Jumaat, 10 Julai 2015

BIAR SAMPAI SYURGA (BAB 1)

BIAR SAMPAI SYURGA (BAB 1)


BAB 1


            Cuaca malam itu agak dingin. Hujan renyai yang baru berhenti beberapa ketika menjadikan suasana agak suram, di tambah lagi dengan lecak hujan yang memenuhi kawasan jalan menjadikan Taman Sirna tidak ramai pengunjung seperti selalu.
            Dari kejauhan, kelihatan seorang gadis berdiri tegak sambil memerhatikan air tasik yang samar-samar kelihatan. Tasik yang tenang itu menjadikan dia cemburu. Kenapa dia tidak boleh setenang air di tasik itu? Kenapa mesti ketenangan dia diragut oleh orang yang amat dia sayang?
            ‘Nuar’
            Satu nama meniti di bibirnya. Serentak itu air matanya jatuh membasahi pipi. Masih terngiang-ngiang saat Anuar melafazkan kata cinta buat kali pertama dua tahun yang lalu.
            “Aira, saya sayang awak. Sudi awak jadi kekasih saya?”
            Saat itu dia tertunduk malu dengan senyuman menguntum di bibir. Siapa yang tidak gembira mendengar pengakuan cinta dari seorang lelaki yang dipuja dalam diam. Ternyata dia tidak bertepuk sebelah tangan. Dalam diam juga, Anuar menyimpan perasaan terhadapnya.
            Sepanjang dua tahun itu, semuanya indah-indah belaka. Menjadi kekasih kepada Anuar, dia merasakan bahawa dialah gadis yang paling bertuah di muka bumi ini. Lelaki yang punya segalanya, yang menjadi idaman gadis itu adalah kekasihnya. Sukar untuk dia percaya tetapi itulah hakikatnya.
            Tetapi itu cerita yang sudah menjadi sejarah. Baru beberapa jam lepas, Anuar menginginkan perpisahan. Saat itu, dia rasakan bagaikan halilintar yang membelah segenap ruang tubuhnya, hancur berkecai saat perpisahan diminta Anuar.
            “Aira, kita tak boleh teruskan hubungan ni lagi,”
            “Tapi kenapa?”
            “Saya rasa kita tak serasi,”
            “Setelah dua tahun baru awak nak cakap kita tak serasi?”
            Anuar diam saja sedangkan air mata Aira sudah merembes laju.
            “Saya lakukan ini untuk kebaikan awak, Aira,”
            “Kebaikan saya atau awak?”
            Anuar diam lagi. Wajahnya tunduk saja. Sungguh dia tidak tahu apa yang bermain di fikiran Anuar. Malah sehingga kini dia tidak tahu kenapa Anuar ingin memutuskan hubungan mereka.
            “Apa salah saya, Nuar?”
            “Awak tak salah apa-apa, Aira,”
            “Kalau macam tu, kenapa nak tinggalkan saya?”
            “Awak terlalu baik untuk saya,”
            Dia ditinggalkan hanya kerana dia terlalu baik? Penipu! Pembohong! Itu semua hanya alasan yang dicipta.
            “Jadi, awak mahu saya jadi jahat?”
            “Bukan macam tu, Aira,”
            “Jadi, macam mana?”
            Buat sekian kalinya Anuar terdiam. Dari raut wajah Anuar, dia tahu pemuda itu sengaja mencipta alasan demi alasan untuk menamatkan hubungan mereka sedangkan hakikat yang sebenar, cuba disorokkan.
            “Nuar, awak tahukan saya sayangkan awak?”
            Anuar tidak memberikan tindakbalas. Tidak seperti selalu. Saat dia lafazkan sayang, Anuar pasti mengangguk dan tersenyum sebelum membalas ungkapan cinta. Tetapi kali ini pemuda itu diam saja. Diam Anuar membuatkan hatinya benar-benar menangis.
            “Sekurang-kurangnya beritahu saya apa salah saya?”
            “Anggap saja kita tiada jodoh,”
            “Begitu mudah?”
            Dan Anuar terus mendiamkan diri.



            Hati dia benar-benar hancur. Sungguh dia amat menyayangi Anuar. Hatinya sudah diserahkan sepenuhnya untuk pemuda itu. Malah dia sudah berangan-angan untuk membina istana bersama Anuar. Berkahwin dengan pemuda itu dan memperolehi anak-anak yang comel.
            Dan dalam sekelip mata anggannya musnah.
            ‘Nuar, kenapa buat Aira macam ni?’
            Dia berbicara sendiri. Sememangnya dia tidak dapat menerima yang dia bukan lagi kekasih kepada Anuar sejak lima jam yang lalu. Meskipun puas dia memujuk Anuar agar memikirkan semula kata-kata itu namun, Anuar tetap berkeras. Tetap juga inginkan perpisahan.
            Sejak tadi air matanya tidak henti-henti mengalir. Biarlah apa yang Anuar ingin katakan, dia tidak kisah. Dia benar-benar sedih. Dia benar-benar tidak mampu melepaskan Anuar. Dia rasa seperti mahu mati saja tatkala ini. Dia mahu lenyap dari muka bumi ini. Hanya dengan cara itu saja dia boleh melupakan pemuda yang amat dia sayang.
            Air tasik yang tenang, dipandang lama. Entah apa yang merasuk fikirannya saat itu sehingga dia tidak boleh berfikir dengan baik. Perpisahan dengan Anuar benar-benar menjadikan dia manusia yang tidak waras. Manusia yang mengambil jalan mudah untuk selesaikan masalah sedangkan dia tahu Tuhan itu ada.
            Tetapi…
            Buat beberapa ketika dia terlupa akan Penciptanya.
            Dan fikirannya mula memikirkan jalan penyelesaian kepada kesedihan yang dia alami.
            “Alangkah bagusnya andai aku dapat bergabung dengan ketenangan air tasik ini,”
            Kakinya mula melangkah menuju ke arah jambatan. Perlahan dia memanjat jambatan kayu itu dengan perasaan yang kosong, sekosong hatinya tatkala itu.
            Beberapa saat saja dia sudah berdiri di atas jambatan. Air tasik yang berkocak tenang seakan melambai-lambai ke arahnya. Dia merenung tasik itu beberapa ketika.
            ‘Nuar, hidup saya kosong tanpa awak. Saya tak mahu hidup lagi,’
            Perlahan dia memejamkan mata, serentak air mata yang bergenang berjuraian jatuh membasahi pipinya.
            Aira menarik nafas dalam-dalam. Seketika menikmati udara kerana dia tahu itulah udara yang terakhir yang dapat dia hirup.
            ‘Selamat tinggal Nuar,’



            “Argh!”
            Dia menjerit saat tangannya direntap. Terhuyung hayang seketika tubuhnya sebelum jatuh di tepi jambatan. Mata yang terpejam dibuka. Bulat matanya saat terpandang seorang pemuda sedang berdiri di hadapannya.
            “Apa awak buat ni?” marah Aira apabila melihat wajah selamba pemuda yang menarik tangannya sebentar tadi.
            “Aku yang sepatutnya tanya kau soalan itu,” jawab pemuda itu dengan nada perlahan namun cukup tegas.
            “Bukan urusan awak,” marah Aira lalu cuba bangkit. Terasa punggungnya sakit akibat terhentak ketika jatuh tadi.
            Tanpa memperdulikan pemuda itu, Aira kembali menghampiri tepi jambatan berkayu itu. Dia sudah tidak peduli. Dia mahu ‘pergi’. Pergi jauh dari dunia ini. Biar Anuar menyesal meninggalkan dia.
            Namun, sekali lagi tangannya pantas dicapai pemuda bertubuh sasa itu. Segera Aira menoleh.
            “Lepaskan saya,” jerit Aira dengan air matanya terus-terusan keluar.
            “Kau tak boleh lakukan ini,” jawab pemuda itu.
            “Saya kata lepaskan saya. Ini bukan urusan awak,” pekik Aira lagi.
            “Tapi apa yang kau nak buat ni salah,”
            Aira memejamkan matanya. Air mata menderu-deru keluar. Salah? Ya! Memang salah. Namun, dia tiada kekuatan untuk menghadapi kehidupan lagi. Dia tak mampu hidup tanpa pemuda yang amat dia sayang.
            Dia tak mampu!
            “Tolong jangan masuk campur urusan saya. Awak tak tahu apa yang saya alami,” balas Aira dengan nada perlahan. Esakkan kecilnya mula kedengaran.
            “Apapun yang berlaku, ini bukan penyelesaiannya,” tenang pemuda itu menjawab.
            Aira menggeleng. Dalam pada masa yang sama cuba melepaskan pegangan tangan pemuda itu. Namun, semakin dia cuba menguraikan, semakin kejap pegangan tangan kekar itu.
            “Awak tak faham!” Aira mula meninggikan suara. Marah dengan kedegilan pemuda yang tidak dikenalinya itu. Tiba-tiba saja hadir dari pelosok entah mana dan terus masuk campur urusan peribadinya.
            “Apa yang kau dapat dengan melakukan ini?”
            “Saya tak perlukan apa-apa kerana masa depan saya sudah tiada,”
            “Kau tak fikirkan orang-orang yang sayang kau?”
            Aira pantas menggeleng.
            “Tak ada siapa yang sayang saya lagi. Tak ada siapa yang pedulikan saya lagi. Biar saya mati saja. Dan awak…tolong jangan halang saya,”
            Pemuda itu diam. Wajah Aira ditenung tajam. Dalam kegelapan itu, Aira dapat melihat sinaran mata lelaki itu begitu mempersonakan.
            “Lepaskan saya. Please,” ujar Aira perlahan. Bibirnya diketap menahan marah.
            Pemuda itu masih tidak berganjak.
            “Pergi!”
            “Sekali lagi aku cakap. Jangan buat kerja bodoh begini,”
            “Siapa awak untuk berkata begitu dengan saya? Siapa awak?” herdik Aira.
            Pang!
            Aira terkedu seketika. Sesaat dia memandang pemuda itu sebelum tangannya di angkat ke pipi. Sakit!
            “Kalau tak kisahkan diri sendiri, sekurang-kurangnya fikirlah orang yang menyayangi diri kau,” ujar pemuda itu sebelum melangkah pergi.
            Aira jatuh terduduk. Saat itu dia menangis dan terus menangis. Dia sendiri tidak pasti tangisan ini untuk apa. Adakah kerana ditampar oleh pemuda yang tidak dikenali atau ditinggalkan pemuda yang amat disayangi.
            Atau kedua-duanya bersatu menjadikan dia seorang gadis yang malang.
            Dan hujan renyai-renyai kembali turun membasahi bumi sekali lagi.


Tiada ulasan:

Catat Ulasan