KERANA AKU SAYANG KAU (BAB 8)
BAB 8
“Mulai saat ini,
kau adalah awek aku.”
Masih
terngiang-ngiang kata-kata itu di telinganya. Kata-kata dari seseorang yang
begitu asing dalam hidupnya. Dari seseorang yang tidak pernah langsung
terlintas di fikirannya untuk menjalinkan hubungan yang istimewa. Dari
seseorang yang langsung tiada dalam diari hatinya.
Sukar untuk di percayai
tetapi inilah hakikatnya.
Adakalanya, Hani
tidak ingin mempercayai semua yang berlaku. Adakah pemuda kacak seperti Tuah
Iskandar akan menyukai dirinya yang serba serbi kekurangan? Tak mungkin!
Namun, andainya
Tuah Iskandar sengaja mencipta lakonan, pasti dia tidak akan memaafkan pemuda
itu kerana lakonan Tuah Iskandar membuatkan dia rasa seperti mahu demam.
“Demam ke?” tanya
Hana, kakak Hani yang tiga tahun lebih tua daripadanya.
“Taklah,” Hani
menafikan walhal mukanya jelas pucat seperti orang tidak sihat.
“Pucat aje akak
tengok kau ni. Iya ke tak demam ni?” Hana tidak berpuas hati. Pantas diletakkan
tangannya ke dahi adiknya itu.
Sejuk!
“Hani tak demam lah
kak. Cuma letih sikit,” ujar Hani apabila melihat wajah Hana berkerut seribu.
Mungkin merasa suhu badan Hani tidak selaras dengan wajahnya yang pucat.
Hana memandang ke arah
Hani sambil menggeleng kecil.
“Kenapa balik kampung
minggu ni? Tak ada kuliah ke?” tanya Puan Asyikin sambil menatang dulang yang
berisi air kopi serta kuih karipap. Lalu diletakkan di atas meja makan. Masa
untuk minum petang. Selalunya Puan Asyikin akan menghidang kuih muih dari air
tangannya sendiri. Wanita itu memang pandai membuat kuih sehinggakan ada saja
yang menempah kuih muih jika ada kenduri kahwin atau apa-apa majlis.
“Ayah mana mak?” tanya
Hani. Malas untuk menjawab soalan ibunya itu. Bukan tidak suka tetapi menjawab
soalan itu mengingatkan dia kepada Tuah Iskandar. Kerana pemuda itu, dia berada
di kampung hujung minggu itu.
“Ayah kamu tu ada
kat kebun belakang,” jawab Puan Asyikin sambil menuang air kopi ke dalam cawan.
Aroma air kopi yang masih berasap benar-benar membangkitkan selera.
Segera dicapai
secawan kopi lalu didekatkan padanya.
“Soalan mak kamu
tak jawab lagi,” kata Puan Asyikin. Tidak mahu soalannya tergantung begitu
sahaja tanpa jawapan.
“Soalan apa?” Hani
pura-pura tidak faham. Aduh! Kenapalah ibu bertanyakan soalan begitu. Tak suka
kah anaknya ini pulang ke kampung?
“Tak ada kuliah
minggu ni?” ulang Puan Asyikin.
“Hujung minggu mana
ada kuliah, mak”
“Biasa hari sabtu
mak telefon kamu selalu ada kuliah,”
“Sabtu ni tak ada kuliah,”
Puan Asyikin diam
mendengar jawapan Hani. Mungkin berpuas hati dengan jawapan anaknya itu.
Keadaan sepi
seketika. Masing-masing menghirup air kopi yang masih panas dengan hati-hati.
Kepekatan kopi membuatkan Hani terbuai seketika. Sungguh sedap kopi buatan
emak. Pekat dan sedap.
Encik Karim
tiba-tiba muncul di muka pintu. Sambil mengelap peluh di dahi, Encik Karim
duduk di muka pintu, melepaskan penat berkebun sebentar tadi. Encik Karim
memang suka berkebun. Walaupun tanah di belakang rumah tidaklah besar sangat
tetapi Encik Karim masih boleh bercucuk tanam pelbagai sayurr-sayuran.
“Makan, ayah,”
pelawa Hani.
“Makanlah dulu. Ayah
nak bersihkan badan sekejap,”
Encik Karim
menghilangkan diri ke dalam bilik. Beberapa minit kemudian, Encik Karim muncul
di antara mereka bertiga. Sambil duduk di sebelah emak, ayah mencapai kuih
karipap lalu mengunyahnya.
“Kuliah macam mana,
Hani?” tu tanya Encik Karim sambil mencapai secawan air kopi yang baru dituang
Puan Asyikin.
“Macam biasalah
ayah. Okay saja,”
“Boleh bawak tak?
Belajar doktor ni bukannya senang, Hani,”
“So far okay ayah. Insya’Allah Hani akan
cuba yang terbaik,”
“Belajar
rajin-rajin. Dah lulus nanti boleh cari kerja yang baik. Kita bukan orang
senang,”
Hani diam saja.
Selalu sangat dia mendengar ayahnya berkata begitu. Namun dia tahu dan akui,
mereka bukan dari keluarga yang senang tetapi bukanlah susah sangat. Cukup
makan dan pakai. Tetapi kalau hendak bermewah-mewah, mungkin tidak mampu.
“Hei Hani. Kat sana
tak ada pakwe-pakwe yang hensem tak?” Hana menyiku Hani sambil mengenyitkan mata
dan tersenyum-senyum penuh makna.
“Isy, ke situ pula
kamu ni Hana. Hani ke sana untuk belajar bukan untuk cari pakwe,” sangkal Puan
Asyikin. Hani memandang Hana yang sudah memuncungkan mulutkan. Hani tersenyum
melihat telatah kakaknya yang baru putus cinta beberapa bulan lepas. Walaupun
Hana sudah berpisah dengan kekasihnya Munir namun Hana tetap dengan sikapnya
yang periang. Jika orang yang tidak tahu pasti mereka tidak boleh meneka yang Hana
baru putus cinta. Berbeza benar dengan dirinya yang lembik apabila putus dengan
Fahmi dulu.
“Alah, apa salahnya
sambil menyelam minum air,”
“Kalau air tu sedap
tak mengapa, kalau air tu pahit..tak ke mana kamu menyelam,”
“Mak ni…”
Hani tersenyum
mendengar perbualan dua anak beranak itu. Hana memang suka bertelagah dengan
Puan Asyikin berbanding dirinya yang hanya menurut saja kata emak.
Dalam pada itu,
Hani teringatkan seseorang. Pakwe yang kacak? Ya, dia sudah jumpa dan pakwe
kacak itu ingin menjadikan dia kekasih. Untungnya! Tetapi, ini bukan cerita
dongeng Cinderella. Seorang gadis biasa yang dicintai seorang putera raja.
Bukan juga cerita-cerita di televisyen, heronya seorang ahli koperat, pegawai
besar..Ini kisah hidupnya, di mana Tuah Iskandar adalah seorang gangster.
Aduh!
**********
Memandang langit
yang membiru membuatkan hatinya sedikit tenang. Memandang laut yang terbentang
luas, hatinya rasa tenteram. Namun bayangan itu masih tidak mampu diusir dari
mindanya. Melekat saja ke mana saja dia pergi.
“Mulai saat ini,
kau adalah awek aku.”
Adakah benar-benar
Tuah Iskandar memaksudkannya? Waraskah Tuah Iskandar ketika mengungkapkannya?
Jika begitu, apakah status dirinya yang sebenar?
Mulai saat
ini..maksudnya bermula sekarang, saat dia berdepan dengan Tuah Iskandar
tempohari. Kau adalah awek aku..maksudnya dia adalah kekasih kepada Tuah
Iskandar. Jadi, ayat itu bermaksud..mulai saat dia berdepan dengan Tuah
Iskandar kelmarin, dia sudahpun menjadi kekasih pemuda itu?
Maksudnya sekarang
ini aku adalah kekasih Tuah Iskandar?
Maksudnya sekarang
ini, aku tidak keseorangan?
Maksudnya sekarang
ini, aku dah ada pakwe?
Tidak! Tidak!
Hani menggeleng
beberapa kali. Menafikan segala tafsiran yang di buat.
“Hai,”
Suara yang
menyapanya membuatkan dia tersentak. Segera dia berpaling kepada tuan empunya
suara. Spontan senyuman terukir saat terlihat Halim yang sedang berdiri di
sebelahnya.
“Boleh abang
duduk?”
“Erk duduklah,”
Pantas Halim
melabuhkan punggungnya di sebelah Hani.
“Hani okay?”
“Kenapa abang tanya
macam tu? Nampak Hani macam tak okay ke?”
“Dari jauh tadi
abang tengok Hani macam bermasalah aje. Siap mengeleng-geleng kepala. Ada
apa-apa yang boleh abang bantu?”
Alamak!
Rupa-rupanya Halim sudah memerhatikan dirinya dari jauh. Malu betul!
“Erk..tak ada
apa-apalah abang. Hani cuma menikmati pemandangan indah ciptaan Tuhan ni.
Cantik betul,” dalih Hani.
“Ya, memang cantik
dan kita harus bersyukur kerana dapat menikmatinya,”
Hani tersenyum.
Kemudian, pandangannya diloloskan ke hadapan. Angin yang bertiup nyaman menyapa
lembut wajahnya. Begitu mengasyikkan. Seketika dia terbuai dengan hembusan
angin yang begitu menyenangkan.
“Bila abang akan
bertukar ke KL?” tanya Hani menghidupkan suasana. Rimas juga apabila
masing-masing berdiam diri.
“Lagi dua minggu,”
jawab Halim pendek.
“Oh, baguslah macam
tu. Nanti nak balik kampung, boleh Hani tumpang abang. Tak payah bersesak-sesak
beli tiket bas,”
Aduh! Apa yang kau
cakapkan ni, Hani? Sudahlah kau tidak selesa apabila bertemu Halim inikan pula
hendak menumpang balik? Itulah, terlajak kata memang dah tak boleh diundur!
“Boleh. Tapi kena
bayar tambang juga,”
Hani melirik ke arah
Halim dengan muncung yang sedepa. Halim tertawa.
“Abang main-main
saja,”
Serentak itu Hani
tertawa. Entah ikhlas atau tidak tawanya dia sendiri tak pasti. Mungkin senang
dengan gurauan Halim atau mungkin sekadar untuk mengambil hati saja.
Kedua insan itu terus
saja berbual-bual sambil menikmati suasana nyaman di pantai Telok Kemang itu.
**********
“Kau pergi mana?”
tanya Hana yang sedang duduk di serambi rumah sambil tangannya memegang majalah
Mingguan Wanita.
“Dari pantai,”
jawab Hani sambil melunjurkan kakinya di sebelah Hana.
“Jumpa Halim?”
tanya Hana sambil mengunyah kerepek pisang yang dibuat oleh Puan Asyikin.
Hani melirik ke
arah Hana. Mana Hana tahu dia bertemu dengan Halim?
“Halim datang rumah
tadi. Lepas tu dia tanya mana kau,” terang Hana seolah-olah mengerti apa yang
bermain di fikiran adiknya itu.
“Oh,” Hani
terangguk-angguk.
“Apa yang oh?”
“Ha?”
“Kenapa kau
terangguk-angguk bagai?”
“Tak adalah.
Patutlah Abang Halim tahu Hani kat pantai. Rupanya dia singgah rumah dulu,”
Hana dan Hani
sama-sama tersenyum. Kemudian, Hana meneruskan pembacaannya. Menyelak helaian
demi helaian. Cepat saja diselaknya. Membaca atau sekadar melihat gambar saja?
“Hani,”
Panggilan Hana
membuatkan Hani menoleh.
“Apa?”
“Kau dengan
Halim….”
Hani faham apa yang
ingin di perkatakan Hana walaupun Hana tak meneruskan kata-katanya. Dia faham
benar.
“Dia dah macam
abang kandung sendiri,” jawab Hani jujur.
“Betul ke?”
“Betullah. Kenapa?”
“Kau tak ada hati
kat Halim tu ke? Diakan baik. Rupa pun boleh tahan,”
“Mungkin sebab Hani
dah anggap dia macam abang kandung sendiri jadi…nak suka lebih dari itu agak
susah,”
Hana
tersenyum-senyum menyebabkan Hani pelik dengan perangai kakaknya yang seorang
ini.
“Kenapa?” soal
Hani. Dahinya berkerut-kerut melihat sikap Hana.
“Kalau kau tak
suka, aku boleh masuk line,”
Hani terlopong
mendengar pengakuan berani Hana. Tak sangka Hana menyimpan perasaan pada Halim.
Wajah Hana ditenung. Hana kembali memandang wajahnya sambil mengangkat-angkat
keningnya.
Ah! Hana memang
begitu. Ceria sentiasa walaupun Hana sedia maklum yang Halim pernah menyimpan
perasaan pada Hani.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan