Selasa, 17 Disember 2013

DI DEPAN MATA (BAB 1)

DI DEPAN MATA (BAB 1)


BAB 1

Selamat Hari Jadi
Selamat Hari Jadi
Selamat Hari Jadi, Nia
Selamat Hari Jadi
            Semua tetamu yang hadir bertepuk tangan apabila selesai menyanyikan lagu Selamat Hari Jadi untuk Nia. Anak kepada pasangan Salim dan Mazura itu kini genap berusia satu tahun. Sempena menyambut usia Nia yang pertama, Mazura mengadakan sedikit jamuan kecil dan menjemput sanak saudara, sahabat handai serta jiran terdekat.
            Nama saja majlis kecil-kecillan tetapi yang hadirnya mengalahkan rumah terbuka pula. Tahu-tahu sajalah Mazura yang bermulut ramah ini ramai saja kenalannya.
            “Cepat Nia tiup lilin tu,” ujar Rahayu yang teruja melihat telatah Nia yang comel itu.
            Rahayu itu adik kepada Salim. Berkahwin dengan Hazim dan mempunyai seorang cahaya mata.
            “Nia. Cepat tiup lilin ni,” arah Mazura pula apabila melihat Nia buat endah tidak endah saja pada lilin yang bernyala di atas sebiji kek Hello Kitty.
            Nia termangu-mangu. Alah…budak-budak yang berusia satu tahun, apalah yang dia tahu.  Orang suruh tipu lilin, tangan comel Nia sudah mahu mencapai api lilin yang terliuk-liuk di tiup angin sepoi-sepoi bahasa.
            “Nia,” cepat-cepat Mazura mencapai tangan Nia dari mendekati api lilin. Nasib baik sempat, kalau tidak pasti terbakar juga tangan Nia.
            Beberapa kanak-kanak sudah mengerumuni Nia. Masing-maing menelan air liur melihat kek comel yang berada di hadapan mereka. Bilalah agaknya boleh makan ni? Mungkin itulah yang di fikirkan di dalam setiap fikiran kanak-kanak yang berada di sekeliling Nia.
            Kek coklat moist yang berbentuk nombor satu sempena hari jadi Nia yang pertama, dihias dengan patung Hello Kitty yang comel di atasnya. Dengan bertemakan warna merah jambu, kek itu juga dihias dengan gambar Hello Kitty di sekitarnya. Kemudian tertera nama Nia di situ beserta sebatang lilin berbentuk nombor satu. Cantik. Mazura tempah khas untuk Nia.
            Sengaja Mazura memilih tema Hello Kitty kerana Nia sukakan kartun Hello Kitty. Setiap kali terlihat kartun Hello Kitty di televisyen, melopong mulut comel Nia melihatnya. Jika terjumpa patung Hello Kitty di pasaraya atau kedai-kedai tepi jalan, Nia pasti akan teruja sehingga merengek jika Mazura tidak membelikannya. Dengan itu, penuh patung Hello Kitty di kamar tidur Nia.
            “Auntie, bila Nia nak tiup lilin ni? Saya nak makan kek ni,” ujar Yani, anak Zulaika, kakak kepada Salim yang berusia sepuluh tahun itu.
            “Yalah auntie. Tini nak Hello Kitty tu. Comel sangat dengan baju kembang dia,” tambah Tini, adik kepada Yani yang berbeza dua tahun umur mereka.
            “Sabar ya. Kejap lagi Nia tiup lilin  ni,” jawab Mazura sambil tersenyum. Kanak-kanak memang begitu. Teruja saja tengok benda yang comel-comel. Mujur mereka sabar menanti gelagat Nia. Kalau diterkam saja kek tersebut, putih matalah Mazura nak tengok Nia tiup lilin di hari jadi yang pertama.
            “Nia, cepatlah,” desak Yani dan Tini dan diikuti beberapa kanak-kanak yang lain.
            Nia terdongak-dongak memandang kanak-kanak di sekitarnya. Satu persatu kanak-kanak itu ditenungnya dan kemudian dia tersenyum sambil menampakkan dua batang gigi atas dan bawah. Comel sungguh!
            “Ta..ta..ta..ta..” ujar Nia sambil tersengih.
            Mazura tertawa melihat keletah Nia. Mereka yang berada di situ turut tertawa. Meskipun bahasa Nia tiada siapa yang faham namun Nia kelihatan sungguh comel apabila bersuara.
            “Kamu sajalah yang tiup lilin tu Zura. Kalau tunggu Nia, sampai lilin itu cair pun belum tentu Nia tiup,” ujar Salim yang berada di sebelah Hazim.
            Mazura tersenyum. Kemudian dia memeluk Nia berada dekat di sisinya. Dengan hembusan kecil, Mazura meniup lilin itu. Semuanya bertepuk tangan termasuklah Nia.
            Macam hari jadi aku pula. Mazura tersengih-sengih sendiri.
            Dan kini…sesi memotong kek. Mazura dan Salim meletakkan pisau pemotong kek pada tangan Nia. Dan kemudian, keduanya memegang tangan Nia lalu diletakkan kepada kek Hello Kitty itu. Nia menjerit-jerit gembira saat melihat kek hari jadinya sudah dipotong. Entah Nia faham entah tidak makna hari itu padanya. Tak mengapa. Yang penting, Nia gembira.
            Dan…kek Hello Kitty yang sudah siap dipotong, diagih-agihkan kepada tetamu yang datang.
                                                                        **********
            “Diam-diam sudah setahun umur Nia,” ujar Mazura sambil melayan Rahayu yang sedang menikmati makanan yang terhidang.
            “Yalah. Rayyan pun sudah besar. Sudah tiga tahun,” sahut Rahayu mengenai anaknya Rayyan.
            “Tak sangka masa berlalu begitu cepat. Rasanya baru saja kahwin dengan Salim, baru saja mengandungkan Nia. Tiba-tiba Nia sudah besar begini. Sudah nakal,” cerita Mazura tersenyum-senyum. Nia yang sedang bermain dengan sepupu-sepupunya dikerling seketika. Maklumlah, Nia itu baru ‘dapat kaki’. Baru bertatih berjalan. Takut-takut pula dia kalau-kalau Nia jatuh. Maklumlah, sepupu-sepupunya yang lain sudah boleh berlari. Nia paling kecil buat masa ini.
            Rahayu tersenyum. Dalam hati dia mengiyakan kata-kata isteri abangnya itu. Sepanjang menjaga anak, kita tidak sedar bila anak kita membesar. Alih-alih saja sudah pandai berjalan, berlari. Selepas ini pejam celik pejam celik, sudah bersekolah pula. Esok-esok nanti, kita sudah dapat menantu. Hai…
            Baru saja hendak melanjutkan perbualan, seorang sahabat Salim meminta diri untuk pulang. Mazura berjabat tangan dengan Intan, isteri Harun.
            “Kami balik dulu ya,” ujar Intan tersenyum-ssenyum.
            “Ya, terima kasih kerana sudi datang,” balas Mazura.
            “Ini untuk Nia,” ujar Intan sambil menghulurkan bungkusan hadiah.
            “Eh, susah-susah saja. Kami panggil makan, tak perlulah bawa hadiah. Malu pula saya,”
            “Apa pula nak di malukan. Kami ikhlas nak bagi Nia. Nia tu comel sangat. Sebiji ikut muka Salim,”
            Mazura tersengih-sengih. Setelah mengucapkan terima kasih, Intan dan Harun berangkat pulang.
            “Ramai kata Nia ikut muka Salim,” ujar Mazura sambil duduk di sebelah Rahayu. Ada nada rajuk pada suaranya. Namun, kebenaran itu tidak dapat di sangkal. Memang rata-rata mengatakan Nia ikut wajah suaminya tetapi entah kenapa pula dia mahu berkecil hati. Mungkin memikirkan dialah yang kolek Nia ke sana ke mari. Dialah yang menjaga Nia siang dan malam. Dialah yang berjaga setiap malam selama setahun ini untuk membuat susu untuk Nia, alih-alih bila jumpa orang, mereka kata, Nia anak Salim!
            “Dah Nia tu anak Salim,” sahut Rahayu.
            “Tapi, Nia pun anak aku,” ujar Mazura.
            Tertawa besar Rahayu mendengar kata-kata Mazura. Beberapa pasang mata menoleh ke arah mereka. Hazim sudah pandang-pandang Rahayu sambil mengerutkan dahinya. Beri isyarat pada Rahayu agar berkelakuan sopan sedikit di khalayak ramai.
            Rahayu cepat-cepat tutup mulut. Terangguk-angguk dia memohon maaf pada Hazim. Mazura tersengih melihat pasangan suami isteri itu.
            “Kau ni macam budak-budaklah Zura. Dah tentulah Nia tu anak kau dengan Salim. Mana boleh Nia tu wujud tanpa salah seorang antara kamu berdua,” Rahayu tertawa. Kali ini agak perlahan. Siap tutup mulut dengan tangan. Takutlah tu kalau-kalau Hazim jeling lagi.
            “Ya, aku tahu,” sahut Mazura perlahan.
            “Tapi bagus juga Nia ikut muka Salim,” ujar Rahayu tiba-tiba.
            “Kenapa? Muka aku ni tak cantik ke?” merajuk pula Mazura.
            “Bukan macam tu. Orang kata kalau anak perempuan ikut muka ayah dia, tak panas,”
            “Tak panas? Maksudnya,”
            “Yalah. Kalau Nia ikut muka Salim, Nia tak panas dengan kau. Maksudnya, kau dengan Nia akan kamceng bila besar nanti,”
            “Betul ke?”
            “Orang tua-tua cakaplah,”
            Bersinar-sinar mata Mazura mendengar kata-kata Rahayu. Dia selalu berangan-angan, kalau Nia sudah besar nanti, dia bukan saja mahu menjadi seorang ibu kepada Nia malah seorang kawan. Dia mahu rapat dengan Nia. Dia mahu Nia dekat dengannya.
            “Macam Rayyan juga,”
            “Rayyan?”
            “Ya, Rayyan kan ikut muka aku. So, dia tak panas dengan aku tau,”
            “Ya, Rayyan memang ada iras-iras kau berbanding Hazim,”
            “Sebab tu Rayyan comel,”
            Mazura mencebik. Rahayu sudah tertawa.
            “Eh, sebut pasal Rayyan, mana dia?”
            “Tu, sedang main dengan Nia,”
            Serentak dua pasang mata terus terarah pada dua kanak-kanak kecil.
                                                                        **********
            “Ta..ta..ta..” Nia menghulurkan mainan anak patung gajahnya kepada Rayyan. Rayyan cuma memandang Nia dengan dahi sedikit berkerut.
            “Ta..ta..ta..” ujar Nia lagi. Entah apa Nia cakap tiada siapa yang tahu. Rayyan tahu ke tidak tu?
            Melihat Rayyan diam saja, terkedek-kedek Nia mendekati Rayyan. Sampai saja di hadapan Rayyan, Nia hulurkan semula anak patung gajah untuk diberikan kepada Rayyan.
            Rayyan pandang Nia lagi. Dia berceloteh yang entah apa-apa sambil tersengih-sengih pandang ke arah Rayyan.
            “Ta..ta..ta..” ujar Nia lagi.
            Rayyan pandang Nia. Kemudian pandang anak patung gajah. Terus saja Rayyan menepis. Habis jatuh anak patung gajah itu di atas lantai.
            “Rayyan!” jerit Rahayu apabila melihat Rayyan menepis pemberian Nia.
            “Alah, budak-budak Ayu,” sahut Mazura membiarkan situasi begitu.
            Nia pandang Rayyan lagi. Kemudian Nia senyum. Sedikitpun tidak ambil hati dengan patung gajah yang sudah tertiarap di atas lantai. Nia pegang tangan Rayyan. Nia nak ajak Rayyan main. Ada banyak lagi mainan Nia dalam raga.
            Rayyan tak beranjak. Nia tarik lagi. Rayyan tetap kaku. Nia pandang Rayyan. Rayyan sentap tangannya dan kemudian menolak tubuh kecil Nia. Nia yang baru dapat kaki itu jatuh terduduk.
            “Rayyan!” Rahayu cepat-cepat berlari mendapatkan Nia. Pantas dia mengambil Nia dan mendukungnya. Nia tidak menangis sebaliknya tersenyum memandang Rahayu.
            “Kenapa Rayyan tolak Nia?” tanya Rahayu dengan suara lembut tetapi tegas.
            Rayyan terkebil-kebil memandang ibunya.
            “Tak baik buat macam tu pada Nia. Lain kali jangan buat lagi tahu?”
            Rayyan tidak menjawab.
            “Salam Nia cepat,” arah Rahayu menyuruh Rayyan memohon maaf pada Nia.
            Rayyan tak nak hulurkan tangan.
            “Rayyan, cepat say sorry to Nia,”
            Rayyan diam lagi.
            “Rayyan,” Rahayu sudah menjegilkan mata ke arah Rayyan.
            Lambat-lambat Rayyan hulurkan tangan. Rahayu memegang tangan Nia dan disatukan dengan tangan Rayyan.
            “Cakap apa dengan Nia?”
            “Sorry,”
            “Sorry what?
            “Sorry Nia,”
            “Ta..ta..ta…” Nia tersengih. Macam faham-faham saja situasi yang berlaku.
            “Good boy,” puji Rahayu.

            Rahayu dan Mazura saling berbalas senyum.

4 ulasan:

  1. aisyah...1 bab ini ajer..past ni dia terus besar..hehe

    BalasPadam
  2. assalamualaikum...starting from a child. teringat pula zaman kecik2 dulu huhu

    BalasPadam
  3. salam nurul...

    idea ini dapat dari anak sy..time sambut besday..comel saja budak2 kecik..:)

    BalasPadam