Selasa, 29 Oktober 2013

KERANA AKU SAYANG KAU (BAB 17)


KERANA AKU SAYANG KAU (BAB 17)


BAB 17

            Hani, Iqbal dan Azlin berjalan beriringan dari perpustakaan menuju ke kafeteria sebaik saja perbincangan berkumpulan tamat. Tatkala itu jam sudahpun menunjukkan angka 12 tengahari. Perut masing-masing mula berirama pelbagai lagu, minta diisi.
            “Tugasan lepas baru saja habis, sekarang dapat tugasan baru pula,” keluh Azlin dengan muncung sedepa. Jelas terpamer kepenatan pada wajah gadis bertubuh gempal itu.
            “Dah memang macam ni tugas kita, nak buat macam mana. Ikut sajalah,” sahut Iqbal.
            “Kalau aku tahu macam ni penat, malas aku nak ambil kursus medik ni,” balas Azlin lagi.
            “Eh, kau jangan cakap macam tu. Bukan senang tau nak ambil kusus macam kita ni. Kita yang dah dapat kira beruntung tahu tak?”
            “Betul cakap Iqbal tu, Lin. Apa pun kursus yang kita ambil, semua memerlukan pengorbanan dalam menempuhnya. Kita kena kuatkan semangat. Kalau tidak, sia-sia saje usaha kita selama ni,” sampuk Hani mengiyakan kata-kata Iqbal.
            “Lima tahun saja, Lin. Berkorbanlah selama lima tahun ini. Selepas dah kerja nanti, baru kita nampak hasil daripada usaha di atas penat lelah kita selama ini. Pada masa tu pasti kita akan tersenyum nanti,” sambung Hani lagi seraya menaikkan semangat rakannya itu.
            “Wah, Hani. Kau bercakap macam kaunselor tak bertauliah. Nampaknya terpaksalah aku teruskan dalam kursus ni,” ujar Azlin dengan senyuman yang masih tawar.
            “Jangan cakap terpaksa. Buat dengan ikhlas dan bersemangat,”
            “Ya,”
            “Jangan risaulah, Lin. Kitakan kawan. Kalau tak faham apa-apa, boleh bertanya. Kalau semua tak tahu, kita semua pergi jumpa lecturer,” Iqbal memujuk.
            Hani dan Azlin tersenyum mendengar kata-kata Iqbal.
            Tiba-tiba langkah Azlin terhenti. Hani dan Iqbal turut terhenti.
            “Kenapa?” tanya Iqbal sambil menjungkitkan keningnya.
            “Kata-kata kau ni Iqbal buat aku sakit perut. Aku nak ke tandas. Kau berdua pergilah dulu,”
            Hani dan Iqbal tertawa sambil menggelengkan kepala. Ada-ada saja rakannya yang seorang ini.
            Hani dan Iqbal berjalan beriringan. Sepanjang perjalanan, tiada topik yang berkaitan pelajaran, kuliah dan sebarang bentuk yang melibatkan akademik. Rasanya sudah tepu otak mereka dengan semua itu. Jadi, hanya bicara-bicara santai yang mengisi perbualan mereka sepanjang perjalanan.
            “Hani, kau pergilah café dulu. Aku ingat nak pergi koperasi sekejap,” ujar Iqbal apabila mereka tiba di simpang yang memisahkan antara kafeteria dan juga koperasi.
            “Hmmm..okaylah,” balas Hani.
            Hani dan Iqbal berbalas senyum. Baru saja Hani hendak melangkah tiba-tiba seorang pemuda menghalang laluannya. Hani menjerit kecil kerana terperanjat.
            Hani lega apabila pemuda yng berdiri tegak di hadapannya itu adalah Tuah Iskandar. Pemuda itu selalu begini. Muncul tiba-tiba dan membuatkan dia terperanjat. Nasib baiklah dia tiada sakit jantung. Kalau tidak, tak sempatlah dia membalas cinta Tuah Iskandar.
            Hani sempat mengerling ke arah Iqbal. Dia ingin memastikan yang Iqbal betul-betul sudah hilang dari pandangan. Bimbang juga kalau-kalau Tuah Iskandar terlihat dia dan Iqbal sebentar tadi. Pasti pemuda itu akan memberi amaran kepadanya seperti amaran yang pernah diberikan kepadanya apabila berjalan bersama Iqbal suatu ketika dulu.
            “Petang ni ikut aku,” suara garau Tuah Iskandar memecah kesunyian antara mereka.
            “Pergi mana?” tanya Hani dengan dahi yang berkerut.
            “Aku tunggu kat stesyen LRT pukul dua petang,”
            “Tapi…”
            Belum sepat Hani menghabiskan kata-katanya, Tuah Iskandar terus berlalu.
            Apalah mamat ni. Suka-suka suruh aku ikut dia. Aku tak bagi jawapan lagi, dia dah buatkan keputusan untuk aku. Aku betul-betul tak faham dengan sikap dia ni. Sekejap dia baik, sekejap dia sombong. Kadang-kadang dia bersikap aneh. Agaknya, gangster memang macam ni ke perangainya?
            Sempat Hani bermonolog sendirian memikirkan sikap Tuah Iskandar. Sebenarnya, Hani gembira bertemu Tuah Iskandar hari itu. Hani gembira apabila Tuah Iskandar mengajak dia keluar tetapi dia tidak gemar dengan cara Tuah Iskandar. Seolah-olah pemuda itu sedang menguasai dirinya. Bertindak sesuka hati tanpa memberi peluang dia bersuara.
            Huh!
            Hani mengeluh seketika.
                                                                                    **********
            Hani memakai jeans biru, T-shirt berwarna merah jambu serta selendang bercorak yang sepadan dengan warna bajunya. Wajahnya yang bersih dari jerawat hanya disapu solekan yang tipis sahaja. Lip bum berwarna merah jambu dicalit sedikit di bibirnya. Semuanya serba ringkas.
            “Kau nak ke mana ni, Hani?” tanya Julia sambil berguling-guling di atas katilnya. Syasya yang turut berada di atas katil Julia turut berbaring di situ.
            “Kan aku dah cakap tadi, aku nak keluar dengan kawan aku,”
            “Kawan kau?”
            “Budak sekolah menengah. Baru semalam terjumpa kat Facebook,”
            “Boyfriend ya?”
            “Girlfriend,”
            Aduh, tolong jangan tanya lagi kerana dia sudah tidak sanggup hendak berbohong dan terus berbohong. Namun, dia terpaksa melakukannya. Tak mungkin dia akan beritahu Julia dan Syasya perkara yang sebenar. Tak mungkin dia akan memberitahu rakan-rakannya yang dia akan keluar dengan Tuah Iskandar.
            Ketukan di pintu membuatkan ketiga-tiga gadis itu menoleh ke arah pintu. Beberapa saat kemudian, kelihatan wajah Aisyah, rakan sekuliah dengan mereka muncul di balik pintu.
            “Hani,” panggil Aisyah.
            “Ya?”
            “Ada orang nak jumpa kau kat bawah,”
            “Nak jumpa aku? Siapa?”
            “Manalah aku tahu. Pakwe kau kot,”
            “Pakwe?”
            “Hani, hensemnya pakwe kau,”
            Hani menoleh ke arah Julia dan Syasya. Kelihatan kedua rakannya itu sedang memandang ke arahnya bagaikan meminta penjelasan. Aisyah yang masih menjengah muka di balik pintu tersenyum-senyum.
            “Hmm..okay. Nanti aku turun. Terima kasih ya, Aisyah,”
            “Okay, tak ada masalah,”
            Julia dan Syasya terus merenung Hani sebaik saja Aisyah beredar.
            “Entah –entah secret admirer kau tak?” teka Syasya.
            “Tak mungkinlah,”
            “Mana kau tahu?”
            Hani terdiam. Tak mungkin Tuah Iskandar yang menunggu dia di bawah. Jika Tuah Iskandar, tentu Aisyah kenal. Lagipun Tuah Iskandar tak mungkin akan munculkan diri dengan mempamerkan diri kepada semua orang.
            Kalau begitu…siapa ya?
                                                                        **********
            “Abang,” terkejut Hani apabila melihat Halim yang sedang menunggunya di bawah bukit. Tidak terfikir langsung yang Halim akan datang. Halim yang memakai baju T-shirt polo hitam beserta seluar jeans kelihatan segak sekali.
            “Hai, Hani. Apa khabar?” sapa Halim dengan senyuman di wajahnya.
            “Erk..Hani sihat. Abang?”
            “Al-Hamdulillah. Abang sihat,”
            Hani tersenyum tawar. Matanya melirik ke kiri dan ke kanan. Bimbang benar kalau-kalau Tuah Iskandar sedang memerhatikannya. Ah, kenapa dia perlu takutkan pemuda itu? Dia berhak berkawan dengan sesiapa pun dan Tuah Iskandar tiada hak untuk menghalang.
            “Kenapa abang datang tak beritahu Hani?”
            “Saja nak buat surprise,”
            Hani tersenyum.
            “Hani free tak? Boleh kita keluar?”
            Alamak! Kenapalah Abang Halim datang waktu-waktu begini. Dia sudah berjanji dengan Tuah Iskandar. Hendak menolak, kasihan pula Abang Halim sudah datang penat-penat tetapi…salah dia juga. Siapa suruh datang tak beritahu?
            “Erk..maaf abang. Hani dah janji dengan kawan nak keluar sekejap lagi,”
            “Oh ya ke?”
            “Itulah abang. Lain kali datang, telefonlah Hani dulu. Tengok ni, kesian abang. Abang datang tapi Hani tak free pula,” pujuk Hani untuk menjaga hati Halim.
            “Eh, tak mengapa. Mungkin tak ada rezeki abang keluar dengan Hani hari ni,”
            “Maaf,”
            “Kenapa Hani nak minta maaf. Hani bukannya salah apa-apapun,”
            Hani tersenyum lagi.
            “So, bila Hani nak keluar?”
            “Sekejap lagi,”
            “Nak ke mana?”
            “Erk…ke..ke..ke bandar,”
            “Kalau macam tu biar abang hantar Hani dengan kawan-kawan Hani ke bandar. Tak payahlah naik LRT,”
            “Eh, tak payahlah abang. Roomate Hani tu ada kereta,”
            “Oh, ya ke. Kalau macam tu, abang balik dululah. Jaga diri baik-baik ya,”
            Perbualan di antara Hani dan Halim tamat di situ. Sebaik saja kereta milik Halim hilang dari pandangan, Hani cepat-cepat kembali semula ke bilik untuk mengambil beg tangannya. Jam tangan dilirik.
            ‘Alamak! Dah lambat!’
                                                                        **********
            Sampai saja di stesyen LRT, Hani sudah terlihat Tuah Iskandar sedang berdiri di satu sudut sambil memeluk tubuh. Kelihatan beberapa orang pelajar kolej turut berada di situ, menanti LRT untuk ke bandar. Ada di antara mereka mengintai-intai Tuah Iskandar dari jauh sambil berbisik sesama sendiri dan kemudian tersenyum-senyum. Hani mengetap bibirnya. Cemburu barangkali.
             Hani mengambil keputusan untuk duduk di kerusi yang di sediakan, jauh dari Tuah Iskandar. Tak mungkin dia akan pergi ke arah Tuah Iskandar dan menggedik-gedik menunjukkan hubungan mereka lantaran tiada siapa yang mengetahui kisah mereka. Diam sajalah dan pergi saja ke mana Tuah Iskandar suruh.
            Orang ramai berpusu-pusu menaiki LRT sebaik saja kenderaan itu tiba. Hani mengerling ke arah Tuah Iskandar. Keihatan pemuda itu masih di tempat asalnya. Hani buat tak tahu saja dan terus menuju ke dalam LRT dan mengambil tempat duduk. Mujur gerabak yang dinaikinya itu tidak ramai orang. Masih banyak lagi tempat kosong untuk diduduki.
            Beberapa saat sebelum pintu tren tertutup, Tuah Iskandar melangkah masuk lalu duduk di sebelah Hani. Hati Hani tiba-tiba berdebar. Jantungnya berdegup kencang. Namun dia pura-pura berlagak selamba apatah lagi ada beberapa pasang mata sedang memerhatikan Tuah Iskandar.
            Perjalanan hanya mengambil masa 20 minit. Sampai saja ke destinasi, Hani terus turun. Begitu juga dengan Tuah Iskandar. Keluar saja dari kawasan LRT tersebut, Tuah Iskandar menghampiri Hani.
            “Ikut aku,” arah Tuah Iskandar bagaikan pegawai polis yang berpangkat besar.
            Hani tersenyum sinis. Sekarang baru berani tegur? Mentang-mentanglah budak kolej dah tak ada..huh!
            “Nak ke mana?”
            “Ikut saja,”
            “Saya tak kan ikut kalau awak tak beritahu,” ujar Hani sambil memberhentikan langkahnya. Langkah Tuah Iskandar turut terhenti. Dia berpaling merenung Hani. Gerun juga Hani melihat pandangan Tuah Iskandar itu.
            “Saya tak nak ikut awak kalau awak tak beritahu ke mana kita nak pergi,” Hani memberanikan diri mengulang ayatnya sebentar tadi meskipun pandangan Tuah Iskandar membuatkan dia kecut perut.
            “Boleh jangan banyak tanya tak?”
            “Macam mana saya tak banyak tanya. Awak nak bawak saya ke mana pun saya tak tahu,”
            “Dah sampai nanti kau akan tahu,”
            “Saya nak tahu sekarang,”
            Tuah Iskandar diam membuatkan Hani petah berbicara mempertahankan hujah-hujahnya.
            “Iyalah, mana tahu kalau-kalau awak nak culik saya ke,”
            “Aku takkan buat perkara tu pada orang yang aku sayang,”
            Terus terdiam Hani apabila mendengar kata-kata Tuah Iskandar. Mulutnya yang petah berbicara sebentar tadi bagaikan digam. Dia tergamam mendengar pengakuan Tuah Iskandar.
            Sayang? Akukah orang yang disayangi Tuah Iskandar?

10 ulasan:

  1. Balasan
    1. nurr bayu..terima kasih..nanti ikuti tau..:)

      Padam
  2. amboi..dh pndai nk lawan tuah dah..

    BalasPadam
    Balasan
    1. aisyah..hani berani sebab dia confiden Tuah sayang dia..hehe..:)

      Padam
  3. Sayang???? Brutal nye cara penyampaian tp saya suke sgt character cam ni

    BalasPadam
    Balasan
    1. fara...cara gangster macam tu kot..hehe

      Padam
    2. Teringat masa hubby ajak kawen 10yrs ago..."Awk suka ke tak suka ke...tetap kne kawen ngan saya"...brutal sungguh! Pdhal baru sebulan je kenal

      Padam
    3. fara...tu romantic cara gangster tu..hehe...boleh wat novel..:)

      Padam