KERANA AKU SAYANG KAU (BAB 10)
BAB 10
Hani menutup buku Mikrobiologi
Asas. Nota-nota yang telah dibuat semasa perbincangan berkumpulan tadi disimpan
kemas di dalam fail. Malam ini dia ada tugasan. Isi-isi perbincangan di dalam
kumpulan yang seramai lapan orang itu perlu dikemaskini kan untuk perbentangan
pada minggu depan.
“Huh, banyaknya
kerja.”
Sempat Hani
mengeluh. Itu baru subjek Mikrobiologi, belum masuk kerja-kerja subjek-subjek
lain. Bertimbun kerja-kerja yang masih belum disiapkan. Nampaknya, malam ini
dia tidak boleh keluar ke mana-mana melainkan duduk di meja sambil menyiapkan
semua tugasan yang diberi.
Nampaknya, bukan
mudah untuk menjadi seorang doktor.
“Hani, kau tunggu
siapa?” suara Iqbal, rakan sekumpulannya menegurnya.
“Eh, tak tunggu
sesiapa. Aku nak baliklah ni,” ujar Hani sambil mengangkat fail dan
buku-bukunya.
“Terus balik?” tanya
Iqbal lagi.
“Aku singgah cafe. Julia dan Syasya ada tunggu kat sana,”
“Kalau macam tu,
jomlah jalan sekali. Aku pun nak pergi cafe
ni. Perut dah lapar,”
“Oh, baguslah macam
tu. Adalah juga bodygourd untuk aku,”
usik Hani sambil tertawa kecil.
Iqbal yang terkenal
dengan ramahnya turut tertawa dan kemudian mereka berjalan beriringan menuju ke
kafeteria. Sambil berjalan, mereka
berbual. Masih lagi berkisarkan tugasan-tugasan yang diberi oleh
pensyarah. Sesekali di selang seli dengan gelak tawa. Iqbal memang pandai
membuat lawak.
“Berborak dengan
kau ni rasa macam sekejap saje. Tak sedar dah sampai café,” ujar Hani apabila kaki mereka sudah melangkah ke dalam kafeteria
yang agak lengang petang itu.
“Iyalah. Tak sedar
dah sampai. Okaylah Hani, aku nak tapau ni. Tu, kawan-kawan kau dah tunggu tu,”
Hani mengerling
seketika ke arah Julia dan Syasya yang sedang menunggu.
“Okay,” Hani
membalas senyuman Iqbal sebelum pemuda itu menuju ke kaunter makanan.
**********
Aduh, penatnya.
Kalau aku tahu pad dah habis kat
koperasi, tak payahlah aku susah-susah mendaki bukit untuk pergi ke koperasi.
Koperasi ni pun satu, dah tahu benda tu begitu penting bagi seorang perempuan,
kenapalah biarkan stok sampai habis. Tak guna betul. Terpaksalah aku pinjam
benda tu kat Julia atau Syasya. Mintak-mintaklah dia orang ada stok banyak. Kalau
tak, tak tahu mana aku nak cari benda tu.
Hani
mengomel-ngomel sendirian. Penat mendaki bukit ke koperasi seakan tidak
berbaloi apabila tuala wanita yang hendak dibelinya tiada stok. Hendak marah
pun tak guna. Senyap adalah jalan yang terbaik di samping mencari jalan
penyelesaian.
Hani menarik nafas lega sebaik sahaja melihat
Julia dan Syasya berada di atas katilnya. Serta merta dia duduk berhadapan
dengan rakan-rakannya itu dengan muka kasihan, memohon simpati.
“Kau orang, aku nak
mintak tolong,”
“Tolong apa?”
“Aku nak pinjam pad. Kat koperasi, boleh habis pulak.
Tak guna betul. Dah tau stok tu laku keras, kenapa tak beli banyak-banyak,”
Hani mula membebel menunjukkan ketidak puas
hatinya sejak tadi.
“Hani, aku tak
kisah kau nak pinjam berapa. Kalau kau nak sepuluh pun aku boleh bagi,” ujar
Julia.
“Betul ke? Wah,
terima kasih Ju,”
“Tapi..”
“Tapi apa?”
“Aku dah tolong
kau, kau kena tolong aku pula,”
“Tolong apa?”
Aduh! Ini yang
susah. Ada ke memberi pertolongan dengan mengharapkan balasan. Tak ikhlas
betullah si Julia ni.
“Tolong jawab apa
makna semua ini?”
Serentak Julia dan
Syasya bangun. Mata Hani tertumpu pada satu objek di atas katilnya. Dahinya
berkerut.
“Bunga?” tanya Hani
hairan.
“Ya, itu bunga.
Takkan kau tak kenal bunga?”
“Siapa punya
bunga?”
“Kalau dah kat
dalam bilik kau, atas katil kau lagi, dah tentulah kau yang punya,”
“Macam mana bunga
tu boleh ada kat katil aku?”
“Ha, itulah yang
aku nak tahu. Kenapa bunga ini ada kat katil kau?”
Hani terdiam.
Matanya menoleh ke arah Julia dan Syasya silih berganti. Dan kemudian, tertumpu
kembali pada tiga kuntum bunga ros merah yang dibalut kemas dengan plastik
bercorak. Cantik!
“Hani, baik kau
cakap dengan kita orang, siapa bagi bunga ni kat kau?” tanya Julia yang sudah
duduk di sebelahnya dengan nada merayu. Dia betul-betul hendak tahu siapa si
pengirim bunga itu. Dari tadi Julia dan Syasya berteka teki tentang si pengirim
bunga itu sambil menunggu kepulangan Hani.
“Hani, kau tak
beritahu kita orang pun kau dah ada pakwe,” ujar Syasya pula sambil tangannya
memegang lengan Hani. Ada nada rajuk pada suara Syasya.
“Hani, beritahulah.
Siapa boyfriend kau,” rengek
kedua-dua sahabatnya itu.
“Sekejap..sekejap..,”
Hani cuba mententeramkan rakan-rakannya yang menggesa dia memberitahu siapa pengirim
bunga itu. Apa yang hendak dia beritahu sedangkan dia sendiri tidak tahu siapa
pengirimnya.
“Aku pun tak tahu
siapa yang bagi,” ujar Hani jujur.
“Takkan kau tak
tahu, Hani?”
“Betul, aku tak
tahu,”
“Kalau macam tu,
bunga ni mesti dari secret admirer
kau. Orang yang meminati kau dalam diam,”
“Wah bestnya ada secret admirer,”
Aduh! Rimas pula
Hani dengan perangai kebudak-budakkan rakan-rakannya itu. Dalam sibuk
memikirkan pengirim bunga itu, Hani terpandangkan sekeping kad kecil yang
terselit di celah-celah bunga itu. Pantas dia mengambilnya lalu membukanya.
Hani…Aku…
Tiada sebarang
ucapan. Tiada sebaris kata-kata. Hanya tertera namanya di bahagian atas kad dan
‘Aku’ di bahagian bawah kad. Memang bunga itu untuknya dan si pengirimnya
adalah ‘Aku’.
“Aku nak kau jadi
awek aku.”
Aku? Tiba-tiba Hani
rasa sesak nafas.
Mungkinkah dia?
**********
“Okay Hani. Jumpa
esok kat kuliah,” ujar Iqbal sambil melambai-lambaikan tangannya.
Hani tersenyum
sambil turut membalas lambaian pemuda itu sebelum mereka berpisah menuju ke
asrama masing-masing.
Dalam melangkah,
Hani sempat melirik jam di tangannya. Sudah pukul sebelas malam. Agak lewat
dari biasa perbincangan berkumpulan mereka malam itu. Maklumlah, malam itu
merupakan perbincangan terakhir bagi topik yang diberi kerana esok mereka akan
membuat perbentangan di dalam kuliah. Jadi, segala kekusutan dan persoalan
perlu mereka bincang bersama kerana selain perbentangan, mereka perlu menjawab
soalan-soalan daripada pelajar-pelajar lain mahu pun pensyarah sendiri. Dan
yang lebih penting, markah hasil kerja mereka turut diambil peratus dalam
markah akhir tahun nanti.
Baru saja mindanya
hendak meneroka pada kemungkinan-kemungkinan soalan yang bakal diutarakan pada
keesokkan harinya, tiba-tiba jalannya dihalang. Tersentak Hani melihat seorang
lelaki berdiri tegak di hadapannya. Kerana bimbang entah siapa yang ingin
membuat jahat, dia ingin melangkah melarikan diri dari sebarang bahaya namun,
apabila melihat wajah pemuda itu, langkahnya tidak menjadi. Sebaliknya, dia
berhadapan dengan pemuda itu. Entah kenapa ketakutan yang kerap bersarang
dahulu dalam dirinya setiap kali bertemu pemuda itu sudah tidak sehebat dulu.
Meskipun masih ada lagi perasaan takut dan gerun, namun dia sudah boleh
bersemuka dengan lelaki itu. Dia sudah boleh bertentang mata dengan pemuda itu.
Satu perubahan yang baik!
“Kenapa?” Hani
memberanikan diri untuk bertanya. Kemunculan Tuah Iskandar yang tiba-tiba tidak
sedikit pun menghairankan Hani kerana pemuda itu memang begitu. Muncul di mana-mana
saja ikut suka hatinya. Namun, sebab kemunculan pemuda itu kali ini yang
menghairankan. Kenapa? Untuk apa bertemu dengannya pada malam-malam buta ni?
“Aku dah cakap aku
tak suka kau buat apa yang aku tak suka,” keras suara Tuah Iskandar memberikan
peringatan.
“Apa yang saya dah
buat?”
“Aku tak suka kau
rapat dengan lelaki lain,”
Hani mengerutkan
dahinya.
“Mana ada saya rapat
dengan lelaki?”
Dalam menjawab
kata-kata Tuah Iskandar, fikiran Hani sempat memikirkan maksud kata-kata pemuda
itu. Siapa lelaki yang dia maksudkan? Tiba-tiba Hani teringatkan Iqbal. Pasti
orang yang Tuah Iskandar maksudkan adalah Iqbal kerana dia dan Iqbal pernah
terserempak dengan Tuah Iskandar tempohari.
“Maksud awak, Iqbal?”
Diam.
“Kalau Iqbal yang
awak maksudkan, nampaknya awak silap. Iqbal tu kawan saya. Satu kumpulan dengan
saya untuk perbentangan projek. Itu saja,”
“Aku tak nak dengar
apa-apa alasan,”
“Tapi..”
“Kau kena ingat.
Kau awek aku!”
Hani tidak mampu
berkata apa-apa. Hanya matanya mengekori langkah Tuah Iskandar sehingga hilang
dari pandangan. Buat seketika, dia hanya berdiri tegak di situ. Memikirkan apa
yang sedang berlaku.
Dari pandangan
mata, nampaknya Tuah Iskandar benar-benar mengakui status dia sebagai kekasih
pemuda itu. Tuah Iskandar bersungguh dalam hubungan mereka. Kelihatan Tuah Iskandar
tidak main-main dalam hal hati dan perasaan kerana wajah pemuda itu tadi nampak
begitu tegang. Tidak suka dia rapat dengan lelaki lain. Tuah Iskandar
benar-benar memaksudkannya.
Tetapi…bagaimana pula
dengan dirinya sendiri?
Hani cuba mengimbas
kembali apa yang terjadi beberapa minit sebelum ini. Kenapa dia bersungguh-sungguh
mempertahankan dirinya sendiri? Kenapa dia beriya-iya meyakinkan Tuah Iskandar
bahawa antara dia dengan Iqbal tiada sebarang hubungan istimewa?
Adakah dia juga
turut mengiyakan hubungan mereka?
Tidak! Dia tidak
pernah menganggap Tuah Iskandar adalah kekasihnya. Dia tidak pernah memberikan
jawapan. Hanya pemuda itu yang membuat keputusan sendiri.
Lantas, kenapa dia
bersungguh mengharapkan kepercayaan Tuah Iskandar? Adakah kerana dia takut dengan lelaki itu?
Atau kerana dia mahu menegakkan kebenaran yang sememangnya dia dan Iqbal hanya
kawan biasa? Atau dia sudah bersedia menganggap Tuah Iskandar sebagai
kekasihnya?
Ah! Semua ini karut.
Tuah Iskandar bukan sesiapa dalam diari hidupnya. Oleh kerana itu, Tuah
Iskandar tidak berhak langsung menghalang dia dari berkawan dengan sesiapa
apatah lagi untuk mengatur hidupnya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan