KERANA AKU SAYANG KAU (BAB 2)
BAB 2
Hani merebahkan
tubuhnya di atas katil. Matanya merenung kipas yang ligat berpusing. Udara
nyaman dari kipas memenuhi ruang bilik. Bilik yang tadinya panas menjadi
sedikit sejuk. Namun, udara sejuk itu tidak mampu membuatkan dirinya tenteram.
Aduh! Lepas satu
masalah, satu lagi masalah lain yang muncul.
“Huh!” Hani melepaskan
satu keluhan yang berat.
Masalah yang lama
belum selesai, kini dia terpaksa berdepan dengan masalah baru. Baru saja dia
ingin membuka buku baru, hidup dengan aman dan tenteram…tetapi...
Aduh!
Benarkah pemuda
yang dilihat di kafeteria sebentar tadi adalah Tuah Iskandar? Pemuda yang telah
melanggar dia semasa dalam perjalanan pulang dari perpustakaan itu adalah Tuah
Iskandar? Pemuda yang berwajah sombong itu Tuah Iskandar? Pemuda yang dia perli
kerana tidak mahu meminta maaf itu Tuah Iskandar? Tuah Iskandar, pemuda paling
kacak dan glamor di Kolej Putra? Tuah Iskandar,
salah seorang ahli kumpulan gangster di Kuala Lumpur ini? Benarkah?
Kalau nak selamat,
jangan ada apa-apa kaitan dengan Tuah Iskandar.
Kata-kata Julia terngiang-ngiang
di telinga Hani. Tiba-tiba Hani terasa kecut perut.
Minta-mintalah Tuah
Iskandar tidak ambil kira tentang kes perlanggaran antara mereka.
Minta-mintalah pemuda itu tidak cam akan wajahnya lagi. Minta-mintalah pemuda
itu tidak ingat langsung akan perlanggaran itu. Tetapi…itu bukan salah dia.
Tuah Iskandar yang melanggar dia dan menyebabkan dia terjatuh. Tetapi..kes dia
ini hampir sama seperti kes pelajar yang diceritakan oleh Julia cuma perlanggaran
antara dia dengan Tuah Iskandar tidak melibatkan sebarang kenderaan. Hanya
perlanggaran biasa yang membuatkan punggungnya sedikit sakit dan tiada apa-apa
kesan langsung pada Tuah Iskandar!
Jadi, tidak wajar
dia di persalahkan. Tidak adil jika dia dipukul. Dipukul?
Terbayang di minda Hani
bagaimana dia dipukul oleh sekumpulan gangster yang berwajah bengis. Aduh!
Bagaimana? Sudahlah dia tidak tahu sebarang seni mempertahankan diri. Setakat
cubit-cubit, tumbuk-tumbuk, tendang-tendang, tahulah dia sikit-sikit. Itupun
selalunya tak mengena.
Hoi, Hani.
Kenapalah engkau fikir begitu jauh? Entah-entah Tuah Iskandar tak fikir apa-apa
pun. Engkau tu siapa yang dia nak fikir? Tak masuk langsung dalam kamus hidup
dia. Entah-entah, terlintas sedetik pun tidak. Engkau saja yang lebih-lebih.
Hani terdiam
mendengar kata-kata hatinya sendiri. Baguslah jika dia tidak masuk langsung
dalam kamus hidup pemuda itu. Lagi bagus kalau Tuah Iskandar tak ingat langsung
akan dirinya. Bolehlah dia hidup dengan aman dan tak akan melibatkan diri
dengan Tuah Iskandar. Tetapi, kalau yang berlaku adalah sebaliknya, bagaimana?
Hani sebenarnya
fobia. Fobia dengan kes buli membuli kerana dia pernah mengalami situasi
dibuli. Peristiwa yang berlaku di sekolah menengah menjadikan dia seorang yang
penakut. Takut dengan gangster!
Semasa di dalam tingkatan
empat, Hani pernah dibuli oleh samseng-samseng sekolah. Ini semua gara-gara
bola yang dibaling Hani semasa sedang bermain bola jaring terkena kepala
seorang pelajar lelaki yang kebetulan lalu di kawasan itu. Lebih buruk lagi,
pelajar itu merupakan senior tingkatan lima dan merupakan salah seorang geng
budak-budak nakal yang terkenal di sekolah. Walaupun sudah meminta maaf namun,
pemuda itu serta rakan-rakannya sering membuli Hani. Yang paling dia tidak
boleh lupa, Hani diejek dan digelar Hani Kitty semata-mata kerana dia memakai
dompet yang ada gambar Hello Kitty.
Jahat sungguh
mereka. Mereka dera perasaan Hani!
Apabila masuk
tingkatan lima, Hani boleh menarik nafas lega kerana semua senior sudah keluar selepas
tamat peperiksaan SPM. Namun, gelaran Hani Kitty tetap melekat sehinggalah dia
masuk ke Kolej Putra. Tiada orang yang mengenalinya di sini dan tiada lagi
gelaran Hani Kitty.
Dan…adakah gelaran Hani
Kitty akan kembali dengan munculnya Tuah Iskandar? Tidak! Tak mungkin. Tuah
Iskandar bukan pengacau dari masa lampaunya. Tuah Iskandar adalah manusia yang
muncul sekarang ini! Dan mungkin akan datang!
Oh tidak!
Tolonglah. Minta di jauhkan aku dari pemuda yang bernama Tuah Iskandar itu.
Tiba-tiba Hani
bangun dari pembaringan. Dia mencapai dompet yang dicampak di atas meja
sebentar tadi. Dompet yang ada gambar Hello Kitty itu membuatkan dia tersenyum.
Bukan dia suka sangat dengan watak kartun Hello Kitty itu tetapi dompet itu
merupakan pemberian Fahmi. Fahmi kata dia comel macam Hello Kitty dan kerana
kata-kata Fahmi, dompet itu menjadi begitu berharga buat dirinya.
Wajah Fahmi kembali
terlayar di mindanya, menggantikan wajah Tuah Iskandar yang dari tadi
mengganggu ketenteraman hidupnya.
**********
“Kenapa nak jumpa
saya?” tanya Hani sambil matanya merenung Fahmi yang duduk berhadapan
dengannya. Entah dari mana kekuatan yang di perolehi sehingga mampu bertentang
mata dengan Fahmi. Kalau sebelum ini, sebut saja nama pemuda itu, air matanya
sudah mengalir.
“Saja, tak boleh
ke?” pertanyaan dijawab dengan pertanyaan. Menyampah pula Hani dengar. Sengaja
nak berjumpa dengan dia? Tidak ingatkah dengan makwe awak yang ada kat rumah
tu? Kalau makwe awak tu tahu awak sengaja nak jumpa bekas kekasih awak ini,
tentu perang besar nanti.
“Saya rindu awak,”
bicara yang keluar dari mulut Fahmi membuatkan Hani terkejut. Bulat matanya
memandang Fahmi.
“Awak ni sakit ke?
Tak makan ubat?” berang juga Hani apabila Fahmi berkata begitu. Walaupun masih
ada sedikit perasaan sayang terhadap pemuda itu tetapi dia rasa tidak adil jika
Fahmi merindui dirinya sedangkan pemuda itu sudah ada teman istimewa.
Lelaki! Semuanya
sama!
“Saya sihat dan
masih waras lagi,”
“Kalau macam tu,
mungkin ada salah satu wayar kat dalam kepala awak terputus,”
Fahmi tersenyum
mendengar kata-kata Hani. Hani kelihatan comel bila marah-marah macam itu.
“Sebenarnya, kenapa
awak nak jumpa saya ni?” Hani masih lagi bertanya. Pasti ada sebab kenapa Fahmi
ingin bertemu dengannya. Takkanlah hanya sebab saja-saja?
“Nak tengok awak,”
ringkas jawapan Fahmi tetapi jawapan itu sangat tidak memuaskan hati Hani.
“Tak payahlah awak
nak buang masa jumpa orang macam saya. Lebih baik awak jumpa teman wanita awak
tu. Ada juga faedahnya,” perli Hani sambil membuat muka.
Sebut saja tentang
teman wanita, Fahmi terus diam. Dia menundukkan wajahnya. Wajah itu kelihatan
sayu. Hani cuba meneka maksud di sebalik wajah itu tetapi otaknya tidak dapat
mentafsir maksud yang tersirat.
Tiba-tiba telefon
bimbit Fahmi berbunyi. Lekas-lekas pemuda itu menjawabnya. Hani lihat dahi
Fahmi berkerut seribu. Nampak tegang saja apabila bercakap dengan si pemanggil.
“Hani, saya kena
pergi. Ada hal kecemasan. Awak balik naik teksi ya,” ujar Fahmi lalu meletak
not sepuluh ringgit di hadapan Hani bagi membayar harga minuman mereka. Tidak sempat
Hani bertanya apa-apa, Fahmi sudah hilang dari pandangan.
Balik naik teksi? Hani
mengeluh.
**********
Suasana malam itu
sunyi benar walhal jam baru menunjukkan jam sepuluh malam. Hani menapak
sendirian. Melambai-lambai teksi yang lalu, minta berhenti. Namun, tiada satu
teksi pun yang kosong. Agak lama Hani berbuat demikian tetapi masih tidak dapat
menahan walau sebuah teksi.
Kalau tak dapat
teksi, matilah aku. Dah malam ni. Nak minta tolong siapa?
Dalam fikiran Hani
hanya terbayangkan Julia yang memiliki sebuah kereta kancil. Itu pilihan
terakhir andai dia tidak dapat menahan teksi malam itu.
Hani menahan lagi
teksi tetapi tiada teksi yang mahu berhenti.
Tiba-tiba Hani di datangi
beberapa orang lelaki. Kesemua lelaki itu mengelilingi Hani. Hani ketakutan.
Dia berundur beberapa tapak kebelakang menjauhi lelaki-lelaki itu namun
langkahnya dihalang. Dia sudah menggigil.
“Kau orang semua
nak apa?” tanya Hani dengan suara yang tersekat-sekat. Terasa takut apabila
dikelilingi lelaki-lelaki yang tidak di kenalinya itu. Ingin saja dia menjerit
meminta tolong tetapi tiada orang yang lalu lalang di kawasan itu. Aneh! Kenapa
sunyi saja Kuala Lumpur malam ini? Di mana semua warga kota yang gemar
berpeleseran pada waktu-waktu begini?
“Bos kami nak jumpa
kau,” ujar seorang lelaki yang berbadan gempal serta berkulit gelap.
“Siapa bos kau?”
tanya Hani memberanikan diri untuk bertanya.
“Aku!”
Satu suara dari
belakang mengejutkan Hani. Laluan diberi kepada empunya suara. Terbeliak mata Hani
apabila melihat pemuda itu.
“Tuah Iskandar?”
“Ya, aku.”
“Awak…awak nak
apa?”
“Balas dendam,”
“Balas dendam? Balas
dendam untuk apa? Saya tak faham,”
“Aku tak suka orang
yang berlagak dengan aku,”
Hani terdiam. Apa
maksud Tuah Iskandar? Adakah pemuda itu maksudkan tentang perlanggaran antara
dia dan Tuah Iskandar tempohari?
“Tapi..”
“Orang yang
berlagak dengan aku akan terima pembalasannya,”
Hani kecut perut.
“Pukul dia,”
“What?”
Hani pandang
lelaki-lelaki yang sedang menghampirinya. Wajah masing-masing kelihatan bengis
dan menakutkan. Adakah mereka sampai hati untuk memukul seorang gadis yang
lemah ini? Tetapi, gangster bukannya ada sifat belas kasihan.
Hani sudah takut. Dia sudah membayangkan bagaimana dia
dipukul, ditumbuk dan ditendang sesuka hati oleh kumpulan gangster itu. Pasti
patah riuk tubuh kerdilnya atau mungkin dia menemui ajalnya malam itu.
“Tidak!!!!”
“Hani! Hani! Are you okay?”
Hani terbangun dari
tidurnya. Kelihatan Syasya sedang duduk di birai katilnya.
“Kenapa kau meracau
ni?” tanya Syasya.
Hani masih
terpinga-pinga. Seketika dia termenung. Tidak sangka dia akan bermimpi buruk
seperti itu.
“Kau mimpi?”
Hani meraup
wajahnya. Mimpi ngeri itu benar-benar mengganggu tidurnya.
“Pergi bersiap
cepat. Lepas ni kita nak pergi makan.”
Hani terdiam
seketika. Syasya sudah berlalu keluar dari bilik. Hani menarik nafas dalam-dalam
dan menghembusnya keluar. Bayangan Fahmi
melekat di ingatannya. Kenapa dia mimpikan Fahmi? Adakah Fahmi sedang mengingatinya?
Namun, apabila mengingatkan Tuah Iskandar, nafas Hani jadi sesak tiba-tiba.
Adakah Tuah Iskandar akan datang untuk membalas dendam?
Hani tiba-tiba
menggigil.
**********
Hani memandang ke
kiri, kemudian ke kanan. Terhendap-hendap bagaikan seorang pencuri yang sedang
melarikan diri daripada polis. Sekejap dia berjalan laju, sekejap dia
memperlahankan langkahnya. Langkahnya terasa sumbang. Semuanya serba tak kena.
Sampai sahaja di
mana-mana simpang, dia akan menyorok di belakang Julia mahupun Syasya. Dia
takut terserempak dengan Tuah Iskandar. Dia takut kalau-kalau pemuda itu akan
teringat kes perlanggaran apabila terserempak dengan dia nanti.
Sudah dua hari dia
berkelakuan begini. Sudah macam orang tidak siuman. Macam orang tidak betul
saja. Tapi nasibnya baik sebab selama dua hari ini dia tidak tertembung dengan
Tuah Iskandar. Terlihat dari jauh pun tidak. Mungkin Tuah Iskandar sudah
melupakan itu semua.
Kadang-kadang dia
rasa dia yang melebih-lebih. Dia yang gedik sangat merasakan Tuah Iskandar
berdendam dengannya walhal entah ingat entah tidak pemuda itu akan dirinya.
Entah-entah memang tidak terlintas langsung di fikiran Tuah Iskandar akan
perlanggaran tempohari. Entah-entah semua itu tidak penting langsung bagi
pemuda itu untuk mengingatinya. Jadi, kenapa dia pula yang beriya-iya bersembunyi?
Kenapa dia pula yang bersungguh-sungguh melarikan diri daripada pemuda itu?
Memang perasan
sungguh!
“Ops!”
Dalam
berkhayal-khayal, Hani tersondol belakang Syasya. Entah bila pula Syasya
berhenti dia tidak sedar pula.
“Woi, kau ni
apasal? Tak nampak aku kat depan ni?” tanya Syasya persis seorang ibu tiri yang
sedang memarahi anak tirinya. Siap bercekak pinggang lagi dengan mata
dibulatkan. Syasya memang ada tokoh jadi ibu tiri!
“Yang kau berhenti
mengejut tu apasal?” balas Hani pula. Sengaja mencari salah Syasya agar tingkah
lakunya yang pelik tidaklah begitu ketara sangat.
“Yang kau jalan kat
belakang kita orang daripada tadi kenapa? “ Syasya buat muka tidak puas hati.
Sudahlah dia disondol, dia pula yang disalahkan. Tidak adil langsung!
“Erk..kaki aku ni
sakit sikit. Tu yang aku jalan lambat,” sekali lagi alasan yang entah apa-apa
dicipta Hani. Mana mungkin dia beritahu perkara sebenar kepada rakan-rakannya.
Mahu ditertawakannya nanti oleh Julia dan Syasya.
Bantai sajalah.
Takkan nak cakap aku bersembunyi dari Tuah Iskandar? Sungguh tidak logik
bunyinya!
Syasya hanya
mengeluh kecil. Kemudian, mereka meneruskan perjalanan menuju ke kafeteria.
Kali ini Hani sudah berjalan seiring dengan Syasya dan Julia cuma matanya
sahaja masih melingas merata-rata. Takut terserempak dengan orang yang paling
ingin dielak.
Sampai saja di kafeteria,
Hani terus duduk sambil menghembus nafas lega. Lega kerana hari ini dia tidak
terserempak dengan Tuah Iskandar. Tetapi, sampai bila dia harus berkelakuan
sebegini? Sampai bila dia harus menyembunyikan diri? Sampai Tuah Iskandar
melupakan semuanya? Tetapi bagaimana dia nak tahu yang pemuda itu sudah
melupakan insiden antara mereka?
Tiba-tiba Hani
tersenyum sendiri apabila mengingati apa yang berlaku. Terasa dirinya seperti
orang gila sehingga sampai begitu sekali dia takutkan Tuah Iskandar. Memang tak
betul!
“Woi,”
Terkejut Hani apabila
dirinya disergah. Segera dia menumpukan perhatian pada Julia yang sedang
merenung tajam ke arahnya.
“Kenapa?” Hani
terpinga-pinga seketika.
“Hani, kau ni
kenapa ye?”
“Kenapa apa?”
“Sejak kebelakangan
ni, aku tengok kau macam orang tak betul saje. Sekejap masam, sekejap termenung,
sekejap senyum sorang-sorang. Dah macam orang gila tahu tak?”
Hani terdiam. Seketika
dia berfikir. Apa lagi alasan yang dia nak cipta ni?
“Entah-entah kau ni
ada sejarah gila tak?”
“Isy! Sampai hati
kau kata aku macam tu Ju,”
Julia tertawa.
“Aku gurau
sajalah,”
Hani memasamkan
muka. Moga dengan pura-pura merajuk, Julia tidak lagi bertanyakan hal berkaitan
kelakuan peliknya. Ternyata sukar untuk dia menjawab apabila soalan sebegitu di
tujukan kepadanya.
“Eh, jom kita pergi
beli makanan. Aku dah lapar sangat ni,” ajak Syasya seraya bangun dari
duduknya.
Fuh! Selamat. Tiada
lagi topik tentang dirinya di perbualkan.
Hani sekadar
mengambil sedikit saja nasi beserta lauk sayur bayam, sambal belacan dan sekali
lagi kerang rebus. Fuh! Kecur air liur dia apabila melihat kerang rebus yang
bergolek-golek minta di makan. Hani tersenyum sendiri.
Selesai saja
membayar harga makanan, Hani terus berjalan mendapatkan Julia dan Syasya yang
sudahpun menanti di meja makan. Kelihatan Syasya sudah ternganga menjamah
makanan. Tidak sabar sungguh!
Tiba-tiba langkah
Hani terhenti. Dia seperti merasakan satu keanehan tiba-tiba wujud. Terasa ada
mata yang sedang memerhatikan dirinya. Segera dia menoleh ke arah meja yang
berada di hadapannya, tidak jauh dari tempat dia berdiri. Jantungnya terasa
bagaikan berhenti berdenyut. Darahnya terasa tidak mahu mengalir. Mukanya terasa
pucat.
Tuah Iskandar!
Pemuda itu merenung
tajam ke arahnya. Renungan itu menikam ke dalam anak matanya dan terus menusuk
ke jantung. Dan jantung kembali bergerak laju mengepam darah ke seluruh tubuh
badannya menjadikan dia rasa panas, seperti ingin demam.
Tubuhnya tiba-tiba
menggeletar. Dengan perasaan bercampur baur, Hani terus melangkah. Langkah yang
longlai dan tidak bermaya.
Dan pandangan Tuah
Iskandar terus menerus menikam ke jantungnya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan