KERANA AKU SAYANG KAU (BAB 6)
BAB 6
Suasana di kelab
malam itu hingar bingar. Lagu yang membingitkan telinga menjadi makanan buat
pengunjung-pengunjung malam itu. Sebahagian daripada mereka turut menyanyi dan
menari di tengah pentas. Baik lelaki mahupun perempuan, masing-masing hanyut di
dalam dunia yang mereka cipta sendiri. Asyik dan melalaikan.
Di satu sudut, dia
duduk berseorangan. Termenung sambil memerhati ragam manusia malam itu.
Sesekali ada gadis-gadis seksi yang datang menghampiri. Gadis-gadis yang
kelihatan manja dan menggoda mengajak menari dan ada juga yang ingin menemani.
Namun, dia menolak dengan baik. Saat itu, dia ingin bersendirian. Tidak mahu diganggu
sesiapapun.
Tuah Iskandar
menarik nafas dalam-dalam dan kemudian menghembusnya keluar. Satu keluhan dilepaskan.
Untuk apa dan kenapa, dia sendiri tidak pasti kerana terlalu banyak sebab yang
menyebabkan dia mengeluh.
Salah satu daripadanya
adalah berkaitan kehidupan yang sedang dia lalui. Kehidupan yang sungguh
mengecewakan. Tiada senyuman, tiada bahagia. Yang ada hanya kesunyian dan
penderitaan. Benar kata Zulkifli, dia tidak perlu merosakkan diri hanya untuk
membalas dendam kepada orang tuanya. Dia sepatutnya mencari bahagia sendiri
tetapi..di mana hendak dicari semua itu? Kalaulah kebahagian itu ada dijual di
kedai, pasti dialah orang pertama yang akan membelinya.
Dia tidak tahu ke
mana arah tuju hidupnya. Untuk apa dia hidup? Apakah matlamat sebuah kehidupan?
Ke mana hala tuju dia selepas ini? Apa yang hendak dibuat dengan masa yang
beransur-ansur meninggalkannya?
Semua soalan terus
terbiar tanpa jawapan.
Sekali lagi Tuah Iskandar
mengeluh. Keluhan yang berat dilepaskan beserta beban yang berat dipikul.
“Hai Tuah,” terasa
bahunya disentuh seseorang. Tuah Iskandar tidak berpaling kerana dia begitu mengenali
suara yang menyapanya itu.
“Seorang?” tanya
Lilia sambil melabuhkan punggungnya di sebelah Tuah Iskandar. Sengaja dia
mendekatkan jarak di antara mereka sehinggakan badannya bergesel dengan lengan
sasa Tuah Iskandar.
Tuah Iskandar tidak
menjawab sebaliknya membetulkan kedudukannya sedikit menjauhi Lilia.
“Kenapa kau tak join yang lain?” tanya Lilia dengan
suara yang gedik dan manja.
Tuah Iskandar diam
lagi.
“Hei, kenapa dengan
kau ni? Orang lain datang ke sini untuk enjoy.
Make our own world. Bukannya nak
duduk termenung dengan muka masam macam ni,” ujar Lilia sambil menarik tangan
Tuah Iskandar.
Tuah Iskandar
melirik gadis di sebelahnya. Sedikitpun tidak tersenyum meskipun Lilia begitu
murah dengan senyuman.
“Come on Tuah. Don’t be like this. Enjoy your life,” pujuk Lilia sambil mengelus
lembut tangan Tuah Iskandar.
Tuah Iskandar
mengeluh.
“Apa sebenarnya
yang kau fikirkan, Tuah? Apa sebenarnya yang kau cari?”
“Aku cari
kebahagiaan. Aku cari kegembiraan,”
“Yes. So, this is the place. Ini tempat
yang kau boleh temui semua tu,”
“Tapi aku tak temui
semua tu di sini,”
“Kau tahu kenapa
kau tak temui kegembiraan di sini?”
Tuah Iskandar
menoleh sekali lagi ke arah Lilia. Dia merenung gadis itu meminta jawapan.
“Sebab kau tak mengambil
kesempatan yang ada. Kau dah masuk ke sini tapi kau masih duduk berseorangan.
Cubalah kau bergaul dengan orang lain. Tu,di sana geng-geng Kojek sedang bersukaria.
Mereka gembira di sini. Pergilah sertai mereka.”
Tuah Iskandar diam
seketika. Berfikir dan cuba mencari kebenaran di atas kata-kata Lilia. Namun,
tidak lama kemudian, dia menggeleng.
“No, bukan itu caranya,”
“Yes, inilah caranya. Kau tak nampak
mereka semua happy?”
“Kegembiraan di
sini hanya seketika. Aku tak mahu yang itu,” pantas Tuah Iskandar menarik
tangannya lalu bangun dari duduknya. Lilia turut bangun. Pantas tangan Tuah
Iskandar dipaut.
“Tuah,”
“Stop Lilia. Aku nak balik,”
“Kalau macam tu,
boleh tolong hantar aku balik?”
Tuah Iskandar
merenung Lilia. Ternyata gadis itu tidak pernah berputus asa untuk mendekati
dirinya.
“Esok aku ada
kuliah. Kalau nak tunggu Rissa dan Tini, lambatlah aku balik nanti. Terpaksa
ponteng kuliah pula,” alasan yang sengaja dicipta Lilia untuk mendekati Tuah
Iskandar.
Tuah Iskandar
mengeluh dan akhirnya membenarkan Lilia membonceng motosikalnya. Dan sekali
lagi Lilia tersenyum gembira. Tubuh Tuah Iskandar dipeluk erat dan akhirnya
motosikal milik Tuah Iskandar membelah kepekatan malam itu.
**********
Tuah Iskandar
memberhentikan motosikalnya di bahu jalan apabila dipinta Lilia. Berhenti saja
motosikal tersebut, Lilia terus turun sambil menanggalkan topi keledar yang
dipakainya. Dia kemudian berjalan sambil mendepakan tangannya. Menghirup udara
malam yang segar membuatkan dia rasa begitu selesa.
Tuah Iskandar hanya
memerhatikan sikap Lilia sambil mengerutkan dahinya.
“Kenapa suruh aku
berhenti di sini?”
Lilia menoleh ke
belakang, menghadap Tuah Iskandar. Dengan senyuman yang manis dia menghampiri
pemuda itu.
“Saja,” ujar Lilia
ringkas.
“Jangan main-main. Sekarang
dah lewat. Esok kan ada kuliah,”
“Ya, aku tahu.
Sekejap saja bolehkan?”
“Kau nak apa
sebenarnya?”
“Saja nak berbual
dengan kau. Dah lama tak berduaan dengan kau macam ini, Tuah,”
“Tak de apa yang
nak dibualkan. Cepat naik. Aku hantar kau balik,”
“Tuah, kenapa kau
ni sombong sangat? Aku layan kau dengan baik. Aku cuba buat kau happy,”
“Aku tak perlukan
semua itu,”
“Tapi, kenapa kau tak beri aku peluang langsung untuk
buat kau gembira?”
Tuah Iskandar diam.
“Tuah, please bagi aku peluang…”
“Stop it, Lilia. Aku dah beritahu kau
dari dulu lagi. Friend or nothing,”
Lilia mengeluh.
Sukar benar untuk dia mengubah pendirian Tuah Iskandar. Sudah lama dia memendam
perasaan terhadap pemuda itu namun, Tuah Iskandar tidak pernah melayannya.
Pernah dia meluahkan isi hatinya tetapi Tuah Iskandar menjawab dengan satu
ayat. Kawan atau tiada apa-apa langsung. Kejamnya!
Jadi, dengan tidak
ikhlasnya dia memilih untuk berkawan. Itu lebih elok dari tiada apa-apa
langsung. Sekurang-kurangnya, dengan berkawan dia masih boleh mendekati pemuda
itu. Dia masih ada peluang untuk mencuri hati Tuah Iskandar.
“Okay. aku tahu dan
aku masih ingat semua tu. Tapi, sebagai kawan, aku nak buat kau gembira.
Salahkah?”
Tuah Iskandar tidak
menjawab.
“Tuah, beri aku
satu peluang,”
“Maaf, aku tak
berminat,”
Lilia merenung
pemuda di hadapannya itu. Terasa hampa apabila permintaannya ditolak seratus-peratus
tanpa berfikir dahulu.
Tuah, kawan itu
hanya sebagai syarat untuk aku terus mendampingi kau. Tapi, aku tak akan
biarkan kau lepas pada orang lain. Aku akan pastikan kau akan jadi milik aku
nanti.
“Cepat naik kalau
tak aku tinggalkan kau kat sini,”
Lilia akhirnya
mengalah.
**********
Tuah Iskandar
memetik suiz lampu tidur bersebelahan dengan katilnya. Kemudian, dia merebahkan
diri di atas katil. Terasa enak sekali berbaring atas tilam yang empuk. Tuah
Iskandar menutup mata. Cuba untuk menikmati kedinginan malam itu.
Dia membuka matanya
semula. Dalam gelap yang hanya bercahayakan lampu tidur, dia teringatkan
seseorang. Gadis bertudung itu. Satu fakulti dengan Zulkifli. Juga satu kuliah
dengan rakannya itu.
Pada mulanya dia
amat marah dengan gadis itu. Walaupun pada hakikatnya dia yang melanggar gadis
itu tetapi kata-kata sindiran gadis itu membuatkan dia tidak senang. Tidak
pernah sesiapapun yang berani menyindir Tuah Iskandar namun, gadis itu telah
melakukannya. Gadis itu berani menyindir Tuah Iskandar. Namun, pada saat itu
dia tidak mampu berbicara. Dia merenung gadis itu. Ada sesuatu pada wajah gadis
bertudung itu yang membuatkan dia tidak jadi marah.
Dia mengekori gadis
itu. Cuba mencari identiti gadis itu. Siapa sebenarnya gadis itu? Fakulti mana?
Namun, pengamatannya jauh berbeza dengan apa yang telah berlaku. Gadis itu
kelihatan cuba mengelak daripada tertembung dirinya. Gadis itu kelihatan takut,
tidak seperti di awal pertemuan. Kenapa? Adakah dia sudah tahu dengan nama Tuah
Iskandar?
Namun persoalan itu
di biarkan saja dan dia terus memerhatikan gadis itu.
Tiada banyak yang
dia tahu melainkan namanya…Hani
“Aku suka kau. Aku
nak kau jadi awek aku,”
Kelihatan gadis itu
terperanjat mendengar apa yang telah diucapkan. Ya, memang patut gadis tu
memberi reaksi sedemikian. Mana tidaknya, mereka tidak pernah bertemu,
berkenalan pun tidak. Tiba-tiba saja Tuah Iskandar meluahkan perasaan. Walaupun
dengan cara agak kasar dan lari dari landasan yang sebenar, namun dia ikhlas.
Tuah Iskandar jatuh cinta?
Sukar untuk di percayai.
Lelaki seperti Tuah Iskandar yang selama ini bagaikan tidak memerlukan seorang
wanita dalam hidupnya akhirnya jatuh cinta pada seorang gadis? Lebih-lebih lagi
gadis bertudung?
Tetapi bagi Tuah
Iskandar, dia memang betul-betul menyukai gadis itu. Jangan tanyakan kenapa
kerana dia tidak ada jawapannya. Yang dia tahu, tidak perlu ada sebab untuk
menyukai seseorang. Tetapi, kenapa gadis itu?
Selama ini,
berderet gadis yang mengejar Tuah Iskandar. Petik jari, pasti ramai yang
sudikan diri. Semuanya seksi-seksi, cantik-cantik, putih gebu, manja…namun,
gadis bertudung itu juga pilihan Tuah Iskandar. Gadis yang biasa saja gayanya
namun comel di mata Tuah Iskandar.
Ada sesuatu pada
gadis itu yang berjaya membuka hati seorang gangster.
Namun, bagaimana
penerimaan gadis itu terhadap perasaannya?
Tuah Iskandar
mengeluh.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan