KERANA AKU SAYANG KAU (BAB 5)
BAB 5
Bunyi
telefon bimbit mematikan langkahnya yang sedang menuju ke kafetaria. Dia
mengeluarkan telefon bimbit dari saku seluarnya. Nama yang tertara di skrin
membuatkan dia mengeluh.
“Hello,” dengan
malas, Tuah Iskandar menjawab juga panggilan tersebut.
“Hai Tuah,” sapa
Lilia girang.
“Kau nak apa?”
“Kau tengah buat
apa tu?”
“Tak penting untuk
kau tahu,”
Kedengaran Lilia
mendegus kasar.
“Kau nak apa call aku?” tanya Tuah Iskandar untuk
kali ke dua. Biasanya dengan Lilia dia akan straight
to the point. Dia malas hendak melayan kerenah Lilia.
“Jom kita keluar
malam ni,” ajak Lilia. Suaranya masih kedengaran girang. Entah betul atau
pura-pura.
“Aku tak senang,”
“Malam ni kan ada game,”
“Kojek tak cakap
apa-apa pun dengan aku,”
“Kojek yang
beritahu aku,”
“Aku hanya akan
datang kalau Kojek yang hubungi aku,”
Lilia mendegus
lagi. Nampaknya Tuah Iskandar tidak percayai dengan cerita yang sengaja direka.
Sengaja dia berbuat begitu untuk keluar dengan Tuah Iskandar tetapi nampaknya
pemuda itu masih dengan sikap sombongnya.
“Kalau tak ada
apa-apa, aku off dulu,”
Tuah Iskandar
akhirnya mematikan talian tanpa menunggu bicara selanjutnya dari Lilia.
Seketika Tuah
Iskandar bersandar di dinding bangunan akedemi. Matanya dipejam. Otaknya
berputar ligat memikirkan arah perjalanan hidupnya yang terumbang ambing tidak
menentu. Entah kenapa dia rasakan hidupnya sudah terpesong, bukan pada landasan
yang betul tetapi dia tidak tahu. Tidak tahu bagaimana untuk kembali kerana
semuanya berserabut!
Lilia. Gadis itu
sering mengganggu hidupnya. Semua gadis itu lakukan untuk menarik perhatiannya
namun sedikitpun tidak dilayan. Dia bukan bodoh dan buta. Dia tahu Lilia
lakukan semua untuk menakluki hatinya. Dia tahu gadis itu menyimpan perasaan
padanya. Namun, hatinya kosong. Tiada perasaan yang terbit saat melihat gadis
itu apatah lagi perasaan yang di namakan cinta. Dia akui Lilia mempunyai pakej
yang lengkap sebagai seorang gadis tetapi…dia tidak pernah jatuh hati.
Bayangan Lilia di
ganti dengan wajah seseorang. Wajah yang manis bertudung mampu menarik
perhatiannya. Kemarahan yang wujud di awal pertemua mereka terus hilang saat
pandangan mata mereka bertemu. Gadis yang kelihatan biasa itu bagaikan
mempunyai kuasa yang mampu memadamkan amarahnya serta menerbitkan satu perasaan
dalam dirinya.
Perasaan itu
sungguh aneh!
Ya…amat aneh!
Tuah Iskandar
membuka matanya perlahan. Cuba untuk menidakkan perasaan aneh itu dari terus
menyusup dalam hatinya. Pantas kakinya dihayun. Namun, baru beberapa tapak dia
melangkah, matanya terpandangkan seseorang.
Hani!
Tuah Iskandar
melangkah mendekati gadis itu. Perlahan saja langkahnya. Kelihatan gadis itu
sedang berjalan berseorangan. Mulut gadis itu terkumat kamit membaca sesuatu.
Sikap pelik Hani membuatkan Tuah Iskandar mengerutkan dahinya.
Baca doa ke budak
ni?
Tuah Iskandar kini
berdiri betul-betul di hadapan Hani. Hani yang jalan menunduk itu tidak sedar
akan kehadiran Tuah Iskandar. Hanya beberapa langkah saja mereka akan
bertembung.
Satu…dua…tiga…
Hani terlanggar
Tuah Iskandar yang berada di hadapannya.
“Erk..maaf. Maafkan
saya. Saya tak sengaja,” pantas Hani bersuara seraya mengangkat wajahnya.
Bulat mata Hani
apabila melihat Tuah Iskandar berdiri di hadapannya. Seketika dia kaku di situ,
memandang Tuah Iskandar tanpa berkelip-kelip
Tuah Iskandar mengeluarkan
telefon bimbitnya lalu diangkat selaras dengan wajah Hani.
Klik!
Sekeping gambar
Hani ditangkap.
Seketika Hani
tersedar. Pantas dia berpusing ke belakang lalu melarikan diri. Entah macam
mana nasibnya kurang baik. Dia terpijak kainnya yang sedikit labuh. Apalagi,
jatuh berdebuk dia di situ macam nangka busuk.
Tuah Iskandar
terkejut melihat situasi itu. Dia cuba untuk membantu. Namun, kelihatan Hani
segera berdiri dan terus menghilangkan diri. Tuah Iskandar mengerutkan dahinya
dan tidak lama kemudian bibirnya mengukir senyum.
**********
Hani segera menutup
pintu biliknya. Seketika dia bersandar di balik pintu nafasnya turun naik
bagaikan penjahat yang melarikan diri dari pihak polis.
Aduh! Kenapa boleh
jadi macam ini? Macam mana dia boleh terserempak dengan Tuah Iskandar ? Macam
mana dia boleh tidak sedar yang Tuah Iskandar berada betul-betul di hadapannya?
Gila! Memang hari
ini hari malang bagi dirinya. Setelah sekian lama dia cuba sedaya upaya
menghindarkan diri dengan pemuda itu namun hari ini mereka tertembung pula.
Nampaknya, Tuah Iskandar memang tidak melupakan perlanggaran antara mereka.
Memang Tuah Iskandar mahu melancarkan perang. Memang Tuah Iskandar mahu
menjadikan dia target seterusnya hanya kerana kesalahan kecil yang dia lakukan.
Kesalahan kecil?
Tidak! Bukan dia yang bersalah. Pemuda itu yang bersalah. Tetapi dia sanggup
meminta maaf jika Tuah Iskandar melepaskannya.
Hani memejamkan
matanya. Masih terbayang peristiwa beberapa minit yang lalu. Wajah Tuah
Iskandar begitu rapat dengannya. Tatkala itu, jantungnya berdegup kencang saat
terpandang renungan tajam pemuda itu.
Dan…yang paling dia
tidak boleh lupa, macam mana dia boleh terjatuh di hadapan pemuda itu? Malu betul!
Entah apa yang difikirkan Tuah Iskandar tentang dirinya, dia sendiri tidak
tahu. Cuma, dia berharap setelah melihat keadaan dirinya, Tuah Iskandar akan bersimpati
dan akhirnya melupakan semuanya.
Hani ingin bebas.
Dia ingin melepaskan diri dari pemuda itu. Dia tak mahu ada sebarang kaitan
dengan Tuah Iskandar.
**********
Tuah Iskandar
membelek-belek telefon bimbitnya. Gambar yang baru ditangkap beberapa minit
yang lalu membuatkan dia tersenyum. Gambar seorang gadis bertudung dengan mata
yang bulat serta mulut yang sedikit terlopong membuatkan senyumannya meleret.
Kelakar betul
apabila mengenangkan gadis itu. Sama sekali dia tidak menduga sehingga begitu
sekali gadis itu cuba menjauhkan diri daripadanya. Sehingga begitu sekali gadis
itu takut kepadanya.
Namun, apa yang
telah berlaku membuatkan dia terhibur. Bukan kerana melihat gadis itu takut
akan dirinya tetapi terhibur dengan wajah comel itu, gayanya yang ringkas serta
matanya yang seakan mempunyai sinar ketenangan.
Tiba-tiba perasaan
aneh itu datang menerjah ruang hatinya yang kosong. Perasaan aneh itu bagaikan
menyuntik semangat dalam dirinya untuk mengenali gadis itu dengan lebih dekat.
Tetapi bagaimana?
Zulkifli yang
sedang menjamu makanan mengerling sahabat yang duduk di hadapannya. Makanan
Tuah Iskandar masih belum dijamah sebaliknya pemuda itu asyik membelek-belek
telefon bimbitnya. Entah apa ang dibuat pemuda itu, dia tidak pasti.
Namun, Zulkifli
terlihat sebuah senyuman terukir di bibir Tuah Iskandar. Seketika Zulkifli
mengerutkan dahinya. Tuah Iskandar tersenyum? Bukan senang hendak lihat Tuah
Iskandar tersenyum. Apa yang membuatkan pemuda itu tersenyum agknya.
“Kau tengok apa
tu?” tanya Zulkifli benar-benar ingin tahu.
“Ha?” Tuah Iskandar
terpinga-pinga seketika.
“Apa yang kau
tengok dalam telefon bimbit tu?”
“Tak ada apa-apa,”
balas Tuah Iskandar seraya menutup telefon bimbitnya. Wajahnya kembali serius.
Senyuman yang terukir sebentar tadi hilang.
“Ada perkara baik
ke?” tanya Zulkifli lagi. Teringin benar untuk mengatahui apa yang menyebabkan
Tuah Iskandar mampu mengukir senyuman.
“Nothing,” balas Tuah Iskandar pendek.
Zulkifli tidak lagi
bertanya apabila Tuah Iskandar seperti tidak mahu berkongsi cerita. Namun dia
dapat rasakan seperti ada sesuatu yang menggembirakan hati rakannya itu.
Zulkifli mengerling
seketika ke arah Tuah Iskandar. Pemuda itu tersenyum lagi sebelum menyua
makanan ke dalam mulutnya.
**********
Telefon bimbit yang
berbunyi membuatkan Hani yang sedang tekun belajar, tersentak. Dia
mengurut-urut dadanya sebelum mencapai telefon bimbit itu. Nama yang terpapar
di skrin membuatkan dia berfikir samada untuk menjawab ataupun sebaliknya.
Belum sempat dia
membuat keputusan, deringan telefon itu terhenti. Hani menarik nafas lega
sambil mengharapkan si pemanggil tidak membuat panggilan untuk kali ke dua. Namun,
tidak sampai seminit, ia berbunyi kembali. Masih pemanggil yang sama. Akhirnya
Hani mengambil keputusan untuk menjawab sahaja. Orang berbuat baik, kenapa
mesti kita membalas dengan kesombongan?
“Assalamualaikum,
Hani,”
Hani menjawab salam
sambil bertanya khabar.
“Abang sihat. Hani
bagaimana?”
“Hani sihat saja. Abang
kat mana ni?”
“Abang kat kampung.
Tadi singgah rumah Hani. Tengok-tengok mak cik dan pak cik,”
“Oh, abang pergi
rumah Hani tadi? Ayah dengan mak sihat?”
“Sihat
Alhamdulillah,”
Hani tersenyum.
Wajah ibu dan ayahnya terpapar di hadapan matanya. Tiba-tiba rindunya menebal
pada kampung halaman. Bilalah agaknya dia dapat balik ke kampung?
“Abang nak beritahu
Hani yang abang kena transfer kerja
di KL,”
“Abang bertukar ke
Kuala Lumpur? Bila?”
“Bulan depan,”
“Oh tahniah,”
Hani mengukir satu
senyuman. Entah ikhlas entah tidak. Dia sendiri tidak tahu kenapa seperti ada
satu perasaan yang tidak mengizinkan Halim datang ke Kuala Lumpur. Ada satu
perasaan yang berat untuk bersemuka dengan Halim.
Kenapa?
Mungkinkah kerana
ungkapan yang pernah Halim ucapkan suatu ketika dulu?
“Abang sukakan
Hani,”
Masih
terngiang-ngiang di telinganya saat Halim meluahkan perasaannya. Semestinya dia
terkejut kerana dia menganggap Halim seperti abang kandungnya sendiri. Halim
merupakan anak angkat emak. Halim memang rapat dengan keluarga Hani. Sebab itu
tidak terfikir langsung di fikirannya untuk menyukai Halim lebih dari seorang
abang. Apatah lagi saat itu dia sedang hangat bercinta dengan Fahmi.
“Maafkan abang
kalau Hani tak suka dengan pengakuan abang ni. Harap Hani lupakan saja apa yang
abang dah cakap ni,”
Kata Halim apabila
melihat Hani hanya diam tak bersuara.
“Hani menganggap
abang macam abang kandung Hani,” jawapan yang selamat. Penolakan yang lembut
tetapi penuh dengan alasan yang teramat kukuh.
Saat itu Halim
tunduk menyebabkan Hani rasa bersalah kerana mengecewakan seorang lelaki yang
baik seperti Halim. Namun, hati tak mungkin dapat dipaksa. Hani sayangkan
Fahmi.
Namun, tidak lama
kemudian, Halim mengangkat mukanya sambil tersenyum. Berbeza benar wajahnya
berbanding beberapa saat yang lepas. Dengan senyuman yang terukir di bibirnya, Halim
berkata.
“Maafkan abang.
Lupakan apa yang abang cakap tadi. Hmm, boleh abang anggap Hani macam adik
kandung abang?”
Hani benar-benar tidak
tahu adakah Halim ikhlas ataupun sedang memujuk diri sendiri lantaran hasratnya
ditolak. Namun, Hani tiada pilihan lain. Jika dia menganggap Halim seperti
abang kandung, tidak salah jika Halim menganggap dirinya seperti adik kandung.
Mungkin itu yang terbaik buat mereka. Dan sehingga saat ini, setelah dia sudah
berpisah dengan Fahmi pun, Halim masih mengambil berat atas dirinya membuatkan
Hani adakalanya curiga. Benarkah Halim menganggapnya seperti adik kandung? Atau
Halim masih menanti dirinya?
Namun, Hani cuba
beranggapan baik kerana sejak Hani menolak lembut perasaan Halim, Halim tidak
pernah sekalipun berbicara soal perasaan. Meskipun Halim tahu Hani sudah
berpisah dengan Fahmi. Mungkin Halim benar-benar mengotakan janjinya,
menganggap dia seperti adik kandung ataupun Halim sudah mempunyai teman
istimewa.
Halim lelaki yang
baik. Moga yang baik-baik sahaja terjadi dalam hidup pemuda itu.
“Hani,”
Semua kenangan
serta merta hilang apabila suara Halim menerjah gegendang telinganya. Seketika
baru dia tersedar yang dia masih lagi sedang berbicara dengan Halim di talian.
“Er..ya. Hani ada
di sini,”
“Okaylah Hani.
Abang harap, bila dapat bertukar ke KL nanti, dapatlah abang jumpa Hani,”
“Erk..okay,”
Tidak lama
kemudian, talian di matikan. Hani meletakkan telefon bimbit di sisinya.
Kemudian dia termenung. Wajah Halim terpapar di mindanya. Ah, kenapa perasaan
ini berat untuk menerima kehadirannya. Halim seorang lelaki yang baik.
Mempunyai ciri-ciri suami yang soleh. Keluarga Halim pun datang daripada
keturunan baik-baik. Dan dia sendiri mengakui bertuahnya perempuan yang dapat
menjadi isteri Halim. Namun…
Cinta itu tak boleh
dipaksa.
Ia akan datang,
apabila sampai waktunya.
Kita tak perlu
mencari, ia akan datang sendiri.
Dengan siapa, kita
tidak pernah tahu
Mungkin cinta itu
masih jauh dari kita
Ataupun ianya
begitu hampir dengan kita
Namun, kita tak
sedar kerana
Cinta itu tidak
siapa yang tahu bila saat dan waktunya.
**********
Sudah hampir dua
minggu peristiwa tertembung Tuah Iskandar itu berlalu. Maka, sudah hampir dua
minggu jugalah Hani berkelakuan seperti orang bodoh. Setiap kali dia
terserempak dengan Tuah Iskandar, dia pasti akan melarikan diri. Dia benar-benar
yakin Tuah Iskandar mengenalinya kerana setiap kali mereka bertemu, pasti
pemuda itu merenung tepat ke arahnya. Dia pasti!
Namun, sudah dua
minggu jugalah tiada apa-apa perkara yang berlaku. Tiada sebarang serangan dan
dendam yang di tunjukkan oleh Tuah Iskandar kepadanya. Kenapa? Adakah Tuah
Iskandar menganggap perlanggaran itu perkara biasa yang tidak di sengajakan? Ataupun
Tuah Iskandar tak mahu melancarkan serangan setelah melihat dia berada dalam
ketakutan selama ini? Iyalah..setiap kali terlihat Tuah Iskandar dia akan
menikus, bersembunyi di sebalik Julia dan Syasya. Kemudian, dia berusaha
mencari jalan lain supaya tidak melintasi Tuah Iskandar yang sibuk berbual-bual
dengan rakan-rakannya. Dan pernah juga dia terjatuh ke dalam longkang semata-mata
ingin lari dari Tuah Iskandar. Mungkin kerana itu, Tuah Iskandar tidak jadi
untuk melancarkan serangan.
Ataupun, Tuah
Iskandar tidak membuli kaum perempuan? Lebih-lebih lagi perempuan yang comel
sepertinya? Tiba-tiba Hani tertawa dengan andaian yang diciptanya sendiri.
Comel sangatlah tu!
Ah! Lupakanlah
tentang pemuda itu. Buat penat saja selama ini dia melarikan diri daripada Tuah
Iskandar. Lebih baik dia berlagak biasa saja seperti tiada apa-apa yang
berlaku. Mungkin pemuda itu pun sudah melupakannya.
“Hani, kau baliklah
dulu. Aku ada perjumpaan kumpulan,” ujar Julia sambil mengemas nota yang
disalin semasa kuliah tadi dan dimasukkan ke dalam fail.
“Aku pun ada perjumpaan
kumpulan,” ujar Syasya pula.
“Kau orang berdua
ada perjumpaan kumpulan?”
“Ya. Minggu depan
kan ada presentation kumpulan. Kumpulan
kau tak buat discussion ke?”
“Kumpulan aku berkumpul
malam ni,”
“Oh, kalau macam
tu, jumpa petang nantilah,”
Julia dan Syasya
terus menuju ke kumpulan masing-masing di mana perbincangan berkumpulan akan di
adakan bagi tugasan yang diberikan oleh Prof. Baha sebentar tadi.
Lambat-lambat Hani
mengemas nota-notanya. Dengan perasaan malas, dia bangun dari duduknya dan
keluar dari dewan kuliah yang sederhana besar. Langkahnya menuju ke kafeteria.
Niatnya hanya untuk membungkus makanan untuk di bawa ke bilik. Malas untuk
makan di kafeteria memandangkan dia hanya berseorangan. Tiada teman untuk
bersembang.
Dalam berjalan
berseorangan, mindanya sempat menerawang mengingatkan Halim. Lagi dua minggu
saja lagi Halim akan bertukar ke Kuala lumpur. Ini bermaksud, jarak antara
mereka tidaklah jauh sangat. Memandangkan Halim sudah bekerja, pasti tiada
masalah untuk pemuda itu datang ke Kolej Putra. Tiada masalah dari segi masa,
kewangan dan sebagainya.
Aduh! Bagaimana ni?
Dia tak mampu untuk mengelakkan diri. Untuk menerima, dia benar-benar di landa rasa
bersalah. Tetapi, tidak adillah jika dia berkelakuan sebegini andai Halim
benar-benar ikhlas. Tiada niat lain selain menganggap dirinya sebagai adik.
Ah! Hani. Kau ni
suka berfikiran jauh. Tak perlu difikirkan sangat. Tak payah nak
pening-peningkan kepala memikirkan perkara yang belum tentu betul atau tidak.
Tiba-tiba Hani
terpandangkan seseorang. Seseorang yang sejak akhir-akhir ini kerap
memerhatikannya. Tiba-tiba Hani menjadi gabra. Terus langkahnya sumbang.
Cepat-cepat dia mencari jalan alternatif lain untuk mengelakkan diri daripada
Tuah Iskandar. Meskipun berkali-kali menasihati diri sendiri untuk bersikap
biasa namun renungan Tuah Iskandar membuatkan dia kecut perut. Mana mungkin dia
tidak takut, gangster Kuala Lumpur sedang memerhatikan seorang perempuan comel.
Oh!
Sampai di satu
penjuru, Hani bersandar di dinding. Nafasnya turun naik akibat kepenatan
melarikan diri daripada Tuah Iskandar. Persis berlari pecut 100 meter walhal
hanya berjalan tidak sampai 10 meter. Namun, penangan Tuah Iskandar ternyata
berbahaya.
Hani menjegulkan
kepalanya keluar. Ke kiri ke kanan dia menoleh namun bayangan pemuda itu sudah
tidak kelihatan. Hani menarik nafas lega. Setelah melihat keadaan selamat, dia
keluar dari persembunyiannya. Namun, baru saja dia menapak selangkah, tiba-tiba
tangannya ditarik dari belakang. Kuat menyebabkan Hani terdorong ke belakang
dan serentak dengan itu, tubuhnya ditolak ke dinding. Hani tersandar pada
dinding batu itu.
Bulat mata Hani
memandang pemuda di hadapannya. Menggigil kepala lututnya saat terlihat pemuda
itu. Pemuda itu benar-benar berada di hadapannya. Sebelah tangan pemuda itu diletakkan
di dinding, menghalang Hani dari berganjak dari situ.
Ya! Pemuda yang
sering merenung tajam dirinya dari jauh kini berada benar-benar di hadapannya
yang jarak antara mereka tidak sampai sejengkal.
Dan kini..pemuda
itu merenung ke arahnya seperti selalu cuma kali ini..renungan pemuda itu
sangat dekat. Hanya sejengkal sahaja jarak di antara wajah pemuda itu dengan
wajahnya. Benar-benar dekat sehinggakan dia dapat merasa bahang hela nafas
pemuda itu.
Renungan pemuda itu
terus ke arah matanya. Tepat hinggakan dia merasa tidak selesa. Sangat tidak
selesa. Hani ketakutan. Namun, entah kenapa dia tidak cuba untuk melepaskan
diri. Ketakutan yang teramat sangat membuatkan dia kaku.
“Ada sesuatu yang
aku nak cakap dengan kau,” pemuda itu bersuara. Garau dan tegas. Memang memenuhi
ciri-ciri seorang samseng yang amat digeruni.
“Erk..cakap dengan
saya? Tentang apa?” Hani cuba memberanikan diri untuk bertanya. Dalam hatinya cuba
meneka apa yang ingin di perkatakan oleh pemuda itu. Pasti tentang perlanggaran
yang lepas dan juga kata-kara sinis yang dihamburkan kepada Tuah Iskandar suatu
masa dahulu.
Apa lagi yang
menghubungkan dia dengan pemuda itu selain perlanggaran yang berlaku di awal
pertemuan mereka? Ternyata Tuah Iskandar masih mengingati semuanya sedangkan
dia amat berharap pemuda itu sudah melupakan.
Ah! Jika Tuah Iskandar
ingin dia memohon maaf, dia akan lakukan asalkan dia tidak berhadapan dengan
pemuda itu seperti saat ini.
“Tentang cinta,”
Sebaris kata Tuah
Iskandar membuatkan Hani terdiam. Tentang cinta? Cinta apa? Siapa yang
bercinta? Tentang cinta siapa? Cinta antara siapa dengan siapa? Dan kenapa
tentang cinta perlu dibicarakan dengan dirinya?
“Aku suka kau. Aku
nak kau jadi awek aku,”
Hani terlopong.
“Aku beri kau masa,”
ujar Tuah Iskandar. Matanya tak lekang dari merenung ke anak mata Hani. Hani
bagaikan terkena renjatan elektrik apabila mendengar kata-kata Tuah Iskandar,
bagaikan mahu pengsan. Antara percaya dan tidak.
Tuah Iskandar
mengangkat tangannya dari dinding lalu berdiri di hadapan Hani. Berpeluk tubuh.
“Sampai masanya,
aku nakkan jawapan dari kau,” ujar Tuah Iskandar lagi lalu terus berlalu
meninggalkan Hani.
Hani masih
bersandar di dinding, tidak berganjak. Matanya tidak berkelip-kelip. Masih
tidak percaya dengan apa yang berlaku. Sekelip mata bagaikan selaju cahaya,
Tuah Iskandar membicarakan tentang cinta. Dan Hani benar-benar tidak faham
kenapa mesti dia?
Adakah kerana Tuah
Iskandar ingin membalas dendam dengan memainkan perasaannya? Atau Tuah Iskandar
ingin membalas dendam dengan memalukan dirinya nanti?
Hani bingung.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan