Jumaat, 11 April 2014

DI DEPAN MATA (BAB 6)

DI DEPAN MATA (BAB 6)


BAB 6

Membesar bersama, bermain bersama, bergaduh bersama. Jangan sia-siakan hubungan yang indah ini. Ingat janji kita! – Geng piranha


“Mama!” Nia segera menerpa Mazura yang sedang memasak di dapur. Dipeluk mamanya dari belakang lalu dicium leher Mazura. Terkial-kial Mazura mengelak. Nasib baik senduk di tangannya tidak terketuk kepala Nia.

“Nia, dah banyak kali mama cakap jangan buat macam tu. Mama ni kan penggeli,”

“Alah, salah ke Nia kiss mama?”

Kiss lah kat pipi ke kat mana ke. Jangan kiss kat leher tau. Sensitif,”

Nia tertawa sambil meleraikan pelukannya. Bukan dia tidak tahu mamanya itu sensitif di bahagian leher. Sentuh saja sudah geli. Tapi, Nia sengaja buat macam tu. Suka tengok reaksi mama yang kadang-kadang melatah bila di perlakukan sebegitu.

“Nasib baik senduk ni tak singgah kat muka Nia,”

Nia tersengih lagi.

“Ha, ni dari mana?” tanya Mazura sambil menyambung kembali masakannya yang terganggu sebentar tadi.

“Dari bandar. Nia beli barang sikit. Minggu depan kan Nia masuk kerja,”

Kedengaran Mazura mengeluh kecil.

“Kenapa mama mengeluh?”

“Sekejapnya kamu besar, Nia. Sekarang sudah mahu bekerja pula. Entah macam manalah nasib kamu nanti,”

“Kenapa mama cakap macam tu?”

“Iyalah. Tak ada siapa nak jaga kamu kat pejabat tu nanti. Kalau Nia kena buli, macam mana?”

Nia tertawa mendengar kata-kata mamanya itu.

“Mama, Nia dah besar okey. Nia ni bukannya budak kecil lagi. Mama janganlah risau. Nia pandailah jaga diri Nia sendiri,”

Adakalanya dia tidak faham dengan Mazura. Mamanya itu selalu risau dengan apa yang dia lakukan. Mama selalu menganggap dia seperti anak kecil yang harus dijaga dan diberi perhatian. Mama selalu rasakan yang dia tak boleh melakukan seorang diri, dia perlukan bantuan dari orang lain terutama dari mama dan papa.

Mungkin dialah satu-satunya anak mama dan papa. Sebab itulah mama terlalu mengambil berat akan dirinya.

“Dan…Shima kan ada? Dia boleh jaga Nia,” ujar Nia sambil tersenyum.

Tak sangka tercapai juga hasrat dia untuk bekerja di Syarikat Ungu Mega. Itupun atas pertolongan Shima yang bekerja di bahagian HR. Shima kata dia hanya kerja sementara saja di situ, menggantikan seorang budak pejabat yang cuti bersalin.

Ah! Sementara pun sementaralah. Janji dia dapat berada di bawah satu bumbung dengan Rayyan. Hari-hari dia boleh tengok Rayyan. Tentu pemuda itu segak dengan berbaju kemeja, bertali leher dan berseluar sleck. Aduh! Boleh angau di buatnya.

“Ya, mama tahu. Shima dan Rayyan ada di situ. Boleh pula kamu sepupu-sepupu bekerja di bawah satu pejabat,” suara Mazura membuatkan angannya terhadap Rayyan hilang. Lekas-lekas dia menumpukan perhatian pada mamanya yang sedang bercakap.

“Nama saja satu pejabat mama tapi lain-lain department. Nia dan Shima di bahagian HR manakala Abang Rayyan di bahagia IT,” beritahu Nia.

“Samalah juga tu,” ujar Mazura.

Nia tersenyum. Tak sabar nak tunggu minggu depan. Tentu Rayyan akan terkejut nanti.

Abang Rayyan…Nia sentiasa ada di mana abang berada. Nia akan setia berada di sisi abang saat abang perlukan Nia…Meskipun tidak perlu, Nia tetap akan ikut abang.

Nia tersenyum lagi.





Pengumuman untuk cucu-cucu Tok Teh…Saya dengan ini ingin mengumumkan yang saya akan bertunang bulan hadapan. Sekian terima kasih.


Bulat mata Nia apabila membaca status yang di tulis oleh Rafie dalam group Cucu-cucu Tok Teh di Facebook. Group yang dibuka oleh Yani dan Tini itu khas untuk cucu-cucu Tok Teh yang seramai dua puluh empat orang buat masa ini. Group yang menjadi tempat cucu-cucu Tok Teh bercerita, bergosip mahupun memberitahu sebarang berita terkini mahupun berita sensasi. Dan kini…Rafie, anak Mak Long Hamidah telah membuat pengumuman tergempar.

“Rafie mahu bertunang? Kenapa aku tak tahu ni? Sampai hati Rafie tak beritahu awal-awal. Beritahupun melalui Facebook. Ni yang nak merajuk ni,” gumam Nia sendirian sambil mencebikkan bibirnya.

Selain Yani, Tini dan Shima, Rafie juga merupakan cucu Tok Teh yang rapat dengan mereka. Selama ini, dia tahu Rafie sudah ada special. Wani, gadis dari Kelantan yang menjadi pilihan hati Rafie. Tapi, tak sangka pula secepat ini mereka nak bertunang. Dulu, dia pernah dengar Rafie cakap nak kahwin dua tiga tahun lagi. Ini, alih-alih tak sampai sebulan dia dengar Rafie kata begitu, kini hendak bertunang pula?

Hmm…mungkin sudah sampai seru Rafie. Apa-apapun dia tumpang gembira.

Nia menumpukan kembali pada status Rafie yang ditulis kira-kira lima jam yang lalu. Ada banyak komen yang mengikuti status tersebut. Dia membaca satu persatu komen-komen cucu-cucu Tok Teh.

Yani Harun : Wah, ada orang nak bertunang. Tak sangka laku jugak kau ni Rafie.

Nia tersenyum membaca komen Yani. Yani ini kalau bicara agak kasar tapi hati dia baik sangat-sangat. Mereka geng piranha memang sudah lali dengan mulut laser Yani.

Tini Harun : Wah…aku tak sabar nak makan nasi minyak. Rafie, cepatlah kawen…

Rafique : Tahniah Abang Rafie.

Haslina : Tahniah bang.

Nia tersenyum-senyum lagi. Kebanyakkan cucu-cucu Tok Teh mengucapkan tahniah pada Rafie. Nia kembali menyambung pembacaannya.

Shima : Rafie…aku jeles dengan kau ni. Mana aci kau kahwin dulu dari aku!

Isy! Ada juga si Shima ni. Maknanya, akulah yang paling lambat dapat berita ni?

Yani Harun : Shima, Rafie baru tunanglah, belum kahwin lagi. Kau masih ada masa nak kejar Rafie.

Shima : Kak Yani, masa sangat suntuk ni. Calon pun tak ada lagi.

Yani Harun : Kau rembat ajelah sesiapa yang lalu depan kau. Bercinta lepas kahwin macam dalam cerita-cerita kat televisyen yang selalu kita layan…J

Shima : Rembat kalau dapat yang okey tak apalah. Kalau dapat yang K.O, siapa nak jawab Kak Yani oiii…

Yani Harun : Kalau dapat yang K.O, kau jawablah sendiri. Hahaha…

Nia menggeleng kepalanya sambil tersenyum. Ada-ada saja si Shima dengan Yani. Kat group ni pun jadi aje usik mengusik. Dia kembali membaca komen seterusnya. Nampaknya, Rafie sudah menjawab komen-komen yang di beri.

Rafie : Terima kasih semua yang wish. Yani Harun : Jangan ingat akak sorang ajer yang laku, aku pun laku jugak!. Tini Harun : Kau fikir senang-senang je ke dapat makan nasi minyak aku? Sebelum makan, kau lah yang kena masak. Aku akan pastikan kau jadi tukang masak nanti. Hahaha. Shima : Kalau kau nak senang, kahwin aje dengan aku. Tapi jadi nombor dualah. Hahaha…

Aduh! Meriahnya group facebook kali ini. Rasa gembira ada sepupu-sepupu yang sehati sejiwa macam ni. Harap-harap mereka takkan kehilangan Rafie kalau Rafie dah kahwin nanti. Harap juga bakal tunang Rafie tu pun satu kepala juga macam mereka.

Sakinah Comel : Woi Rafie. Ko nak tunang ke? Siapalah malang dapat kau ni? Mesti tunang kau tak secantik aku kan? Haha…

Ha, tu dia! Cik Sakinah kita sudah datang. Amboi, tak sayang mulut betul si Sakinah ni. Kalau bukan kerana dia cucu Tok Teh, tak ada siapa pun nak luluskan dia masuk dalam group ni.

Rafie : Aku rasa yang dapat kau lagi malang. Haha…Memang dia tak secantik kau tapi dia pun tak segedik kau…J

Sakinah Comel : Tak kisahlah gedik, janji aku cantik.

Rafie : Aku rasa Nia lagi cantik dari kau.

Sakinah Comel : Budak kucing tu kau kata cantik? Aku rasa kau kena tambah power cermin mata kau lah.

Aik! Kenapa masuk nama aku pula?

Yani Harun : Sakinah, cucu-cucu Tok Teh semua cantik-cantik. Tak payah nak pertikaikan. Lagipun korang kalau nak mengutuk, sila keluar dari group ini ya. Kalau tak aku delete kau orang!

Ha! Nampak tu. Admin dah memainkan peranan. Padan muka kau Sakinah!

Sakinah Comel : Alah Kak Yani. Orang bergurau ajelah. Itupun nak sentap.

Yani Harun : Sebelum bergurau, baca dulu terma dan syarat group cucu-cucu Tok Teh ni.

Rafie : Padan muka Sakinah..Hahaha…

Sampai situ sahaja komen yang terakhir. Selepas itu, tiada lagi balasan dari Sakinah. Dia sudah dapat membayangkan wajah cemberut Sakinah apabila ditegur Yani. Padan muka. Suka sangat cari pasal. Tapi, walaupun Sakinah ni suka cari pasal dengan mereka semua, namun Sakinah takut sikit dengan Yani. Mungkin sebab Yani merupakan cucu sulung Tok Teh merangkap ketua cucu-cucu Tok The dan juga ketua geng piranha.

Nia Hello Kitty : Rafie, tahniah. Tak sangka awak nak tunang dah…

Rafie : Baru nak masuk cik Hello Kitty?

Nia Hello Kitty : Baru buka Facebook lah.

Rafie : By the way, thanks. Kau bila lagi?

Nia Hello Kitty : Nia kerja pun belum. Jangan kata kerja, calon pun tak ada.

Rafie : Calon tu ada tapi kau aje yang tak berani ke depan.

Nia ketap bibir. Jangan Rafie lepas cakap kat sini sudah.

Nia Hello Kitty : Rafie, awak tahu tak statement awak ni akan menyebabkan Nia kena serang?

Rafie : Haha…Bagus juga kau kena serang. Cepat sikit kau bertindak nanti.

Sakinah Comel : Kucing ada pakwe ke?

Eh! Ada lagi minah senget ni? Ingatkan dah blah bila kena tegur dengan Yani tadi?

Rafie : Kau fikir kau seorang aje ada pakwe?

Sakinah Comel : Siapa pakwe kau Nia? Nak juga aku kenal.

Nia Hello Kitty : J

Nia balas gambar orang senyum saja. Tak tahu nak cakap apa. Takkan nak cakap dia makwe Rayyan? Gila apa nak mengaku makwe Rayyan walhal Rayyan tak pernah cakap apa-apa pun. Jangan kata nak cakap soal hati dan perasaan, nak berbual dengan dia pun susah.

Rafie, Yani, Tini dan Shima…mereka semua tahu perasaan dia pada Rayyan. Geng piranha itu semua tahu dia minat Rayyan sejak kecil lagi dan kisah ini disimpan kemas. Tak boleh bocor rahsia! Itu janji empat sepupu dia yang paling rapat. Kalau bocor, memang dia akan pengsan. Mana nak letak muka menghadap Rayyan dan yang paling teruk…mana nak sorok muka dari menghadap saudara mara yang lain lebih-lebih lagi Auntie Ayu?

Rayyan : Tahniah Rafie. Harap dipermudahkan semuanya.

Terbeliak mata Nia melihat komen yang baru beberapa saat muncul. Rayyan? Abang Rayyan tengah online?

Rafie : Terima kasih bang. Lepas ni saya tunggu abang pula. Kan Nia?

Isy! Rafie ni pun satu. Cakap sajalah dengan Rayyan. Janganlah guna nama dia pula!

Nia Hello Kitty : J

Nia buat gambar senyum lagi. Tak tahu nak cakap apa.

4 ulasan: