KERANA AKU SAYANG KAU (BAB 16)
BAB 16
Pagi-pagi lagi Hani
dah nampak Tuah Iskandar di kafeteria. Seperti biasa mereka saling curi-curi
pandang. Entah kenapa dengan hanya pandangan yang tanpa sebarang komunikasi
lisan sudah membuatkan hati Hani berbunga-bunga. Walaupun Tuah Iskandar tidak
langsung mempamerkan senyuman, namun renungan matanya seakan-akan ada kuasa yang
membuatkan dia seperti di awang-awangan.
Sewaktu melintasi
Tuah Iskandar, Hani sempat melirik ke arah pemuda itu. Bau harum minyak wangi
yang dipakai Tuah Iskandar menusuk masuk ke rongga hidungnya. Dadanya tiba-tiba
bergetar. Jantungnya tiba-tiba berdegup kencang. Nafasnya bergerak laju
menyeimbangi kelajuan degupan jantungnya. Semuanya serba tidak kena.
Mesej pesanan
ringkas di terima saat dia baru saja duduk untuk menikmati makanan. Terus saja
dia mengambil telefon bimbitnya dari dalam beg yang baru diletakkan di kerusi
kosong di sebelahnya.
Selamat Menjamu Selera.
Tersenyum-sentum
dia membaca mesej ringkas dari Tuah Iskandar. Meskipun mesej yang serba ringkas
namun cukup bermakna buat Hani. Pantas dia membalas.
Terima kasih. Selamat menjamu
selera juga untuk awak.
Senyuman tidak
lekang di bibirnya. Tiba-tiba dia rasa seperti ada satu perasaan yang melanda
dirinya. Perasaan bahagia disayangi. Perasaan bahagia apabila ada orang
mengambil berat akan dirinya. Dan di saat ini, Hani sepeti sudah mengakui yang
dirinya sudah di lamun cinta. Dia benar-benar yakin yang dia sudah jatuh cinta
dengan Tuah Iskandar.
Perasaan ini
tersangat aneh tetapi aku benar-benar menyukai keanehan ini.
Seketika Hani
bagaikan di awang-awangan. Bermimpikan dia sedang berjalan berduaan dengan Tuah
Iskandar. Memandang bintang di langit di waktu malam di atas bukit. Bintang
yang berkelipan terasa indah seindah hatinya yang sedang di lamun cinta.
“Woi Hani,”
Bintang-bintang
yang berkelipan serta-merta hilang saat suara Julia menerjah gegendang
telinganya.
“Sibuk betullah si
Julia ni. Aku baru nak berangan, potong line
betul,” rungut Hani.
“Siapa mesej tadi?”
tanya Julia sambil mengangkat sebelah keningnya.
“Kenapa?”
Adakah Julia sedang
mengesan sesuatu?
“Yalah. Dapat mesej
terus tersengih-sengih macam kerang busuk,”
“Oh, mak aku yang
mesej,”
“Mak mesej sampai
senyum-senyum?”
“Mak aku buat lawak
pula. Ada ke patut dia suruh aku carikan dia menantu,”
Aduh! Sampai ke
situ pula dia memberi alasan. Hentam sajalah. Hanya itu yang spontan keluar
dari mindanya.
“Ha, eloklah tu.
Menantu dah ada, tapi tak nampak muka dia. Secret
admirer lah katakan,”
Hani tersengih.
Menantu mak? Tuah Iskandar? Isy, gatal betul aku ni. Ada
ke sampai bab kahwin-kahwin aku fikirkan? Belajar pun tak habis, ada hati nak
kahwin. Tak senonoh betul aku ni.
Hani menggeleng sendiri dan kemudian terus memberi
tumpuan pada makanan yang sudah sejuk di hadapannya. Seketika dia melirik ke arah
Tuah Iskandar. Kelihatan tempat yang diduduki Tuah Iskandar sudah kosong.
Huh! Jauhnya dia berkhayal.
**********
Suasana di dalam restoran itu begitu menenangkan. Jauh
dari kebisingan dan kesibukan kota, sepadan dengan status restoran yang
bertaraf lima bintang itu. Keadaan sekitarnya yang damai di tambah dengan
hiasan dalaman yang sangat menarik menjadikan restoran itu di gemari golongan elit
di ibu kota.
Di satu sudut, kelihatan dua orang lelaki sedang duduk
bertentangan. Kelihatan wajah lelaki yang lebih muda itu begitu tegang manakala
lelaki yang agak berusia itu kelihatan tenang saja. Buat beberapa ketika,
masing-masing hanya berdiam diri sehinggalah minuman yang dipesan sampai ke
meja.
“Terima kasih kerana sudi keluar dengan papa,” ujar
Dato’ Hasyim memulakan bicara pertemuan anak beranak itu.
Tuah Iskandar tidak menjawab. Sebaliknya dia memilih
untuk berdiam diri, mendengar saja penjelasan daripada papanya itu.
“Papa tahu Tuah
marah. Papa tahu Tuah kecewa dengan apa yang berlaku. Tapi papa tak seperti
yang Tuah fikirkan,”
“Apa yang Tuah fikirkan?”
“Papa tahu dalam hati Tuah akan mengatakan papa curang,
papa duakan mama,”
“Jadi, adakah dengan berkahwin lain tu bukan curang?
Bukan menduakan mama?”
“Ya, papa tahu. Tapi pernah tak Tuah fikirkan kenapa
papa lakukan semua ni?”
Tuah Iskandar mendiamkan diri. Wajah Hani serta merta
terlintas di fikirannya. Hani berkata pasti ada sebab kenapa papa melakukan
semua ini dan sekarang ini, papa ingin menjelaskannya. Perlukah dia mendengar?
Jujurkah papa atau papa sengaja mereka sebuah cerita bagi memancing simpatinya?
“Papa kenal dengan Zanariah lima tahun yang lalu. Zanariah
seorang perempuan yang baik. Dia seorang yang sopan santun dan baik budi
pekerti. Selepas mengenali hati budinya, papa mengambil keputusan untuk
berkahwin dengannya,”
“Tanpa pengetahuan mama? Tanpa pengetahuan Tuah?”
“Ya kerana papa takut Tuah tak boleh terima semua ini. Kerana
papa takut mama akan berang dengan apa yang berlaku. Papa tak mahu itu semua
berlaku,”
“Itu semua alasan papakan? Yang sebenarnya papa memang
nak kahwin lagi. Papa tak sayangkan mama kan?”
Dato’ Hasyim menggeleng beberapa kali. Sedih sungguh dia
atas tuduhan anak tunggalnya itu tetapi dia tidak pernah menyalahkan Tuah
Iskandar. Tuah Iskandar tidak mengerti apa-apa. Tuah Iskandar tidak tahu apa
yang berlaku di dalam rumah tangganya.
Dia harus menceritakan semuanya. Bukan untuk
memburuk-burukkan sesiapa tetapi dia ingin Tuah Iskandar faham kenapa dia
melakukan semua ini.
“Tuah, berkahwin dengan Zanariah membuatkan papa terasa
dihormati sebagai seorang suami,”
Tuah Iskandar mengerutkan dahinya. Dihormati sebagai
seorang suami? Apa maksud papanya itu?
“Dua puluh tahun hidup dengan mama, kami hanya bahagia
di awal perkahwinan. Namun, selepas kamu dilahirkan, segalanya berubah,”
“Apa yang berubah?”
“Mama sering mengungkit di mana datangnya kekayaan yang
kita perolehi. Papa tahu, semua yang kita ada sekarang ini adalah hasil
daripada keluarga mama. Papa hanya orang biasa. Datuk Minhat, ayah mama kamu
yang ambil papa bekerja di syarikatnya kerana papa adalah bakal menantunya. Dia
mahu papa berjaya dan seterusnya menjaga anak perempuan tunggal keluarga itu,”
Dato’ Hasyim berhenti seketika. Wajahnya muram sahaja tatkala dia menceritakan
kebenaran. Kemudian dia menyambung.
“Papa cuba melakukan yang terbaik sehingga papa di
naikkan pangkat dan berjaya menerajui syarikat hingga berjaya ke hari ini
tetapi, mama kamu selalu mengungkit tentang harta. Mama kamu selalu mencari
kesalahan papa. Mama kamu selalu marah-marah papa sehinggakan papa rasa tidak
aman di rumah itu. Papa tidak dapat rasa lagi perasaan kasih sayang sebagaimana
di awal perkahwinan kami. Papa juga tidak rasa dihormati sebagai seorang suami.
Namun, kerana kamu, papa teruskan hidup dengan mama kamu.”
“Bukan itu saja, mama kamu selalu merendah-rendahkan
papa di hadapan rakan-rakannya. Mama kata papa orang miskin. Mama kata harta
papa semua adalah harta keluarganya. Dan paling menyedihkan, mama kata papa
hidup adalah hasil ihsan keluarga dia. Papa sangat sedih,”
“Bertemu Zanariah memberikan satu sinar dalam hidup
papa. Bersama Zanariah membuatkan papa terasa hidup dalam satu keluarga yang
cukup bahagia,”
Tuah Iskandar mendengar satu persatu penjelasan panjang
lebar oleh papanya. Perasaan marah pada awalnya perlahan-lahan bertukar menjadi
simpati. Sehingga begitu sekali kehidupan Dato’ Hasyim, lelaki korporat yang
berjaya di Malaysia ini? Selama ini dia tidak menduga begitu berat cabaran yang
digalas oleh papanya.
“Apa yang papa cuba sampaikan bukan untuk
memburuk-burukkan mama. Papa cuma nak Tuah tahu akan perkara sebenar. Papa dah
cuba menjadi yang terbaik untuk mama tetapi..”
Tuah Iskandar memejamkan matanya. Memang selama ini mama
lebih mendominasi papa. Selama ini mama lebih bersuara ke atas papa. Jadi, Tuah
Iskandar tidak merasa pelik apabila mendengar cerita papanya itu malah dia
yakin ada kebenaran di sebalik cerita Dato’ Hasyim itu.
“Papa tak tahu apa yang Tuah fikirkan tetapi jika Tuah
inginkan keyakinan, pergilah bertemu dengan Zanariah dan Tuah akan tahu kenapa
papa terpikat dengannya,”
Kata-kata papa membuatkan dia mengerutkan dahinya.
Bertemu dengan ibu tirinya? Untuk apa? Untuk mengeruhkan lagi keadaan?
“Tuah, mungkin papa bersalah kerana merahsiakan hal ini
dari pengetahuan kamu. Ada sebab kenapa papa buat semua ini. Papa harap Tuah
faham,”
Diam.
“Tuah, kita hidup hanya sekali dan papa hanya ingin bahagia.
Papa ingin gembira dan itulah yang papa rasa apabila bersama Zanariah tetapi
tidak bersama mama kamu,”
Tuah Iskandar menarik nafas panjang dan menghembus
kasar. Entah apa perasaannya sekarang ini dia tak pasti. Marah? Sedih?
Kasihan?..Yang mana satu perasaan yang lebih mendominasi kerana semuanya
bercampur baur sehingga membuat dia pening.
Dia mengeluh.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan