KERANA AKU SAYANG KAU (BAB 1)
BAB 1
Skrin telefon
bimbit miliknya dipandang lama. Hatinya dipagut sayu. Berkali-kali mesej yang tersimpan
di dalam peti inbox nya dibaca.
Malah, bagaikan sudah dihafal satu demi satu perkataan yang terkandung di dalam
mesej ringkas itu. Meskipun mesej itu bagaikan sudah sebati dalam mindanya
namun hatinya tetap tersentuh setiap kali membacanya.
Dua bulan sudah
berlalu. Selama dua bulan jugalah mesej itu masih setia menetap dalam peti inbox telefon bimbitnya. Tetapi entah
kenapa dia masih tidak mahu untuk memadamkan mesej yang mengguris hati
perempuannya. Mungkin kerana dia mahu mengingatkan dirinya sendiri. Mungkin dia
mahu diri sendiri menerima hakikat. Hakikat yang hubungan antara dia dan Fahmi
sudahpun berakhir.
Sampai hati Fahmi
meninggalkan dia di saat-saat akhir persekolahan. Ketika rakan-rakan lain
sedang bergembira meraikan kertas terakhir peperiksaan SPM, dia menerima
pesanan ringkas dari kekasih hatinya. Sangkanya Fahmi ingin meraikan
kegembiraan ini bersama saat terpandang mesej Fahmi yang masuk tetapi...
Dia mencari Fahmi.
Mencari pemuda itu di merata-rata tempat namun Fahmi pergi meninggalkannya.
Tanpa sebaris kata, tanpa sebarang pesanan...pemuda itu terus menghilangkan
diri.
Tergamak Fahmi
meninggalkannya tanpa sebab. Tergamak Fahmi membuatkan dia tertanya-tanya tanpa
jawapan. Apakah sebabnya Fahmi ingin memutuskan hubungan mereka? Apakah
kesalahan yang dia lakukan sehingga Fahmi tidak mahu bersemuka dengannya
walaupun untuk mengucapkan selamat tinggal? Benci benarkah Fahmi dengan
dirinya? Tetapi..kenapa? Kenapa?
Namun, persoalan
yang kerap menerjah mindanya terjawab seminggu sebelum dia melanjutkan
pelajaran ke Kolej Putra di dalam jurusan perubatan. Dia bertembung dengan
Fahmi di bandar bersama seorang gadis di sisi pemuda itu. Begitu mesra berjalan
bersama sambil berpimpin tangan. Gelak tawa serta kebahagiaan terpancar di
wajah keduanya.
Oh Tuhan. Dia tidak
kuat menghadapi situasi itu. Balik saja dari bandar, air matanya turun
mencurah-curah. Dia cuba untuk menjadi seorang gadis yang kuat namun sayangnya
terhadap Fahmi membuatkan dia lemah. Lemah hati dan perasaan.
Berkali-kali dia
menasihati diri sendiri. Mengapa perlu dia menangis untuk lelaki yang telah
melukai hatinya? Mengapa perlu bersedih untuk orang yang sudah membuat dia
menderita? Mengapa perlu mengharapkan
kasih pada yang tak sudi?
Namun, dia tidak
mampu untuk menidakkan rasa sedih itu. Dia tidak mampu menepis rasa kecewa yang
bertandang. Ternyata dia masih bersedih untuk lelaki yang telah membuat dia
menderita. Malah, dia masih mengharapkan agar Fahmi kembali, menyinari hubungan
mereka seperti dulu. Dia masih menanti pemuda itu kembali kepadanya.
Tetapi…semuanya
sudah berakhir. Fahmi sudah tidak menyayangi dirinya lagi. Fahmi sudah ada
pilihan hatinya sendiri. Dan dia..
Dia tidak
sepatutnya mengharapkan lagi pemuda itu.
Pantas dia
meletakkan telefon bimbitnya di tepi katil. Matanya dipejamkan. Terasa air
hangat mengalir, jatuh membasahi pipinya. Ternyata perpisahan itu masih lagi
terasa kesakitannya.
**********
“Hani!”
Hani tersentak
apabila tangannya disiku. Segera dia berpaling. Kelihatan Julia yang berada di
sebelahnya merenung tajam ke arahnya. Dia tidak pasti kenapa Julia berwajah
begitu. Segera dia menoleh pula ke arah Syasya yang duduk berhadapan dengannya
dan kemudian mengangkat kening tanda bertanya. Syasya tidak menjawab. Hanya
senyuman yang menghiasi wajah manis gadis itu.
“Kenapa?” tanya Hani
sambil pandangannya di halakan ke arah Julia.
“Kenapa apa?’ soal
Julia kembali. Pura-pura tidak tahu.
“Kenapa kau pandang
aku lain macam saja?” tanya Hani lagi.
Julia mengeluh.
“Kau buat apa
tadi?” soal Julia tanpa menjawab soalan Hani.
“Study,” jawab Hani ringkas.
“Kalau study, tak mungkin kau tak dengar aku
panggil kau. Kau tahu tak dah dekat sepuluh kali aku panggil. Itu belum kira
Syasya yang panggil. Nasib baik kita kat perpustakaan. Kalau tidak, dah lama
aku jerit nama kau kuat-kuat sambil bagi penumbuk sebiji,” bebel Julia panjang
lebar.
Hani terdiam
seketika. Julia dan Syasya memanggil namanya? Tak dengar pun!
“Berangan lagilah
tu,” sindir Syasya pula.
“Tak..aku..aku..”
Erk..nak bagi
alasan apa pula ni? Takkan aku nak kata aku
study maut sampai tak dengar panggilan dia orang yang jaraknya tak sampai
sekaki? Dan..tak mungkin aku akan memberitahu perkara sebenar. Aku sedang
memikirkan tentang Fahmi. Insan yang telah memberikan aku kegembiraan dan insan
itu jugalah yang memberi aku penderitaan. Aku sedang mengimbas kenangan manis
antara kami. Sungguh! Bukan mudah untuk melupakan pemuda itu.
“Hello!” Julia
menjentik jarinya di hadapan muka Hani menyebabkan sekali lagi lamunannya terbang
dibawa dek angin.
“Sudahlah tu Julia.
Jomlah kita pergi lunch. Kalau nak
tunggu minah seorang ni, sampai petang pun kita tak makan nanti,” kata Syasya
sambil bangun dari kerusinya.
Julia menuruti
jejak Syasya, menyusun buku-buku yang bersepah di atas meja lalu terus bergerak.
“Eh geng, tunggulah
aku,” dengan kelam kabut, Hani terus saja mengambil buku-buku miliknya lalu melangkah
mengekori Syasya dan Julia dari belakang.
Beberapa meter
keluar dari perpustakaan, Hani berhenti sambil menepuk dahinya. Julia dan
Syasya berpandangan sesama sendiri.
“Kenapa?” tanya
Syasya apabila melihat perilaku Hani yang seakan-akan blur hari itu.
“Ini semua kau orang
berdua punya pasal,” bebel Hani.
“Kenapa? Apa yang
kita orang dah buat?”
“Pasal kau orang
cepat sangat nak pergi lunch, aku
terlupa nak pulangkan buku ni. Sudahlah hari ini tarikh akhir pemulangan buku
ni,” rungut Hani sambil menunjukkan buku rujukan Patologi yang setebal hampir
seribu mukasurat itu.
Julia mengeluh.
Sudahlah perutnya terasa lapar. Ada juga yang melengah-lengahkan sesi mengisi
perut ini.
“Macam nilah. Kau orang
berdua pergi makan dulu. Nanti aku datang. Kalau boleh ambilkan nasi aku
sekali. Lauk apa-apa saja. Tapi kalau ada kerang rebus, ambil banyak sikit ya,”
pesan Hani sambil tersenyum-senyum.
“Okaylah. Kalau
macam tu, kita orang pergi dulu. Cepat sikit. Kalau lambat, aku baham semua
kerang rebus kau tu,” sahut Syasya dengan wajah yang selamba.
Hani cepat-cepat
melangkah kembali menuju ke perpustakaan. Sebaik sahaja selesai memulangkan
buku rujukan tersebut, dia segera menuju ke kafeteria. Namun, tiba-tiba
langkahnya menjadi perlahan. Perutnya yang tadi berbunyi minta diisi, seakan
sudah terhenti iramanya. Hatinya tiba-tiba dipagut hiba. Sekali lagi dia
teringatkan Fahmi.
Ah! Bukan mudah
untuk melupakan segala kenangan indah bersama Fahmi. Bukan dia tidak berusaha.
Bukan dia tidak mencuba, tetapi semakin dia mencuba, kenangan itu semakin
mendekati dan terus memaksa dia untuk memikirkan pemuda itu.
Apa yang Fahmi
sedang buat sekarang?
Bahagiakah Fahmi
dengan gadis pilihannya itu?
Masih ingatkah
Fahmi akan dirinya?
Masih adakah sisa
rindu Fahmi akan dirinya saat ini?
Oh Tuhan!
Berikanlah aku kekuatan untuk menghadapi semua ini.
Langkah Hani terhenti.
Dia memejamkan mata. Cuba mengawal air mata dari terus tumpah. Dia menarik
nafas dalam-dalam dan tiba-tiba..
“Ops!”
Hani terjatuh
apabila tubuhnya dilanggar. Habis berterabur buku yang dipegangnya. Seketika
dia mengaduh sakit. Beberapa saat kemudian, dia bangun sambil menepuk-nepuk
tangannya yang berdebu.
Wajah pemuda di
hadapannya itu direnung. Pemuda yang melanggarnya itu hanya diam. Sepatah pun
tidak bersuara apatah lagi untuk memohon maaf.
Huh! Sudahlah
langgar orang. Tak minta maaf langsung. Lepas tu tunjuk muka sombong pulak.
Macamlah aku pula yang bersalah dalam hal ni.
Bisik Hani dalam hati.
Keadaan sepi
seketika. Tiada tanda-tanda pemuda itu ingin memohon maaf. Jadi, Hani segera
memulakan bicara. Malas dia untuk melayan kerenah pemuda sombong itu.
“Kalau awak tak nak
minta maaf tak mengapalah. Tapi, saya dah maafkan awak,” ujar Hani selamba lalu
melangkah pergi dari situ.
Harap muka saja
hensem tapi perangai…
**********
“Kenapa lambat?” tanya
Julia sebaik saja Hani menarik kerusi dan duduk berhadapan dengannya.
“Komputer buat hal
masa aku nak pulangkan buku tadi,” dalih Hani. Malas dia nak bercerita tentang
pemuda sombong itu. Nanti banyak pula yang Syasya dan Julia tanyakan. Lagipun,
bukan penting pun!
“Ni, kerang rebus
kau. Nasib baik cepat, kalau tak kau boleh makan kulit sajalah,” ujar Syasya
sambil menyedut air sirap kegemarannya.
Terliur Hani melihat
kerang rebus di hadapannya. Memang kerang rebus merupakan salah satu makanan
kegemarannya. Kalau hari-hari makan kerang rebus pun dia tidak kisah.
Hani segera
menikmati makanan di hadapannya. Nasi putih berlaukkan kerang rebus, sayur kangkung
goreng, ikan masak sambal membangkitkan seleranya. Laju saja dia menikmati
makanan sambil mendengar perbualan dua sahabat yang duduk bertentangan
dengannya.
“Kau pun tahu pasal
dia?” tanya Syasya kepada Julia.
“Mestilah aku tahu.
Semua orang kat sini tahu pasal dia,” sahut Julia.
“Wah, dia memang
betul-betul glamor. Dahlah hensem, kaya pula tu,”
“Hmm, untunglah
siapa perempuan yang dapat jadi makwe dia,”
Perbualan Julia dan
Syasya menarik minat Hani. Siapa yang di maksudkan oleh rakan-rakannya itu?
Siapa yang di katakan glamor, kacak dan kaya itu? Kenapa dia boleh ketinggalan ini? Syasya dan
Julia ini pun satu. Bercerita berdua saja. Bagaikan dirinya tidak wujud di
situ. Tidak adil langsung!
“Kalaulah aku dapat
jadi makwe dia..wah, bestnya,” kelihatan Syasya sedang berkhayal dapat
mendampingi putera idaman. Matanya dipejam dengan tangannya digenggam erat.
Fuh! Berangan.
“Sya, kau jangan
mimpilah. Tak ada orang yang berani nak dekat dengan dia apatah lagi nak jadi
awek dia,” kata-kata Julia mematikan angan-angan Syasya. Terasa istana yang di impikan
sudah hancur berkecai.
“Tapi…kalau tak
cuba tak tahu kan?” duga Syasya.
“Kau berani?” Julia
cuba mencabar.
Soalan Julia
membuatkan Syasya terdiam. Berkerut-kerut dahi Syasya memikirkan jawapan yang
harus diberikan untuk soalan Julia. Jawapan yang mudah. Ya atau tidak. Tapi,
itupun Syasya tak mampu jawab. Dan di
kesempatan itu, Hani mencelah.
“Nanti..nanti..nanti..korang
cerita pasal siapa ni ha?” tanya Hani ingin tahu siapa lelaki yang dipuja-puja
Syasya dan Julia itu.
“Kau tak tahu?” tanya
Syasya sambil merenung tepat ke arah Hani.
“Kau tak cakap
manalah aku tahu,”
“Tuah Iskandar,”
ujar Syasya separa berbisik.
“Tuah Iskandar?”
“Syyyyyyhhh,”
Syasya meletakkan jarinya ke bibirnya menunjukkan isyarat agar suara di perlahankan
apabila menyebut nama pemuda itu. Kemudian, Syasya memandang ke kiri dan
kemudian ke kanan. Hani turut berbuat demikian. Nasib baik tiada mata yang
memerhati ke arah mereka. Tetapi..apa yang tidak kena dengan nama itu
sehinggakan Julia dan Syasya takut perbualan mereka di dengari orang?
Hani mengerutkan
dahinya. Kenapa tak boleh sebut kuat-kuat nama pemuda itu? Bahaya sangatkah
kalau di dengari orang?
“Ya, Tuah Iskandar.
Kau tak pernah dengar?” tanya Syasya lagi.
Pantas Hani menggelengkan
kepala.
“Kau ni slow lah, Hani. Orang yang paling glamor
kat kolej kita ni pun kau tak kenal,” ujar Julia.
“Manalah aku tahu.
Aku ke hulu ke hilir dengan korang berdua saje. Kalau korang tak cerita,
manalah aku nak tahu,”
“Hani, aku pun berkawan
dengan korang berdua juga tapi aku taklah ketinggalan zaman dalam bab-bab macam
ini,”
Hani mencebik.
Adakah kerana tidak mengenali lelaki yang bernama Tuah Iskandar itu di anggap ketinggalan
zaman? Tak masuk akal langsung!
“Okay..okay..Apa
hebat sangat tentang Tuah Iskandar tu?” tanya Hani sambil memperlahankan suaranya
apabila menyebut nama Tuah Iskandar.
“Dia pelajar senior
tahun akhir jurusan pengurusan perniagaan. Anak orang kaya. Hensem pula tu. Rupa
dia ala-ala Farid Kamil sedikit. Aku rasa, dalam kolej ni, dialah lelaki yang
paling hensem sekali,” ujar Julia sambil mengerdip-ngerdipkan matanya. Gedik
sungguh!
“Dia tu memang
glamor kat kolej ni. Ramai student
perempuan minat kat dia,” celah Syasya pula. Nampaknya kedua sahabatnya itu
berlumba-lumba menceritakan tentang Tuah Iskandar. Glamor sungguh Tuah Iskandar
itu.
“Kau orang pernah
tengok dia ke?”
“Pernah, tapi mampu
tengok dari jauh aje,”
“Mampu pandang dari
jauh? Maksud kau,”
“Walaupun dia
hensem, kacak, glamor…tapi tak seorang pun berani tegur dia. Baik lelaki
mahupun perempuan, semua tak berani nak bertegur sapa dengan dia,”
“Kenapa?”
“Sebab, dia tu
gangster,”
“Gangster?”
“Syyyhhh”
Kelam kabut Julia
dan Syasya mengawal keadaan apabila suara Hani melepasi tahap yang sepatutnya.
Bimbang perbualan mereka di dengari apatah lagi yang melibatkan Tuah Iskandar.
“Kolej kita ada gangster?”
tiba-tiba bulu roma Hani berdiri tegak. Teringat dia akan filem KL gangster, Evolusi
KL drift dan pelbagai filem-filem gangster yang ada di pawagam. Huh! Semuanya
ganas-ganas. Siap dengan pistol, pisau, parang..
“Dengar cerita,
Tuah Iskandar ada geng-geng motor kat luar kolej. Sebab tu budak-budak tak
berani nak dekat dengan dia. Budak-budak perempuan yang suka dia, hanya mampu
pandang dari jauh sajelah,”
“Pernah sekali
seorang budak kolej kena pukul dengan geng-geng Tuah Iskandar. Semua berpunca
apabila budak tu terlanggar motor Tuah Iskandar. Masa tu budak tu tak tahu
siapa Tuah Iskandar. Jadi, budak tu mengamuk marahkan Tuah Iskandar. Malam itu
juga budak tu kena pukul sampai masuk hospital,”
Bulat mata Hani mendengar
cerita Syasya. Sampai begitu sekali?
“Pendek kata, kalau
nak selamat jangan ada kaitan langsung dengan Tuah Iskandar,”
Hani mengeluh.
Minta di jauhkan dari semua itu. Kalau boleh, mengenali Tuah Iskandar pun dia tidak
mahu. Takut pula dia apabila mendengar cerita Julia dan Syasya. Gangster? Siapa
yang tidak takut? Lebih-lebih lagi perempuan seperti dia. Penakut dan tidak
kuat semangat. Kalau jumpa Tuah Iskandar, pasti dia akan buka langkah seribu.
Tiba-tiba Hani
mengerutkan dahinya. Matanya tajam memandang ke arah Julia dan Syasya. Julia
mengangkat kening tanda bertanya kenapa Hani buat muka macam tak puas hati.
“Dah tahu dia tu
teruk, kenapa masih nak suka lagi?”
“Sebab dia tu
hensem sangat,”
Hani mengeluh
kecil. Hanya kerana hensem saja? Tak masuk akal! Memang Julia dan Syasya sudah
tidak betul.
“Wei..kau orang..”
Julia tiba-tiba bersuara. Perlahan separuh berbisik.
“Kenapa?” tanya Hani
acuh tak acuh.
“Itu, Tuah
Iskandar,”
Hani pantas menoleh
ke belakang namun cepat-cepat Julia menegah.
“Kenapa?”
“Janganlah nampak
sangat kau nak pandang dia. Cover lah
sikit,”
“Tak boleh ke?”
“Kalau dia perasan,
teruk kita nanti,”
Hani mencebik. Nak
pandang pun kena sembunyi-sembunyi. Gangster besar betul ni! Namun, Hani
ikutkan juga nasihat Julia. Untuk keselamatan, apa salahnya. Tak kena bayar
pun. Hani curi-curi pandang ke belakang. Ingin sekali melihat wajah pemuda yang
di katakan glamor dan kacak di kolej itu.
“Dia…yang
tengah-tengah tu,” bisik Julia perlahan.
Dan saat matanya
melihat pemuda itu, jantungnya berdegup kencang.
Diakah Tuah
Iskandar?
lelaki yang laggar hani tu tuah iskandar kan? hehehehe
BalasPadamnurul nuqman..tau2 saje..hehe
BalasPadam