Isnin, 24 Februari 2014

TETAP AKU SAYANG (BAB 1)

TETAP AKU SAYANG (BAB 1)


BAB 1

            Pandangannya di lempar ke luar tingkap. Pemandangan yang indah membuatkan dia rasa sungguh selesa. Cuaca redup pagi itu berserta dengan angin yang bertiup nyaman membuatkan hujung minggu itu indah sekali.
            Seketika dia memejamkan mata. Bersyukur dengan nikmat Tuhan yang telah menganugerahkan segala yang dia ada. Kebahagiaan yang dia perolehi kini sungguh bermakna. Walaupun suatu ketika dahulu dia pernah melalui detik-detik hitam yang hampir membuatkan dia rebah, namun…Tuhan masih sayang. Dia kecapi kebahagiaan tika dan saat ini bersama isteri tercinta.
            “Abang,”
            Suara lunak yang menerjah gegendang telinganya membuatkan dia kembali ke dunia nyata. Perlahan dia memusingkan badannya, melihat si pemanggil dengan senyuman yang mula terukir di bibirnya.
            “Hani dah siap ni. Jom kita pergi,” ujar si isteri lagi.
            Dia masih berdiri tegak di situ. Memerhatikan isterinya yang hanya beberapa tapak saja dari tempat dia berdiri. Hani kelihatan cantik apabila mengenakan jubah berwarna peach beserta selendang oren-coklat yang dililit kemas di kepala.
Bibirnya masih lagi terukir senyum. Senyuman yang suatu ketika dahulu sangat sukar untuk diukir.
            “Abang,” panggil Hani lagi apabila melihat suaminya hanya melihat ke arahnya tanpa berkata apa-apa.
            “Ya sayang,” jawab Tuah Iskandar. Perlahan dan menggoda.
            “Hani dah siap ni. Jom kita pergi,” ulang Hani semula. Entah kenapa jantungnya berdebar saat wajahnya terus-terusan menjadi mangsa renungan si suami. Meskipun usia perkahwinan mereka sudah mencecah ke angka enam bulan namun hatinya tetap berdebar saat Tuah Iskandar merenungnya.
            Sungguh! Dia kalah dengan renungan tanpa bicara itu.
            “Abang!” kali ini suaranya di tinggikan sedikit. Geram apabila Tuah Iskandar tidak menghiraukan kata-katanya sebentar tadi.
            “Hmm?”
            “Kenapa abang pandang Hani macam tu? Ada apa-apa yang tak kena ke pada Hani?” tanya Hani sambil menelek diri sendiri. Manalah tahu kalau-kalau ada yang tidak kena dengan pakaiannya sehingga membuatkan suaminya asyik merenung dari tadi.
            Jubah okey, tudung okey…bedak…hmm…bedak comot ke?
            Hani meraba-raba wajahnya.
            “Tak ada apa yang tak kena. Semuanya okey,” balas Tuah Iskandar apabila melihat Hani terkial-kial menyapu wajahnya dengan tangan.
            “Habis tu, kenapa abang pandang Hani macam tu?”
            Tuah Iskandar tidak menjawab sebaliknya melangkah ke hadapan beberapa tapak sehinggalah dia berdiri betul-betul di hadapan Hani. Tangannya menyentuh dagu Hani dan wajah isterinya didongakkan agar memandang tepat kepadanya.
            “Isteri abang nampak cantik hari ni,” ujar Tuah Iskandar dengan sebuah senyuman yang membuatkan hati Hani semakin berdebar.
            “Isy, abang ni,” pantas Hani menepis tangan Tuah Iskandar yang melekat di dagunya. Tepis-tepis manja bagi mengurangkan debaran yang semakin laju.
            “Abang cakap betul. Isteri abang cantik hari ni,”
            Aduh! Kenapa bicaranya harus seindah ini? Kenapa ada debaran yang sungguh kuat hanya pada sebuah renungan?
            “Hari ini saja?” Hani pura-pura merajuk. Bibirnya sudah muncung sedepa.
            “Setiap hari…Sayang tetap cantik di mata abang,”
            Hani tunduk malu. Ternyata berhadapan dengan Tuah Iskandar ‘versi’ ini seringkali membuatkan degupan jantungnya tidak stabil. Tuah Iskandar ‘versi’ ini sangat menenangkan dan membuatkan dia sentiasa rasa bahagia.
            Teringat Hani sewaktu mula-mula dia mengenali suaminya. Tuah Iskandar yang sejuk, beku dan dingin akhirnya berubah menjadi suami yang penyayang…romantik. Hmm…sukar untuk dia percaya yang Tuah Iskandar yang kini berdiri di hadapannya adalah Tuah Iskandar yang di kenali sebagai seorang gangster dahulu.
            Huh! Perbezaan yang sangat ketara!
            “Dah, jom kita pergi. Nanti lewat pula,” cepat-cepat Hani bersuara. Tidak sanggup berdepan dengan Tuah Iskandar lama-lama begini. Boleh cair jadinya.
            Baru saja Hani hendak melangkah, tangannya diraih Tuah Iskandar membuatkan Hani berpaling. Keningnya di angkat sebelah tanda bertanya ‘kenapa?’.
            Tuah Iskandar merapatkan kedudukannya ke arah isterinya. Hani semakin berdebar. Apa yang suaminya nak buat ni? Tuah Iskandar ni bukannya boleh di duga. Sikap itulah yang tetap ada dari dulu sehingga mereka sudah berkahwin.
            Saat tangan Tuah Iskandar mendarat di kepalanya, Hani sudah tidak keruan.
            “Abang. Kita kena pergi ni,”
            “Tunggu dulu,”
            “Kenapa?”
            “Tudung sayang,”
            “Kenapa dengan tudung Hani?”
            “Senget. Biar abang betulkan,”
            Pantas saja tangan Tuah Iskandar membetulkan tedung yang dipakai Hani. Saat itu, Hani sempat menjeling ke wajah suaminya yang bersungguh mengemaskan kembali tudungnya. Bibirnya mengukir senyum.
            “Abang tahu abang handsome. Kalau nak pandang, pandang saja. Tak perlu nak curi-curi pandang,”
            Tengok! Tuah Iskandar sudah pandai bergurau.
            Hani tersenyum malu.
                                                            **********

            Pagi itu mereka bercadang untuk menziarah pusara Datin Maria, mama Tuah Iskandar. Meskipun tidak sempat beramah mesra dengan ibu mertuanya, Hani tetap menghormati wanita itu. Hampir setiap minggu Tuah Iskandar akan mengajak dia menziarahi kubur mamanya. Jika sibuk, dua minggu sekali pun Tuah Iskandar tetap akan datang.
            “Abang tak sempat berbakti pada mama semasa hayatnya,” ujar Tuah Iskandar. Ada nada kesal pada suaranya.
            “Abang jangan cakap macam tu. Walaupun mama sudah tiada, tetapi abang masih lagi boleh berbakti pada dia,” pujuk Hani.
            Tuah Iskandar diam. Dia tahu apa maksud Hani. Doa dari anak yang soleh mampu membantu mama di’sana’.
            Perjalanan di teruskan. Tuah Iskandar fokus pada pemanduannya manakala Hani membuang pandang ke luar tingkap. Teringat dia akan ibu mertuanya, Datin Maria. Dia tidak begitu kenal wanita itu. Dia hanya bertemu sekali saja dengan Datin Maria sewaktu wanita itu menyerangnya ketika keluar bersama dengan Tuah Iskandar. Datin Maria menentang hubungan mereka. Katanya dia gadis kampung yang tidak layak untuk pemuda sehebat Tuah Iskandar.
            Itu cerita dulu. Selepas di sahkah menghidap HIV, Datin Maria sudah berubah. Datin Maria sudah dapat menerima dirinya sebagai pilihan Tuah Iskandar dan juga Zanariah sebagai madunya. Malah, Datin Maria berpesan kepada Zanariah untuk menjaga keluarga ini.
            Cuma…Hani terkilan ibu mertuanya pergi dalam keadaan yang tragis. Ibu mertuanya dibunuh!
            Hani memejamkan matanya. Cuba menghalau bayangan hitam itu dari menerjah masuk ke dalam mindanya.
            “Kenapa sayang?” pertanyaan Tuah Iskandar membuatkan Hani sedikit terkejut.
            “Erk…tak ada apa-apa abang. Cuma, Hani teringat kisah lama,” jawab Hani perlahan.
            Tiba-tiba tangannya diraih. Tuah Iskandar menggenggam tangan isterinya.
            “Jangan di ingat kisah lama. Bukankah sayang nak lupakan?”
            “Tapi…kerana kisah itu juga kita bertemu kan?”
            “Ingat yang manis-manis saja. Yang pahit tu buang jauh-jauh,”
            “Yang manis? Contoh?”
            “Ingat masa seorang budak perempuan jatuh tergolek bila nampak seorang gangster,”
            Di hujung ayat, Tuah Iskandar sudah tertawa.
            “Abang!” pantas Hani menarik tangannya dan terus menampar halus lengan Tuah Iskandar.
            Tuah Iskandar masih lagi ketawa. Mana mungkin dia melupakan kisah itu. Saat Hani terjatuh apabila mahu lari daripadanya. Waktu itu sempat dia snap satu gambar Hani dan masih disimpan kemas sehingga kini.
            Hani sudah muncung sedepa. Merajuk!
            “Jangan merajuk sayang. Kerana sayang jatuhlah buat abang jatuh cinta,”
            “Iyalah tu?”
            “Iyalah. Kalau tak, takkan abang paksa sayang jadi awek abang dulu,”
            Hani tersenyum. Hilang sudah rajuknya apabila mengingati detik-detik dia dipaksa menjadi kekasih Tuah Iskandar. Brutal juga suaminya dulu.
            “Tapi, bagus juga abang paksa. Dapat juga kita kahwin. Kalau tak, alamatnya sampai sudah orang tu asyik lari aje,”
            Hani tertawa. Sungguh manis kisah pertemuan mereka. Walaupun saat itu di rasanya macam mahu melarikan diri, pengsan, sesak nafas apabila berdepan dengan Tuah Iskandar tetapi…apabila disingkap semula kenangan itu, ia merupakan satu kenangan yang begitu indah. Cukup indah!
            “Abang,”
            “Hmm?”
            “I love you,”
            “Love you too, sayang,”

Isnin, 17 Februari 2014

DI DEPAN MATA (BAB 3)

DI DEPAN MATA (BAB 3)


BAB 3

“Ini gambar Abang Rayyan masa umur setahun,”
Dia membelek-belek album gambar yang ada di tangannya. Satu demi satu gambar dibelek. Setiap gambar ada ceritanya, ada kenangan yang tersimpan kemas di dadanya.
“Ini pula masa Abang Rayyan berumur dua tahun. Comelnya Abang Rayyan. Macam Hello Kitty,” ujar Nia sambil tersenyum-senyum. Patung Hello Kitty di sebelahnya dicapai lalu dipeluk erat.
Nia buka lembaran seterusnya. Berpuluh-puluh gambar Rayyan menghiasi album gambarnya. Album gambar yang di khaskan untuk gambar Rayyan sahaja. Gambar dari Rayyan masih bayi sehinggalah sekarang ini, semuanya ada dalam simpanannya.
Kebanyakkan gambar Rayyan, dia ambil secara sembunyi. Pelbagai aksi. Semuanya comel di matanya. Bukannya dia tidak mahu ambil gambar betul-betul tapi pemuda itu selalu saja menolak kalau dia hendak mengambil gambar Rayyan. Kalau dapat pun, gambar bersama keluarga. Tak ada satu pun gambar dia berdua saja dengan Rayyan.
“Saya tak suka bergambar,”
Itulah alasan Rayyan setiap kali dia nak tangkap gambar dengan pemuda itu. Kadang-kadang dia tak faham kenapa Rayyan tak suka bergambar. Muka Rayyan kan kacak, tubuh badan sempurna…pendek kata Rayyan mempunyai pakej yang lengkap sebagai seorang lelaki. Kenapa pula tak suka bergambar?
Rayyan tak macam Nia. Dia kalau bergambar…fuh! Pening kepala mama. Ke sini bergambar. Ke sana bergambar. Sambil bergambar dia mesti tunjuk peace dengan buat muka comel. Kadang-kadang dia buat-buat mulut terlopong. Kadang-kadang mulutnya sengaja diherotkn ke tepi. Kadang-kadang dia jelir lidah. Pelbagai aksi yang nakal dan gedik!
Nia belek-belek lagi gambar Rayyan. Pemuda yang telah menambat hatinya sejak kecil lagi. Dia sukakan Rayyan. Kalau boleh, dia nak kahwin dengan Rayyan. Dia suka tengok Rayyan senyum. Rayyan masam pun dia suka.
Masalahnya…dia tak tahu samada Rayyan suka pada dia atau tak? Tapi dia tak kisah tentang itu. Dia akan berusaha untuk menambat hati Rayyan. Kata orang, usaha tangga kejayaan. Tak salah kalau dia mencuba. Lagipun, daripada penyelidikan yang dia lakukan, Rayyan belum ada teman wanita dan pemuda itu tidak pernah rapat dengan mana-mana perempuan. Mana dia tahu semua ini? Adalah…Dia kan suka kat Rayyan. Pasti dia akan selidik sampai lubang cacing.
He…he…Sebenarnya dia ada pasang spy. Siapa lagi kalau bukan Shima. Shima itu sepupunya yang sebaya dengan Rayyan. Dari sekolah rendah sampai sekolah menengah, Shima satu kelas dengan Rayyan. Semua pasal Rayyan, Shima akan khabarkan padanya. Dan sekarang, Shima satu tempat kerja dengan Rayyan. Apalagi…semua berita pasal Rayyan pasti akan di ketahui.
Mata Nia terpandangkan gambar semalam. Gambar Rayyan yang dia curi-curi tangkap semasa Rayyan sedang makan lasagna. Comel sangat Rayyan masa itu. Suka betul dia tengok gambar pemuda idamannya itu.
Semalam…hari jadi Nia yang ke 21 tahun. Orang kata umur 21 tahun sudah bebas. Sudah merdeka. Apa maksud bebas dan merdeka itu? Ah! dia tak tahu tapi padanya definasi, bebas dan merdeka itu maksudnya dia sudah boleh kahwin. Dia nak ajak Rayyan kahwin. Agak-agaknya Rayyan mahu tak?
Dia tersenyum sendiri. Isy kamu ni Nia. Gelojoh sungguh! Baru 21 tahun sudah fikir tentang kahwin. Fikirkanlah tentang kerjaya kamu…masa depan kamu…
Ah! Sebut pasal kerjaya, dia teringatkan sampul surat yang dia terima minggu lepas. Segera dia mencapai sampul surat yang diletakkan di atas meja tulis lalu membukanya. Isinya dibaca sekali lagi. Dia tersenyum-senyum. Ini berita baik . Pasti Rayyan akan terperanjat bila dia beritahu berita ini dan yang pasti…pasti Rayyan akan gembira.
Nia tersenyum sendiri.
                                                            **********

Petang itu Nia menemani Mazura ke pasaraya untuk membeli belah. Banyak stok barang dapur sudah kehabisan. Hendak mengajak Salim, liat benar lelaki itu apabila Mazura mengajak hendak beli barang dapur. Nasib baik ada Nia, anak tunggalnya yang satu itu.
“Mama, kita beli ikan merah ni nak tak? Nia nak buat sup ikanlah. Rasa macam mengidam pula,” ujar Nia sambil memilih ikan merah yang masih segar-segar di pasaraya berkenaan.
“Mengidam? Macam mengandung pula Nia ni,” usik Mazura.
Nia itu nampak saja manja tetapi jangan tak tahu…manja-manja Nia, Nia suka ke dapur. Sebut saja nak makan apa, Nia boleh buatkan. Nia memang pakar dalam memasak lebih-lebih lagi kalau membuat makanan western. Sedap sungguh masakan anak daranya. Manakan tumpah kuah kalau tidak ke nasi?
Nia…hmmm anak daranya seorang ini juga seorang yang berani. Siapa sangka gadis comel yang gemarkan patung Hello Kitty seperti Nia seorang yang berani dan lasak. Buktinya, Nia merupakan ahli di dalam silat olahraga dan pernah memenangi tempat ke dua semasa pertandingan silat di kolej dulu. Nampak saja kecil tetapi kecil-kecil cili padi tau…
“Mama ni,asal mengidam saja kata mengandung. Nia ni bujang lagi tahu tak,”
“Memang bujang tapi sudah boleh berkahwin,”
Bila Mazura sebut pasal kahwin, Nia sudah berbunga-bunga. Serta merta wajah Rayyan bermain di fikirannya. Alangkah seronoknya kalau dia dan Rayyan duduk di atas pelamin yang penuh dengan bunga-bunga. Kemudian, sanak saudara tampil ke depan untuk menepung tawar. Renjis-renjis beras serta bunga rampai dan air mawar. Aduh! Bilalah Rayyan nak pinang dia ni?
“Nampak tu. Bila mama sebut pasal kahwin, dah berangan pula. Nia dah ada calon ke?” usik Mazura apabila melihat anak gadisnya itu tersenyum seorang diri.
“Erk…mana ada. Nia kan baru saja habis belajar. Kerja pun baru dapat. Itupun mula minggu hadapan,” dalih Nia. Tak berani dia hendak katakan yang di hatinya sudah bertakhta seseorang apatah lagi pemuda itu adalah Rayyan, anak Auntie Ayu. Malulah dia kalau Mazura dapat tahu.
Dan dia sendiri tidak tahu apa reaksi mama kalau tahu dia sukakan Rayyan.
“Yalah, mana tahu masa belajar dulu ada jumpa seseorang,” terus-terus Mazura mengusik. Suka tengok muka comel Nia merona merah.
“Mana adalah ma,” ujar Nia manja.
Manalah hati dia nak tersangkut pada orang lain sedangkan dari dulu lagi dia telah serahkan bulat-bulat hatinya pada Rayyan. Cuma, dia tidak tahu adakah Rayyan menyimpan kepingan hatinya ataupun membiarkan saja bersepah di mana-mana.
Mazura hanya tersenyum. Kemudian, mereka dua beranak kembali memilih barang-barang untuk dibeli.
“Zura!”
Mazura terkejut apabila bahunya ditepuk dari belakang. Serta merta dia menoleh. Kelihatan Rahayu tersengih-sengih di situ.
“Ayu, kau buat apa kat sini?”
Nia tepuk dahi. Apalah punya soalan mama ni. Kat pasaraya, sudah tentulah hendak beli barang-barang. Tak ada soalan lainkah?
“Beli baranglah. Takkan memancing pula,” jawapan Rahayu membuatkan Mazura tertawa kecil.
“Mama ni tak ada soalan lain nak tanya Auntie Ayu. Tanyalah apa khabar ke? Keluarga sihat atau tidak…” bebel Nia.
            ‘Tanya Abang Rayyan tengah buat apa ke?’ Ops, yang ini dia cakap dalam hati saja. Gila ke, tak ada angin ribut tiba-tiba mahu terjah saja tanya pasal Rayyan?
Rahayu tergelak kecil. Nia ini ada-ada saja celotehnya.
“Salim mana?” tanya Rahayu.
“Laki aku tu mana mahu ikut pergi beli barang dapur ni. Duduk rumah lagi seronok katanya,”
“Auntie datang dengan Uncle Hazim ke?” tanya Nia ada udang di sebalik batu. Dia mengharapkan Rahayu menjawab…tak, auntie datang dengan Rayyan…
“Tak, auntie datang dengan Rayyan,”
Yess!
“Ha, itupun Rayyan,”
Nia panjangkan leher melihat Rayyan sedang berjalan ke arah mereka. Tersenyum lebar Nia apabila melihat kelibat Rayyan. Terasa Rayyan membawa aura yang mampu menggembirakan dia sepanjang hari itu.
“Apa khabar auntie,” Rayyan bersalaman dengan Mazura.
Aduh! Sopannya Abang Rayyan. Mesti mama suka kalau Abang Rayyan jadi menantu mama.
“Abang apa khabar?” tegur Nia ramah.
“Baik,” jawab Rayyan ringkas.
Keadaan sepi seketika. Mazura dan Rahayu leka berborak. Nia asyik melirik ke arah Rayyan yang buat selamba saja dengan Nia. Geram pula dia tengok Rayyan. Bukannya nak ajak sembang. Paling kurang pun, tegurlah dia. Dia bukannya orang lain. Saudara juga.
Rayyan melirik ke arah Nia. Gadis itu tersenyum memandang ke arahnya. Jelas kelihatan lesung pipi di pipi kirinya. Rayyan balas senyum. Hambar.
Isy budak Hello Kitty ni. Asyik pandang aku saja. Rimas betul. Kenapalah aku perlu bertembung dengan dia hari ni? Menyesal pula teman ibu pergi membeli barang-barang dapur. Kalau tahu akan tertembung budak Hello Kitty ni, lebih baik aku ikut Hamidi pergi memancing tadi.
“Abang,” Nia memulakan bicara.
“Hmm,”
“Gambar masa hari jadi Nia hari tu Nia dah letak kat Facebook. Abang dah tengok?”
Rayyan mengerling ke arah Nia. Mana mungkin dia tak tengok. Semua gambar-gambar itu Nia tag pada dia.
“Belum,” bohong Rayyan. Bukan maksudnya untuk berbohong pada Nia. Dia cuma tidak mahu melanjutkan perbualan mereka.
“Oh, abang dah lama tak buka FB ya?”
“Ya,”
“Nia ada tag kat abang. Nanti abang tengoklah ye. Nia ada snap gambar abang tengah makan lasagna yang Nia buat. Nia paling suka gambar tu,”
Nampaknya dia terlupa yang Nia ni terlebih ramah. Ingatkan dengan jawapan ‘belum’, perbualan mereka tidak akan berpanjangan.
“Gambar masa makan lasagna?”
Isy, bila pula budak Hello Kitty ni tangkap gambar dia semasa makan lasagna?
“Aah. Cantik Nia snap. Siap nampak abang makan selekeh,” Nia tertawa kecil.
Ceh! Gambar aku makan selekeh pun dia letak kat facebook ke? Kenapa aku tak perasan? Mana nak perasan, dia tengok gambar yang Nia tag itu sepintas lalu saja. Malas.
“Abang,”
“Hmm…”
Aduh! Budak Hello Kitty ni nak cakap apa lagi?
“Boleh Nia tanya satu soalan?”
Rayyan pandang muka Nia. Sejak bila pula minta izin untuk tanya soalan ni?
“Tanyalah,”
“Malam ni abang free tak?”
Aduh! Soalan apa pula ni? Biasanya kalau orang tanya soalan begini, pasti nak ajak keluar jalan-jalan, makan atau tengok wayang. So, nak jawab apa? Kalau jawab tak free, tipulah pula. Tapi, kalau jawab free, pasti budak Hello Kitty ni ajak keluar.
Keluar dengan budak Hello Kitty ni? Oh my god!

Ibu, cepat datang selamatkan Rayyan!