan Hani, Julia mengarahkan Hani duduk di atas katil dan kedua gadis itu duduk di sebelah kanan dan kiri Hani.

            Hani yang baru saja balik dari bertemu ‘kawan’ itu terpinga-pinga melihat gelagat dua rakannya itu.

            “Kau orang ni kenapa? Dah kena sampuk hantu ke?”

            “Isy, kau ni Hani. Tak baik cakap macam tu,”

            “Dah tu kenapa berkerumun kat aku ni? Macam setahun tak jumpa pula,”

            Julia dan Syasya tersenyum-senyum membuatkan Hani lagi bertambah bingung. Sudah gila apa rakan-rakannya itu?

            “Hani, tadi kau keluar dengan kawan kan?” soalan Julia membuatkan dia rasa tak sedap hati. Kenapa topik dia keluar sebentar tadi menjadi perbualan mereka? Adakah ada mata-mata yang terlihat dia bertemu dengan Tuah Iskandar sebentar tadi?

            “Ya lah. Kenapa?” jawab Hani dengan cuba berlagak selamba meskipun di dalam hatinya merasa sedikit resah.

            “Kau pergi bandar naik apa?”

            “Naik komuter lah,”

            “Kau duduk sebelah siapa?”

            Hani terdiam sebentar. Dia cuba mengingati kedudukan duduk di dalam komuter petang tadi. Pasti Tuah Iskandar yang duduk di sebelah kanannya manakala di sebelah kiri, seorang perempuan tua berbangsa cina.

            “Entah,” jawab Hani cuba mmengelak. Dia yakin benar akan topik yang ingin dibicarakan. Pasti berkisarkan Tuah Iskandar.

            “Kau ni teruk betullah Hani. Tuah Iskandar duduk di sebelah kau pun kau tak perasan?” tanya Syasya dengan muka ala-ala terkejut. Panas juga hatinya apabila Hani boleh tidak sedar yang dia duduk di sebelah Tuah Iskandar.

            “Oh, ye ke? Aku tak perasan lah. Lagipun oang ramai. Mana aku nampak,” Hani cuba mempertahankan dirinya.

            “Orang lain semua berebut-rebut nak dekat dengan Tuah Iskandar. Kau pula boleh buat tak tahu saje. Sepatutnya perkara ni kau kena tulis dalam diari tahu tak?”

            Dapat duduk dengan Tuah Iskandar, kena tulis dalam diari? Kalau macam tu tentu diari aku dah penuh sebab bukan setakat duduk sebelah, aku dah keluar dating dengan mamat hensem tu. Makan bersama, tengok wayang sama, jalan sebelah-sebelah dan yang paling terkini, aku dah pergi rumah mak tiri dia!

            “Yang kau orang berdua dapat cerita dari mana ni?”

`           “Ramai budak kolej nampak Tuah Iskandar duduk sebelah kau, Hani.”

            So?

            “Hani, untungnya kau dapat duduk sebelah Tuah Iskandar. Bukan senang tau nak duduk sebelah dia. Kau sebenarnya gadis yang paling bertuah di muka bumi ini,”

            Hani terdiam seketika. Duduk di sebelah Tuah Iskandar pun sudah dipandang tinggi oleh orang-orang lain apatah lagi duduk semeja, bersembang dan bergurau senda dan yang paling tidak dapat di gambarkan saat mereka semua tahu akan hubungan antara dia dan Tuah Iskandar.

            “Hani.”

            “Ya,”

            “Kau tak bau perfume apa dia pakai?”

            “Tak,”

            “Mesti wangi bau dia. Maklumlah orang kaya mesti pakai perfume mahal,”

            Hani mencebik.

            “Hani,”

            “Ya, apa lagi?”

            “Kau tak tengok ke dia pakai jam tangan apa? Kasut jenama apa? Baju dia? Seluar dia?”

            “Hello cik Julia dan cik Syasya. Tuah Iskandar kat sebelah pun aku tak perasan takkan kasut, baju, seluar, semuanya aku nak perasan?” Hani sudah bangun sambil bercekak pinggang. Bukan dia marahkan rakan-rakannya kerana bertanyakan tentang Tuah Iskandar tetapi dia bengang apabila soalan-soalan yang ditanya sungguh tidak releven.

            “Seluar dalam dia kau orang tak nak tanya ke?”

            Julia dan Syasya terkebil-kebil.

6 ulasan:

  1. hahaha..lawak btul kawan2 hani ni..
    klau diaorg tau hani-tuah couple ape akan jd agk nyer..

    p/s : kak, ejaan antie ke auntie?

    BalasPadam
    Balasan
    1. aisyah...kalau tau, tentu haru...hehehe
      auntie tu BI kan? :)

      Padam
    2. Ejaan BI yg btul "aunty" ;-)

      Padam
  2. Rasanya mcm ada part yg berulang lh....
    Bermula dr soal siasat kawan2 hani sekembalinya hani berjumpa 'kawan' tu..... ( atau akak yg terkeliru ).
    Huhuhu....

    BalasPadam
    Balasan
    1. kak ayu...tak berulang..yang mula2 tu sy bagi teaser kat FB..past tu baru entry penuh..:)

      Padam
  3. Rindu kt Tuah ngan Hani...bila nak upload next n3???

    BalasPadam