Jumaat, 10 Julai 2015

TETAP AKU SAYANG (BAB 3)

TETAP AKU SAYANG (BAB 3)






BAB 3

Bulat mata Hani saat melihat jam meja di sebelahnya. Pukul 7 pagi? Alamak! Dia sudah terlewat. Macam manalah dia boleh tidak sedar walhal setiap hari jam akan berbunyi seawal jam enam pagi. Ini mesti dia tertidur semula setelah mematikan alarm jam tersebut.
Sambil melirik seketika suaminya yang masih berselubung, Hani pantas mencapai tuala lalu menuju ke bilik air. Dalam hatinya sempat mendegus kecil memikirkan perbezaan pekerjaan antara dia dengan Tuah Iskandar. Alangkah bahagianya Tuah Iskandar. Boleh pergi dan balik kerja sesuka hati. Boss lah katakan. Nak bangun lewat pun tak kisah. Nak datang kerja lambat tak kisah. Tak payah nak menghadap muka MO yang semuanya tak tahu nak senyum. Tak payah tadah telinga kena maki depan orang ramai.
Hmm…
Tapi itu pilihan dia. Meskipun Tuah Iskandar sudah menjanjikan bulan dan bintang untuk dia tidak meneruskan kerjayanya tetapi dia tetap bertekad untuk meneruskan. Kerana dia tahu tugas sebagai seorang doktor merupakan tugas yang sangat mulia. Dapat mengembalikan senyuman kepada insan-insan yang berputus harap membuatkan dia gembira.
Ini hari mereka. Mana tahu akan datang hari dia pula? Kita tidak tahu apa yang Tuhan tentukan untuk kita di kemudian hari.
Setelah bersiap alah kadar, pantas Hani mendapatkan suaminya namun, Tuah Iskandar sudah tidak kelihatan. Ke mana perginya suaminya?
Mungkin Tuah Iskandar sudah bangun dan menggunakan bilik air di luar. Tanpa membuang masa, Hani pantas turun ke bawah. Seketika dia melirik jam di tangannya. Dah lambat!
Menoleh ke ruang dapur, membuatkan dia mengerutkan dahinya. Bunyi-bunyi bising menerpa gegendang telinganya. Siapa pula yang bekerja di dapur pagi-pagi ni? Jangan kata ada pencuri yang masuk ke dalam rumah mereka sudahlah.
Tapi…ops…jangan kata Tuah Iskandar yang sudah berkerja pagi-pagi begini.
Dengan rasa ingin tahu, pantas langkahnya diayun ke ruang dapur. Bulat matanya saat melihat Tuah Iskandar sedang menyiapkan sesuatu di atas meja.
“Selamat pagi sayang,” sapa Tuah Iskandar dengan senyuman manis dihulurkan buatnya.
“Abang,” hanya itu saja yang mampu keluar dari mulut Hani.
“Jom kita sarapan. Abang ada buat something special untuk sayang,”
Hani menapak mendekati Tuah Iskandar. Kelihatan sepinggan sandwich sudah terhidang di atas meja. Hani pandang Tuah Iskandar dengan wajah yang terkebil-kebil. Wajah yang tidak percaya.
“Kenapa pandang abang macam tu? Sayang nak makan abang ya,” usik Tuah Iskandar membuatkan wajah Hani merona merah.
“Isy, abang ni. Hani cuma pelik. Bila abang buat semua ni? Bukankah abang tidur masa Hani bangun tadi?”
Tuah Iskandar mendekati Hani. Pinggang isterinya ditarik rapat ke arahnya.
“Dah enam bulan kita kahwin. Sayang masih tak dapat bezakan antara abang dengan bantal?”
Terlopong mulut Hani mendengar jawapan Tuah Iskandar. Maksudnya…yang dilihat di sebelahnya di dalam bilik tadi itu adalah bantal? Bantal yang berselubung selimut? Ah! Mungkin sebab dia mahu cepat lantas terus membuat kesimpulan yang tidak tepat.
“Maaf. Mungkin sebab Hani nak cepat tadi,” ujar Hani kesal.
Tuah Iskandar sekadar tersenyum.
            “Kenapa abang tak kejut Hani?”
            “Erk…abang bangun awal tadi. Awal sangat nak kejut sayang,”
            “Abang bangun pukul berapa tadi?”
            “Lima,”
            Hani terlopong. Pukul lima pagi? Dua jam hanya untuk buat sandwich? Biar betul Tuah Iskandar ni?
            “Abang bukan buat sandwich aje tau,” pantas Tuah Iskandar bersuara seakan tahu apa yang bermain di fikiran isterinya.
            Then?” Hani angkat kening tanda bertanya. Tuah Iskandar sudah senyum-senyum.
            Surprise for you,” Tuah Iskandar mengambil sesuatu di belakangnya lalu di letakkan di atas meja. Hani terkebil-kebil memandang ‘sesuatu’ itu dengan Tuah Iskandar silih berganti.
            A cup of milo for you,”
            Hani rasa mahu tertawa melihat kejutan Tuah Iskandar. Ya! Memang kejutan. Secawan milo berserta sepiring sandwich yang mengambil masa dua jam. Pasti sedap kan?
            “Ini bukan sebarang milo tau,” pantas Tuah Iskandar bersuara apabila melihat reaksi wajah Hani sebegitu.
            “Apa yang istimewa tentang milo ni? Abang letak apa?”
            Tuah Iskandar pandang Hani. Bibirnya mengukir senyum.
            “Jap…jap…biar Hani teka. Hmm…kurang gula maybe? Atau serbuk milo yang mahal? Atau…hmm…apa lagi ya?” Hani menggosok-gosok dagunya tanda berfikir. Seketika dia terlupa yang dia sudah terlewat.
            No, semua yang sayang teka tu salah,” pintas Tuah Iskandar.
            “Jadi, apa yang betulnya?”
            “Tak ada apa-apa bahan yang istimewa yang abang letak cuma…satu saja yang abang letak buatkan ianya istimewa,”
            “Abang letak apa?”
            My love,”
            Hani terkedu.



            “Aaaah!”
            “Kenapa sayang?”
            “Hani dah lewat,”
            “Tapi…kita sarapan dulu ya,”
            Hani memandang Tuah Iskandar. Sepiring sandwich dan secawan milo membuatkan hatinya terharu. Tidak sampai hati untuk tidak menjamah juadah istimewa itu. Walaupun dia sedia maklum Tuah Iskandar tidak tahu menyediakan juadah walau apapun jenis makanan namun pemuda itu tetap melakukannya. Namun…seketika ia melirik jam di tangannya.
            Kalau dia bergerak sekarang maksudnya punch cardnya akan tepat-tepat bertanda jam 8.30 pagi tapi…
            “Jangan risau sayang. Hari ni abang hantar sayang pergi kerja,”
            “Betul?” Hani sudah teruja. Kalau Tuah Iskandar yang menghantar, dia akan lebih jimat masa. Pertama, dia tak perlu mencari parkir dan Tuah Iskandar boleh terus menerus hantar dia sehingga depan pintu hospital dan yang kedua…Tuah Iskandar kan pelumba terkenal. Suaminya itu pandai sikit bab-bab cilok di jalan raya ini.
            Hani sudah melebarkan senyuman.
            “Tapi…abang tak kerja ke hari ni?” tanya Hani apabila tiba-tiba teringatkan Tuah Iskandar.
            “Abang kan boss. Sayang dah lupa?” ujar Tuah Iskandar seraya menarik kerusi untuk isterinya.
            Hani hanya senyum senget sebelum melabuhkan punggung di atas kerusi yang disediakan oleh suami yang tercinta.



            “Hari ni balik pukul berapa? Petang?” Tanya Tuah Iskandar sebaik saja kereta yang dipandunya memasuki jalan besar. Jalan raya yang penuh sesak membuatkan pemanduannya perlahan saja.
            “Kalau ikut jadual, balik petang. Tapi, kalau ada kes, mungkin Hani akan balik lambat sikit,” beritahu Hani.
            Terdengar keluhan kecil dari Tuah Iskandar. Hani memusingkan sedikit tubuhnya menghadap si suami. Wajah tenang Tuah Iskandar dipandang dengan penuh kasih. Dia tahu apa yang bermain di fikiran suaminya tetapi…
            “Hani minta maaf,” ujarnya perlahan. Lengan kasar Tuah Iskndar dipicit-picit perlahan.
            “Maaf untuk apa?” Tanya Tuah Iskandar buat-buat tidak faham.
            “Untuk keluhan abang tadi,” beritahu Hani.
            Tuah Iskandar diam. Seketika kereta berhenti di lampu isyarat yang bertukar warna merah, dia memandang ke arah isterinya.
            “Maaf,” ujar Tuah Iskandar sepatah.
            “Untuk apa?” Hani pula yang mengerutkan dahinya. Tidak faham dengan ungkapan maaf dari si suami. Sepatutnya dia yang meminta maaf atas kegusaran suaminya tetapi kini, Tuah Iskandar pula yang memohon maaf. Kenapa?
            “Sebab abang tak faham sayang. Tak faham minat sayang. Tak faham kerjaya sayang,” ujar pemuda itu dengan renungan yang dalam.
            Hati Hani tersentuh. Entah kenapa matanya tiba-tiba terasa panas.
            “Abang tak perlu minta maaf. Abang tak salah apa-apa. Hani faham apa yang abang fikirkan cuma…” kata-katanya terhenti di situ. Dia tahu Tuah Iskandar tahu apa yang cuba dia katakan.
            “Abang tahu. Cuma, abang kasihankan sayang. Kerja teruk-teruk. Pergi pagi, balik lewat malam. Penat. Abang cuma mahu sayang luangkan masa…walaupun bukan untuk abang tapi untuk diri sendiri. Abang mampu untuk tanggung kita berdua,”
            “Hani tahu tapi.,..Hani nak berdikari,”
            “Berdikari? Kenapa? Sayang tak percaya abang boleh jaga sayang?”
            “Bukan macam tu, cuma…”
            “Cuma apa sayang?”
            “Mana tahu suatu hari nanti abang tinggalkan Hani. Macam mana Hani nak hidup kalau seluruh kehidupan Hani bergantung pada abang,”
            Tuah Iskandar diam. Matanya merenung terus-terusan wajah si isteri. Dahinya sedikit berkerut. Wajahnya nampak tegang. Pantas Hani tunduk menekur lantai kereta.
            “Kenapa cakap macam tu?”
            Sah! Tuah Iskandar marah. Dari suaranya, Hani tahu suaminya tidak suka dia berkata begitu.
            “Hati manusia kita tak tahu bang. Mungkin sekarang kita bahagia, siapa tahu apa akan jadi di masa akan datang,”
            “Sayang rasa abang macam tu?” keras lagi suara itu namun masih dalam nada terkawal.
            “Tak…cuma, Hani sekadar bersedia dari segala sudut,”
            Tuah Iskandar mendegus kasar. Sungguh dia tidak menduga Hani akan berfikir begitu sedangkan cintanya terhadap isterinya sangat mendalam. Mana mungkin dia akan meninggalkan Hani setelah dia bersusah payah untuk memiliki cinta isterinya?
            “Abang,”
            Tuah Iskandar diam tidak menjawab.
            “Maaf kalau apa yang Hani kata buat abang terguris,”
            Diam lagi.
            “Hani tahu abang sayangkan Hani. Hani juga sayangkan abang. Hani tahu abang tak akan tinggalkan Hani sebagaimana Hani juga tak mampu untuk hidup tanpa abang. Cuma, kita tak tahu apa yang Tuhan telah aturkan untuk kita pada masa akan datang,” luah Hani. Sungguh! Bukan dia berniat untuk memberikan tanggapan buruk pada hubungan mereka. Bukan dia meragui cinta dan sayang suaminya. Cuma…mereka hanya manusia biasa. Manusia yang dicipta Tuhan yang memiliki hati yang berbolak-balik.
            “Abang, percayalah. Hani sangat sayangkan abang. Setelah apa yang kita lalui bersama, cukup untuk Hani tahu cinta abang pada Hani. Hani percayakan abang. Mari kita sama-sama memohon pada Tuhan semoga bahagia ini berkekalan. Sampai bila-bila,”
            Tuah Iskardar kembali memandang isterinya. Mata Hani sudah berkaca. Dan beberapa ketika, beberapa butir air jernih mengalir dari pipi isterinya. Pantas Tuah Iskandar menyeka air mata yang mengalir.
            “Jangan menangis sayang,” ujar Tuah Iskandar. Perlahan dan penuh kasih.
            “Hani sayangkan abang,” ucap Hani tersekat-sekat.
            “Abang juga sayangkan sayang,”
            Hani mengangguk dengan deraian air mata.
            “Sayang,”
            “Hmm?”
            “Abang berjanji. Selagi Tuhan memberi keizinan, selagi nyawa masih ada, selagi fikiran masih waras, abang tak akan tinggalkan sayang,”
            Semakin lebat air matanya melimpah saat Tuah Iskandar mencium dahinya.
             

Tiada ulasan:

Catat Ulasan